Wednesday, 5 December 2018

Resepi Roti Jala

Assalamualaikum

Hai semua.

Hari ni Kak Zana nak kongsi satu resepi mudah untuk membuat roti jala. Resepi roti jala yang Kak Zana nak kongsikan ini adalah resepi dari guru masakan Kak Zana iaitu Kak Saba. Beliau adalah orang lama dalam bidang masakan  khusus untuk kuih-muih melayu. 

Kuih-muh melayu yang beliau hasilkan mendapat tempahan dari hotel-hotel terkemuka di Selangor dan Wilayah Persekutuan KL. 

Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) antara pelanggan utama Kak Saba. Roti jala yang dihasilkan Kak Saba dan pasukannya berjaya terbang  megah dengan pesawat MAS pada suatu ketika dulu. 

Dengarkan kejayaan yang diraih Kak Saba sudah cukup membuatkan hati Kak Zana semakin berkobar-kobar untuk kembangkan perniagaan wlaupun pada masa itu belum secara sepenuh masa.

18 tahun sudah berlalu. Pada waktu itu gigih kumpul duit gaji untuk menuntut ilmu masakan ni. Sanggup ambil cuti sebab ada waktunya kelas diadakan pada hari bekerja. Sanggup redah kesesakan lalu lintas dan atasi ketakutan memandu sendiri. 

Resepi roti jalan ni ada pelbagai versi. Boleh saja cari di internet kan. Tapi untuk dapatkan resepi yang menepati selera adakalanya sukar. 

Percayalah, semenjak Kak Zana masuk kelas Kak Saba 18 tahun yang lalu Kak Zana hanya gunakan resepi ni sahaja sampai sekarang. Tak mungkin ku berpaling lagi.

Cewah! Macam tajuk lagu pulak dah.

Jom kita tengok resepinya. Resepi yang sangat mudah. 


Bahan-bahan:

600g tepung gandum (Cap Sauh)
4 biji telur
2 sudu kecil garam
1/2 penutup pewarna kuning telur
Sedikit esen vanila
2 sudu besar minyak sapi atau minyak jagung
1 liter air

Bancuhkan kesemua bahan-bahan di atas. Kemudian tapiskan. Kalau pekat boleh tambahkan sedikit air.


Roti jala sedap dimakan dengan kuah durian. Sesetengah orang namakannya Serawa Durian. Juga boleh dimakan dengan kari ayam ataupun kari daging.

Biasanya Kak Zana ambil tempahan roti jala ini dengan minimum tempahan 100 keping roti jala dan kari ayam (1/2 ekor) dengan harga RM80.00.


Ada kelapangan nanti, Kak Zana akan kongsi pula resepi kari ayam yang sedap dan serawa durian. Insya'Allah.

Hari pun dah nak maghrib.

Selamat Mencuba.