Wednesday, 28 November 2018

Gaji Pertama di Tarcomm

Zaman dulu RM320.00 dah cukup besar bagi lepasan STPM untuk bekerja disyarikat-syarikat kecil milik bumiputra.

Itulah jumlah gaji yang Kak Zana terima sebagai gaji pertama di sebuah syarikat kontraktor Telekom.

Secara tak sengaja Kak Zana dapat peluang kerja sementara di Tarcomm Sdn Bhd terletak di Ipoh Garden. Membina sebuah pengalaman dalam kerjaya disini amat memberi makna pada kehidupan Kak Zana.

Selalunya Kak Zana pergi ke pejabat dengan menaiki bas. Ada waktunya juga Kak Zana dihantar arwah bapak.

Bekerja di syarikat ini tidak lama. Lebih kurang 6 bulan sahaja. Akan tetapi  dalam tempoh 6 bulan itu banyak yang Kak Zana belajar tentang pengurusan syarikat. Kak Zana ditugaskan sebagai kerani yang betanggungjawab dalam urusan pekerja dari segi pembayaran gaji, caruman kwsp dan socso serta banyak lagi tanggungjawab lain.

Walaupun dengan gaji permulaan sebanyak RM320.00 pada masa itu, tetap boleh menampung kehidupan. Dapat saja gaji dihujung bulan pasti RM50 dihulurkan kepada emak terlebih dahulu. Seterusnya Kak Zana akan bayar bil telefon rumah sebab memang Kak Zana dengan adik saja yang suka bergayut kan. Selebihnya Kak Zana gunakan untuk perbelanjaan harian. Jarang sekali Kak Zana makan tengahari di pejabat. Selalunya Kak Zana bawa bekal makanan dari rumah.

Mungkin dengan ilmu Kak Zana dapat inilah Kak Zana diterima bekerja di syarikat lain di bahagian Sumber Manusia. Minat Kak Zana juga semakin mendalam dalam bidang Sumber Manusia hinggakan Kak Zana sanggup belajar secara sendiri dengan membeli buku-buku berkaitan sumber manusia, undang-undang pekerja dan sebagainya. Dalam pada itu juga Kak Zana semakin mahir dalam bidang 'payroll'. Pekerjaan ini amat menyeronokkan.

Bekerja di Tarcomm Sdn Bhd walaupun tidak lama tetapi telah membuahkan  satu hubungan silaturrahim yang berpanjangan. Bos tempat Kak Zana bekerja ini namanya Mohd Taha Mohd Nawang. Beliau minta kami sebagai pekerjanya panggil beliau dengan panggilan pakcik Taha sahaja.

Kak Zana juga sangat rapat dengan anak-anaknya. Ada ketikanya Kak Zana diminta untuk menjaga anaknya yang bongsu bernama Farah. Waktu itu pengasuhnya ada urusan keluarga.
Sehingga saat ini hubungan kami masih baik. Sesekali kami akan berhubung melalui telefon. Ada waktunya bila Kak Zana balik ke Ipoh, Kak Zana akan ziarah pakcik Taha dan isterinya makcik Rahimah.

Bila difikir-fikirkan balik, banyak juga yang boleh dibuat dengan gaji RM320.00 pada zaman dulu. Cukup saja sampai ke hujung bulan.

Ye lah. Dulu lain sekarang lain kan.

Zaman berubah.