Tuesday, 27 November 2018

Bila di Ipoh. Seronoknya...

Seronoknya bila dapat balik kampung. Nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Kesempatan yang ada ini Kak Zana gunakan sebaik-baiknya.

Rehatkan minda sambil menyantuni mak. Tak perlu fikir pasal kerja atau bisnes. Sampai saja dikampung secara automatik hati jadi tenang dan fikiran lapang.

Rumah orang tua Kak Zana di Kampung Seberang Sungai Tapah, Ipoh. Diantara perkampungan Melayu yang terbesar dikenali sebagai Gugusan Manjoi.

Gugusan Manjoi ini terdiri daripada beberapa buah kampung antaranya:

Kampung Manjoi Lama
Kampung Manjoi Baru
Kampung Tengku Husin Lama
Kampung Tengku Husin Baru
Kampung Tengku Husin Tambahan
Kampung Seberang Sungai Tapah
Kampung Sungai Tapah
Kampung Datuk Ahmad Said
Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan

Suasananya tidaklah macam kampung-kampung melayu sangat sebab sudah dilanda arus permodenan. Jarak dari rumah ke pekan pun dalam beberapa minit sahaja. Tidak jauh bezanya dengan suasana di Kampung Baru Kuala Lumpur tempat Kak Zana menetap sekarang.

Cuma bezanya dikeliling rumah ini masih banyak pokok-pokok yang menghijau, ada pokok kelapa yang rendang dengan buahnya yang merimbun. Buah kelapa inilah yang menjadi habuan kami anak cucu bila balik kampung. Dapat menikmati kesegaran air kelapa dengan isinya yang lembut menjadi satu kemestian setiap kali pulang ke kampung. Kalau nak beli air kelapa muda sekarang ni pun dah mahalkan.

Ditepi rumah Kak Zana ni ada sebuah jambatan. Dibawah jambatan inilah tempatnya kami bermain dan berkubang di dalam sungai. Sungai inilah yang menjadi saksi akan kenakalan kami adik beradik dan sepupu-sepupu. Asal ada peluang, terjun saja ke dalam sungai tanpa rasa bersalah. Walaupun sebenarnya airnya tidaklah sejernih mana. Dibawah jambatan ini juga kami selalu buat bom haram waktu bulan puasa. Mujur tiada yang terputus tangan.

Disekitar kampung ini juga masih terdapat beberapa buah lombong tinggal yang menjadi tempat kami bermain suatu ketika dulu tanpa ada sedikitpun rasa takut. Entah dari mana datangnya semua keberanian itu kan.

Di Ipoh juga sangat terkenal dengan makanannya.

Sebut sahaja Nasi Ganja. Semua orang tahu. Ada juga yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin menikmati kesedapan nasi ganja tu. Nasi Ganja ni tak letak ganja pun. Dipanggil nasi ganja mungkin atas sebab bila dah makan sekali, akan teringat-teringat akan kesedapannya. Ketagihan lah ceritanya.

Nak makan mee kari dan mee kicap?

Cari mee kari Kak Yah. Otai mee kari di pekan Ipoh. Mula berniaga mee kari ni semenjak awal 80-an lagi. Kemudiannya barulah muncul Mee kari Mat Jasak dan beberapa lagi pengusaha yang lain.
Tapi bagi Kak Zana, mee kari Kari Kak Yah adalah yang terbaik. Mee kari Kak Yah ini terletak di Taman Kledang berhampiran Masjid Jamek Taman Kledang.

Banyak lagi tempat-tempat makan yang menyajikan makanan yang sedap-sedap. Banyak juga cafe-cafe hipster yang tumbuh bagaikan cendawan. Antaranya Nellis Deli, Cokodok Raggae, Cakchibow Cafe, Plan B dan banyak lagi. Terlalu banyak sebenarnya. Nanti Kak Zana akan kongsikan tentang makanan yang sedap-sedap dan tempat-tempat yang menarik di Ipoh di entri yang lain ye.

Balik kampung kali ni Kak Zana berkesempatan uuntuk menemankan mak untuk temujanjinya diklinik kesihatan. Dengan keadaan mak yang sudah tua dan uzur. Ditambah pula dengan deria dengarnya yang semakin berkurang menuntut mak diberikan perhatian yang lebih. Kak Zana bersyukur diberikan peluang untuk menyantuni mak kali ini. Selalunya tanggungjawab ni digalas oleh abang-abang Kak Zana.

Sempat juga Kak Zana menemani mak untuk menziarahi sepupunya yang tinggal tidak jauh dari rumah. Sepupu mak ni merangkap kawan baik mak semasa mudanya. Alangkah terkejutnya Kak Zana bila melihat pakcik iaitu suami kepada sepupu mak ini dalam keadaan uzur. Terlantar di katil tanpa boleh difahami tutur katanya. Sebelum ini yang Kak Zana tahu memang pakcik menghidap 'Parkinson' sudah agak lama. Dan kini makan dan minumnya juga disuapkan oleh anak dan menantunya. Menitis juga airmata Kak Zana ni. Timbul rasa bersalah sebab sudah sekian lama tidak menziarah mereka. Sedangkan waktu kecil kami adik beradik sering saja kerumah sepupu mak ini.

Selalunya apa yang kita rancangkan tidak menjadi kenyataan kan. Tapi kali ini semuanya berlaku secara spontan. Pulangnya Kak Zana ke kampung kali juga diberi kesempatan untuk berjumpa dengan jiran sebelah rumah merangkap kawan sepemainan semasa kami kecil. Seronoknya kami dapat berborak walaupun dalam masa yang singkat dan tak cukup korum. Tapi tetap juga boleh menggamit memori silam.

Bermain 'police century' dimalam hari di bulan Ramadan. Menyorok di reban angsa dalam gelap. Tak boleh nak bayangkan macammana. Nyaris tak kena sodok dengan angsa tu kan. Belum lagi dengan kisah seorang insan yang nakal. Suka membaling bunga api yang sedang menyala ke arah geng perempuan yang 'sweet' ni.

Main masak-masak, main pondok-pondok main mak-mak dimana anak patung dijadikan sebagai anak. Main kahwin-kahwin pun ada. Pasangan yang berkawin olok-olok ini disandingkan di tangga rumah tok wan jiran ni.

Hebat ke tak kami ni?

Alhamdulillah persahabatan kami tetap baik hingga saat ini cuma tidak berkesempatan untuk selalu berjumpa macam dulu-dulu.

Moga ukhuwah ini berkekalan dan kenangan ini tetap kekal dalam ingatan kami.