Saturday, 10 November 2018

Pau Frozen 'SHAZANA PAU'

Bahagian 1

Kak Zana mulakan perniagaan pau sejuk beku ini pada tahun 2000. Bisnes pau sejuk beku ini memang  tiada dalam senarai bisnes yang akan Kak Zana ceburi pun.

Tak sangka kan!

Memang sewaktu masih bekerja lagi  Kak Zana dah mula buat bisnes secara sampingan. Ambil tempahan kuih-kuih melayu dan bermacam-macam jenis lagi makanan ringan.

Mungkin jiwa berniaga ni Kak Zana dapat dari arwah nenek dan atok sebelah mak. Arwah atok memang pandai memasak. Manakala arwah nenek pula skill menjualnya sangat hebat. Dari zaman sekolah lagi Kak Zana memang rajin menolong arwah nenek berniaga. Bila waktu cuti sekolah Kak Zana akan balik ke kampung di Teluk Intan. Masa tu Kak Zana dengan keluarga menetap di Ipoh. Mungkin dari situlah semangat berniaga ni meresap ke dalam jiwa Kak Zana.

Sehinggalah suatu hari Kak Zana buat keputusan untuk berhenti kerja. Rasanya dah malas sangat nak kerja di pejabat dengan jadual kerja 9-5 tu. Tapi biasalah bila berhenti kerja tanpa perancangan yang teliti. Ada sedikit bibit-bibit sesalan dihati.

Lepas beberapa bulan mulalah gelabah. Terpaksa bergantung pada pendapatan suami sahaja sedangkan perbelanjaan isi rumah semakin meningkat dengan anak kecil pada masa tu berumur setahun lebih.

Nak menyesal pun dah tak bergunakan. Bak kata pepatah 'Sesal kemudian tak berguna'.

Teruskan kehidupan.

Sehinggalah pada suatu hari Kak Zana dapat panggilan dari kenalan lama. Kak Ros namanya. Kami kenal sewaktu sama-sama menghadiri kelas memasak. Bila Kak Zana beritahu Kak Ros yang Kak Zana nak buat bisnes, tapi tak tahu nak buat bisnes apa, Kak Ros cadangkan buat pau sejuk beku. Memandangkan kami pernah hadiri kelas membuat pau bersama-sama dulu.

Disitulah bermulanya perniagaan pau sejuk beku ini. Bermula dari rumah dengan kelengkapan apa yang ada sahaja. Dipendekkan cerita, perniagaan pau sejuk beku ini menampakkan hasil yang positif. Proses mendapatkan pelanggan tidaklah sesukar mana kerana pada masa itu tidak ramai orang melayu yang berniaga pau. Satu petanda yang baik kan.

Sehinggalah Kak Zana rasa mesin pengadun yang digunakan pada masa itu tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat. Masa tu Kak Zana guna mesin Kenwood je pun. (bukan heavy duty). Mesin selalu bikin masalah. Kejap-kejap kena hantar servis.

Nak beli mesin baru, sumber kewangan masih tak mengizinkan. Pada masa dulu untuk dapatkan satu mesin yang baik harganya hampir 4k. Seorang sahabat beri cadangan untuk dapatkan bantuan dari TEKUN.

Alhamdulillah, usaha untuk mendapatkan bantuan dari TEKUN membuahkan hasil.

Bermulalah episod seterusnya bila Kak Zana berjaya dapatkan sebuah mesin penguli yang lebih besar dan menambah 1 unit freezer yang lebih besar.

Kerja-kerja pemasasaran pun semakin rancak.



Cerita seterusnya?

Bersambung di bahagian 2 nanti.

Selamat Membaca