Sunday 16 December 2018

Resepi Mee Rebus Mak Opek

                                        


Hari ini Kak Zana masak mee rebus untuk makan tengahari. Sebenarnya dah buntu tak tau nak masak apa untuk mak. Tak tau apa yang boleh membangkitkan selera makan mak. 

Sambil menyiapkan sarapan pagi otak ligat berfikir apa yang nak dimasak untuk tengahari. 

Kak Zana buat nasi Goreng untuk sarapan pagi. Ada ikan kembung goreng baki semalam tu Kak Zana jadikan rencah. 

"Tak payah beli apa-apa kat luar. Ada roti gardenia tu kamu buat roti telur" mak memberi arahan sambil berlalu untuk ke bilik air. 

Selesai memasak di dapur terus Kak Zana hidangkan  makanan di meja. Kak Zana ajak suami dan mak sarapan bersama. 

Anak-anak masih lena dibuai mimpi. Saban hari bandaraya Ipoh dilimpahi hujan. Sejuknya menusuk sampai ke tulang. Bikin tidur semakin lena. 

Eh. Melalut pulak Kak Zana ni. 

Sesudah sarapan Kak Zana berjalan kaki ke kedai berhampiran untuk membeli bahan-bahan untuk buat mee rebus. 

Kak Zana beruntung kerana sempat belajar memasak dengan arwah ibu saudara yang dipanggil Mak Opek. Ingat lagi sewaktu Mak Opek masih sihat. Kak Zana baru nak buka perniagaan cafe. Jadi arwahlah yang mengajar Kak Zana masak kuah mee rebus dan beberapa lagi menu. Sepertii biasa resepi arwah main campak-campak saja. Jadi Kak Zana ambil masa beberapa kali untuk dapatkan resepi yang ideal bagi memudahkan pengkongsian. 

Sebab Kak Zana sangat memahami.

Sesetengah orang dengan hanya resepi campak-campak saja boleh jadikan rasa makanan yang sangat WoW!

Ada sesetengah orang pulak memerlukan resepi yang terperinci. Sebab tahap pemikiran setiap manusia tu berbeza.

Resepi ni resepi turun temurun dari arwah embah lanang Kak Zana (atuk lelaki sebelah mak). Arwah embah lanang ni memang pandai memasak. Arwah juga adalah seorang tukang masak kepada pengurus sebuah bank saudagar berbangsa Inggeris dan keluarganya di Teluk Intan suatu ketika dulu. 

Memang tak dapat dinafikan akan kepakaran yang dimiliki oleh arwah embah lanang ni. Bakat dan kepakaran memasak ni menurun pulak kepada arwah ibu saudara Kak Zana iaitu Mak Opek dan mungkin juga Kak Zana mewarisi bakat tersebut. 

Ramai yang bercakap kalau Kak Zana masak apa saja mesti menjadi dan sedap.

Eh. Terperasan pulak tiba-tiba kan

Jomlah tengok resepi sebelum Kak Zana melalut lebih-lebih. 


Bahan-bahan:

Bahan A
200g bawang besar - dikisar
5 ulas bawang putih - dikisar
1 inci halia - diikisar
1 inci lengkuas - dikisar

4 batang serai dititik

1 sudu teh serbuk lada hitam ditumbuk

1 sudu besar rempah kari daging

1kg ubi keledek (campur oren dan putih) - dikisar halus
2 cawan udang geragau - diikisar halus
500g kulit udang (direbus dan dikisar - ambil airnya) - pilihan

Garam dan gula secukup rasa dan sedikit minyak untuk menumis.

Nota: Kak Zana letak 2 sudu kecil garam dan 5 sudu besar gula. (Ikut citarasa masing-masing)

Cara-caranya:

Panaskan minyak. Masukkan serai yang telah dititik. Setelah serai kekuningan baru masukkan bahan-bahan A. Tumis hingga kekuningan. Kemudian masukkan rempah kari daging dan serbuk lada hitam. Kacau rata. Masukkan air udang. Kemudian masukkan udang geragau dan ubi keledek yang telah dikisar. Tambahkan 2 cawan air. Biarkan kuiah mendidih.Guankan api sederhana besar. Perisakan dengan gula dan garam. 

Bahan-bahan untuk membuat kriuk dan cara-caranya:

1 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan udang geragau (boleh tambah untuk lebih rasa udang)
1 cawan air

Kisar kesemua bahan-bahan diatas. Adunan tidak boleh terlalu pekat. Boleh lihat video dibawah.






Kriuk Rangup.
 Alaskan dengan tisu untuk toskan minyak

Bahan-bahan untuk dikisar

Mak dah siap-siap pesan tadi "kamu jangan letak jintan manis dalam kuah tu. Mak tak suka"

Resepi asal dari arwah Mak Opek memang ada letak sedikit serbuk jintan manis anggaran 1/2 sudu kecil. Jadinya hari ni memang Kak Zana tak letak jintan manis.

Jangan derhaka cakap mak.


Selamat Mencuba.

Resepi Puding Jagung Cik Zida


Assalamualaikum

Puding Jagung Cik Zida ni sangat sedap. Lemak manis dan berkrim. Manisnya yang tidak keterlaluan dengan rasa lemak dari jagung itu sendiri.

Sebenarnya minggu lepas dah dua kali Kak Zana buat puding jagung ni. Tempohari tersalah beli jagung tin. Akhirnya bersusun 3 tin jagung di rak. Takut pula terlepas pandang nanti tarikh luputnya. Jadi Kak Zana rajinkan diri. Itupun masih berbaki satu tin.

Cara membuat puding jagung ni sangat mudah dan cepat. Dan yang penting sangat sedap.

Resepi puding jagung ni diberikan oleh kawan baik Kak Zana iaitu Cik Zida. Sudah beberapa kali resepi puding jagung ni hilang dari simpanan Kak Zana. Maklumlah zaman sekarang ni semua resepi simpan dalam handphone. Jadinya bila handphone rosak dengan resepi-resepi sekali hilang dari radar.

Jadinya bila nak buat puding jagung mesti kena telefon atau whatsapp Cik Zida. Bersiap-siiagalah dengan panahan petir dari Cik Zida. Kena tahan telinga dengar leteran Cik Zida.

Hujan-hujan begini biasanya perut cepat benar terasa lapar minta diisi.

Jom kita buat puding jagung.

Bahan-bahan:

1 cawan tepung kastad
1 cawan gula kastor (Kak Zana kurangkan 1 1/2 sudu besar)
1 1/2 cawan air
1 tin jagung cream (boleh tambah jagung jika suka)
1 tin susu cair
1 sudu besar tepung jagung

Cara-caranya:

Masukkan air, tepung kastad dan tepung jagung ke dalam periuk. Kacau hingga rata. Guna api yang perlahan ye. Kemudian baru masukkan bahan-bahan lain. Kacau hingga rata  Sentiasa kacau hingga adunan menjadi pekat dan licin. Tutup api.

Masukkan kedalam acuan. Kak Zana guna acuan apam solo. Kebetulan memang ada acuan apam solo ini dirumah.

Ataupun boleh juga guna loyang empat segi yang telah dialaskan dengan plastik.

Biarkan sejuk. Baru boleh keluarkan dari acuan ataupun dipotong jika menggunakan loyang.

Sedia untuk dimakan.



Selamat Mencuba.



Resepi Ayam Masak Pakistan


Hujan turun dengan lebatnya.

Syoknya kalau dapat bantal. Tengok pulak mak sedang lena disebelah Kak Zana ni.

Tadi sebelum mak lena dia ada bertanya Kak Zana "kamu buat apa tu?"

Mungkin sebab mak tengok Kak Zana asyik benar mengadap komputer riba dari petang semalam dengan segala macam fail dan buku-buku didepan mata.

Pelik agaknya.

"Kumpul resepi masakan yang belajar dulu-dulu tu mak. Nak masukkan dalam blog" Kak Zana bagitau mak.

Mujurlah mak tak tanya blog tu apa?  Kalau diceritakan pun mak memang takkan tahu. Mak Kak Zana ni sebenarnya nak guna telefon rumah pun tak pandai. Kalau mak nak bercakap di telefon dia akan minta anak-anak saudara yang dailkan nombor. Begitulah selalunya.

Seperti biasa hari ini Kak Zana nak kongsi satu resepi masakan berasaskan ayam. Resepi ini agak istimewa dan unik dari segi rasanya. Ada rasa pedas cili hijau dan sedikit rasa masam-masam manis.

Masih juga dari hasil usaha belajar memasak dengan guru yang sama iaitu Kak Saba.

Mula-mula dulu bila Kak Zana dengar nama masakan tu rasa macam agak pelik kan. Tak dapat nak bayang macam mana rupa dan rasanya.

Bila kelas bermula, semua pelajar mendengar dengan tekun. Catat satu persatu apa yang Kak Saba terangkan.

Baunya saja sudah menyelerakan. Kami saling berbisik. Perut pula semakin berlagu. Tak sabar nak melihatkan hasilnya. Nak merasai keenakkannya.

Fulamak! Sumpah sedap. Kalau tak main sumpah nanti orang tak percaya kan.

Semenjak dari itu Ayam Masak Pakistan ini menjadi menu istimewa buat keluarga Kak Zana terutamanya ketika mengadakan majlis kenduri dan hari raya. Selain rasanya yang sedap ia juga mudah untuk disediakan.

Jom tengok resepinya.



Bahan A:

200ml minyak jagung (Minyak masak biasa pun boleh)
40g bawang putih dimayang
80g bawang merah (kecil) dimayang
1/2 inci halia - ditumbuk

Bahan B:

100g serbuk kari daging
1/2 sudu teh serbuk  putih
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk ketumbar
500ml air
Campurkan dan kaca rata

Bahan C:

250g bawang besar dipotong nipis
8 biji cili hijau dipotong serong
1300ml air paip

Bahan D:

1 ekor ayam anggaran 1.5-2kg dipotong 16 atau 20

Bahan E:

50ml air limau kasturi (angggaran dalam 6 biji)
Garam dan gula secukup rasa








Panaskan minyak dari dari bahan A tadi. Bila minyak panas tumiskan bawang putih terlebih dahulu, Bila kekuningan, masukkan bawang merah dan halia. Goreng hingga kekuningan dan naik bau.

Kemudian masukkan bahan-bahan B. Masak hingga naik bau dan pecah minyak.

Masukkan bahan-bahan C. Dikacau rata. Tutup periuk supaya bawang besar, cili hijau layu. Biar sehingga mendidih.

Masukkan ayam. Kemudian dikacau rata. Gunakan api sederhana besar. Sesekali dikacau.

Akhir sekali masukkan garam (anggaran 3 sudu kecil) dan gula (anggaran 3 sudu kecil) secukup rasa. Kacau. Biarkan hingga masak dalam 10 minit.

Siap. Boleh dihidangkan.

Selamat Mencuba.



Saturday 15 December 2018

Selagi mampu...

Assalamualaikum.

Setibanya Kak Zana dari Kuala Lumpur hari Rabu lepas, hati terus terpempan melihatkan emak terbaring lesu dikatil usang. Katil yang suatu ketika dulu pernah menjadi tempat tidur rwah bapak.

Allahualbar.

Luluh hati melihatkan emak sebegitu.

Sewaktu mennggalkan emak dua minggu lepas, kesihatan emak dalam keadaan baik-baik sahaja. Tak sangka pulak tiba-tiba mak sakit. Mak cakap dah beberapa hari badan mak lemah. Mak hanya mampu terbaring sahaja. Mujur ada adik bongsu dan keluarganya yang balik bercuti.

Adik mengajak mak ke klinik. Mak menolak. "Tak payahlah pergi klinik, nanti mak baiklah" itu yang mak cakap pada adik.

Kak Zana risau sangat. Fikirkan nanti bila kami semua dah balik ke rumah masing-masing. Macam mana dengan mak. Memang mak ada yang menjaganya. Iaitu abang kak Zana yang tidak berkeluarga. Tapi kesihatan abang pun adakalanya terganggu.

Hari ini Kak Zana masih di Ipoh. Esok lusa dah nak balik ke Kuala Lumpur.  Mak pulak tak nak tinggal dengan anak-anak.

Semalam Kak Zana paksa jugak mak ke klinik. Agaknya dengan anak perempuan mak lain sikit. Sekali jer Kak Zana cakap terus mak setuju nak pergi klinik.

Terus Kak Zana bawa mak ke klinik Cheah & Lim di Pekan. Klnik yang telah beroperasi berpuluh tahun. Tidak menunggu lama di klinik sebab pesakit pun tidak ramai.

Alhamdulillah doktor yang bertugas nampaknya doktor yang punyai pengalaman yang luas, Kak Zana meenceritakan serba sedikit tentang sakit mak kepada doktor. Sebenarnya mak menghidapi penyakit Hypothyroid dan juga darah tinggi. Semalam doktor tidak memberikan apa-apa ubat kepada mak dan menyuruh kami bawa mak berjumpa kembali dengan doktor di klinik kerajaan, Doktor khuatir kalau ubat yang mak makan sudah berlebihan.

Dan apa yang bagusnya tentang doktor ini adalah beliau tidak mengambil sebarang bayaran dari kami.

"Kak, doktor ni memang tak ambil bayaran dari orang-orang tua macam mak akan ni" kata salah seorang pekerja klnik setelah berkali-kali Kak Zana bertanya inginkan kepastian.

Sekali lagi Kak Zana tersentak. Masih ada orang yang baik budi seperti Dr Tan ini. Walaupun berbeza agama niat yang baik menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.

Allahu.

Dalam perjalanan pulang ke rumah Kak Zana singgah sebentar di Farmasi Manjoi untuk belikan supplement buat mak dan Kak Zana sendiri.

Biasalah Kak Zana dengan asid folik dan Vitamin B berpisah tiada.

Kak Zana belikan Vitamin C + B untuk mak.supaya dapat memberikan mak tenaga. Kita berusaha selagi boleh. Moga mak kembali sihat.

Rezeki kami agaknya. Semalam berjumpa orang yang baik-baik belaka. Tuan punya farmasi sedekahkan roti canai untuk setiap pelanggannya. Dapat pulak cabutan bertuah.

Melihat kebaikan membuatkan kita ingin terus melakukan kebaikan tanpa henti.

Alhamdulillah.

Resepi Kuih Serimuka


Assalamualaikum

Kuih serimuka ini antara yang paling sedap. Resepi hasil menuntut ilmu dari Kak Saba di Damansara 18 tahun yang lalu. Kak Zana gunakan resepi ini untuk tempahan pelanggan semasa masih bergiat aktif dalam menghasilkan kuih talam.

Ada 2 lagi resepi kuih serimuka dalam simpanan Kak Zana dari dua orang guru yang berbeza.. Akan tetapi  resepi Kak Saba tetap no 1 dihati Kak Zana.

Sekarang Kak Zana dah pencen. Dah malas ambil tempahan. Hanya ambil tempahan dari jiran tetangga sahaja. Itupun bergantung pada kerajinan.

Cuma kadang-kadang tu bila teringin sangat nak makan terpaksa jugaklah buat seloyang. Makannya hanya beberapa keping sahaja. Selebihnya Kak Zana sedekahkan kepada jiran-jiran.

Kebetulan pulak 2 minggu lepas sewaktu Kak Zana nak buat rawatan bekam, terfikir apa yang nak dihidangkan kepada tetamu nanti. Disebabkan memang dah lama teringin nak makan kuih serimuka airtangan sendiri ni maka Kak Zana rajinkan diri. Siapkan seloyang seawal pagi.

Kuih serimuka ini memang menjadi kuih kegemaran Kak Zana dari dulu lagi. Kak Zana sangat menggemari  apa jua jenis kuih dan makanan yang berasaskan pulut. Ketupat pulut, tapai pulut, pulut inti, pulut kuning dengan rendang, pulut putih dengan gula, pulut mangga dan sebagainya.

Jadi jangan salahkan penimbang berat ataupun cermin. Tiada istilah cermin ajaib. Kahkahkah

Sendiri cari masalah kan.



Bahan-bahannya:
Bahagian bawah
600g pulut (direndam sekurang-kurangnya 4 jam)
300 ml santan pekat
300 ml air
2 sudu teh garam (boleh kurangkan)
Bahagian lapisan atas
6 biji telur
80g tepung kastad
280g gula castor
330 ml santan pekat
330 ml air pandan (50g daun pandan dikisar)
atau 1 sudu kecil pes pandan (gunakan pes pandan yang berwarna hijau)
1 sudu kecil air alkaline
1/2 penutup pewarna hijau
1/2 sudu kecil garam
Sedikit esen vanila


Cara-caranya:

Untuk bahagian bawah (pulut)
Kacau rata santan yang telah dicampurkan dengan garam. Satukan pulut dan bancuhan santan. Kemudian tanak pulut hingga lembut.

Masukkan pulut yang sudah ditanak kedalam loyang saiz 10"x10". Loyang terlebih dahulu dialaskan dengan plastik saiz 14"x14". Tekap pulut dengan spatula yang keras hingga pulut mampat dan padat.
Satukan kesemua bahagian lapisan atas kedalam mangkuk. Kacau rata. Kemudian tapiskan. Masakkan adunan ini hingga naik wap dengan menggunakan api yang kecil.

Kukuskan semula pulut yang telah dimampatkan tadi dengan apa yang sederhana besar.. Kemudian masukkan sedikit adunan lapisan atas sehingga menutupi pulut. (Lihat gambar). Kukus dalam masa lebih kurang 3 minit. Kemudian masukkan adunan tepung yang selebihnya. Api tidak boleh terlalu besar ye. Api yang besar menyebabkan lapisan atas akan mengelembung dan berlubang.

Kukus selama 30 minit. Lap utup pengukus setiap 5 minit.

Beginilah jadinya bila api terlalu besar
Lapisan nipis - dikukus dalam masa  3-5 minit

Ada sedikit kenangan tentang kuih serimuka ni. Lepas habis SPM Kak Zana cuba-cuba untuk buat kuih serimuka berdasarkan resepi dari majalah.

Cewah.

Dengan yakin dan semangat yang berkobar-kobar Kak Zana buat kuih serimuka ni. Bila dah siap tu tunggu sejuk dulu baru boleh potong.

Akhirnya tibalah masa untuk memotong kuih dan merasai kesedapan kuih serimuka tu. Kononnya.

Hancur luluh hati bila kuih serimuka tu hanya indah kabar dari rupa. Kahkahkah.

Rasanya sedap ke tak?

Tak payah cerita lah.

Resepi Sambal Goreng Jawa


                                                 

Assalamualaikum.

Sudah lama sebenarnya Kak Zana berhajat nak kongsi resepi Sambal Goreng Jawa resepi keluarga. Masa yang agak terbatas menyebabkan niat itu asyik tertangguh sahaja. Hampir seminggu lebih tidak dapat menyentuh komputer riba.

Beberapa perkara perlu diuruskan sebelum dapat sambung bercuti panjang di kampung halaman seperti yang dijanjikan dengan anak-anak dan juga mak Kak Zana. Mujur anak-anak faham kesibukan Kak Zana beberapa minggu ini. Masak pun seringkas yang mungkin.

Dua minggu lepas Kak Zana masak sambal goreng jawa untuk makan tengahari. Menu kesukaan kami sekeluarga. Makan dengan nasi panas-panas. Cukup untuk menbangkitkan selera.

Kebetulan pulak hari tu ada yang berbaik hati nak keluarkan duit tabung untuk belanja Dominos Pizza.

Yeah.

Bersorak kegembiraan kami dapat makan pizza. Dominos Pizza kami jadikan menu minum petang merangkap makan makan malam.

Oh ye. Resepi sambal goreng jawa ini ada banyak versi sebenarnya.  Ada juga sambal goreng berwarna putih. Ikut selera masing-masing. Resepinya pun berbeza sedikit. Insya'Allah ada masa nanti Kak Zana kongsi resepi sambal goreng putih pulak ye.

Jom kita tengok resepi dibawah.

Bahan-bahannya:

10 batang kacang panjang (dipotong menyerong)
1 keping tempe  (dipotong kecil )
3 biji tauhu basah (dipotong kecil)
2 keping fucuk (direndam kemudian dipotong kecil)
3 biji ubi kentang (Dipotong memanjang)
Sedikit suhun - (direndam)



15-20 ekor udang saiz kecil sebagai rencah (dibuang kulit)
Resepi asal mak guna hati dan pedal ayam

5 biji bawang ros kecil (dimayang halus)
3 batang serai (dihiris halus)
5 ulas bawang putih (dimayang halus)
1 inci halia (dimayang halus)

2 biji cili merah
3 biji cili hijau
Resepi asal mak guna cili kering yang digunting secara menyerong dan digoreng sekejap

2-3 sudu besar cili kering (dikisar halus)
Kicap lemak manis
Kicap pekat (Jalen)
1 cawan santan
Sedikit garam dan gula (secukup rasa)

Sedikit minyak untuk menggoreng

Kesemua bahan seperti tempe, tauhu basah, ubi kentang dan kacang panjang dan udang perlu digoreng terlebih dahulu.



Nota: Kacang panjang dan udang diigoreng sekejap sahaja (Layu)

Cara memasak:

Panaskan minyak. Tumiskan bahan-bahan yang dimayang halus kecuali cili. Biarkan layu. Kemudian baru masukkan cili merah dan cili hijau. Kacau sebentar. Seterusnya masukkan cili kering yang dikisar. Biarkan hingga pecah minyak. Masukkan kicap. Baru masukkan santan yang dicampurkan dengan sedikit air. Masuk santan sedikit demi sedikit. Masukkan fucuk terlebih dahulu. Biar fucuk agak lembut. Bila fucuk sudah agak lembut baru masukkan kesemua bahan-bahan lain. Tambahkan garam dan gula. Kacau sehingga rata dan agak kering. Masak dengan api perlahan.

Ikut selera masing-masing ya sama ada nak sambal goreng agak kering atau basah. Kalau Kak Zana suka yang agak basah. Jadi biasanya Kak Zana akan lebihkan air dan santan.

Nota: Kicap memang sudah masin kan. Jadi jangan letak garam banyak. Ikut sukatan Kak Zana lebih kurang 1/4 sudu teh sahaja. Gula 1 1/2 sudu teh. Kalau nak lebih manis boleh tambahkan gula.

Selamat Mencuba.

Kak Zana anak jawa. Mak bapak dua-dua orang jawa. Jawa Perak. Tapi tak pandai cakap jawa. Rugi pulak rasanya dulu-dulu tak nak belajar. 

Sambil menulis ni terbayang-bayang pulak keenakan gemblong air tangan embah-embah di kampung Changkat Petai.  Kalau dulu bila ada kenduri wajib ada gemblong ni. 

Gemblong diperbuat dari pulut. Pulut dikukus. Dicampurkan dengan kelapa parut, sedikit gula dan garam. Kemudian ditumbuk dan letakkan didalam dulang bulat yang dialaskan dengan daun pisang. Padat-padatkan. 

Sedia untuk dimakan.












Sunday 9 December 2018

Rawatan Bekam

Assalamualaikum

Setelah beberapa kali bertangguh untuk ke klinik bagi membuat pemeriksaan kesihatan akhirnya Kak Zana memilih untuk membuat rawatan alternatif iaitu dengan berbekam. 

Ini merupakan rawatan bekam yang kedua kalinya setelah beberapa tahun.  Dahulu Kak Zana pernah membuat rawatan bekam ini dari seorang kenalan di FB.

Sakit kepala yang berterusan selama beberapa hari. Ada waktunya sakit itu hilang hanya dengan sebiji pil tahan sakit. Kemudian ia datang semula seperti tiada noktahnya. Muka semakin sembab. Badan jadi lesu.

Kebetulan pula sewaktu menghadiri kelas santai fotografi di Bangi tempohari ada seorang kenalan berikan nombor telefon orang yang membuat rawatan bekam ke rumah. Disebabkan pada waktu itu Kak Zana tergesa-gesa untuk pulang ke kampung jadinya Kak Zana tangguhkan dulu niat tersebut.

Bertahan selagi mahu.

Kembalinya Kak Zana ke Kuala Lumpur terus Kak Zana hubungi nombor telefon yang diberi.

"Maaf kak, buat masa ni saya tak boleh buat rawatan rumah ke rumah sebab ada anak kecil. Kalau akak nak kena datang ke rumah saya di Jempol" katanya

"Alamak, nak ke Jempol lah pulak. Sambil fikir-fikir Jempol tu kat mana ye? Ilmu geografi Kak Zana ni agak cetek sikit.

Untungnya bila kita ditakdirkan ada ramai kawan-kawan yang baik. Apa lagi, capai handphone terus whatsapp Cik Zida merangkap kawan baik sehati sejiwa Kak Zana ni. Sebab Kak Zana fikirkan networking Cik Zida ni dia punya kuasa lebih hebat dari internet.

Kahkahkah.

Kan betul. Sekejapan dapat jawapan dari Cik Zida. Rupanya kawan Cik Zida masa zaman kampus ITM di Jalan Othman PJ ada menyediakan perkhidmatan rawatan bekam ni.

Senang cerita kan. Kay Ibrahim yang empunya nama. Sudah beberapa tahun terlibat dalam pekhidmatan rawatan bekam ini dan sekarang sudah mendapat sijil VTO yang melayakkan beliau menjadi tenaga pengajar pula.

Persoalan terjawab setelah beberapa kali berbalas whatsapp.  Puan Kay Ibrahim sudi datang ke rumah Kak Zana pada hari Khamis baru-baru ini. Lega rasanya. Seolah-seolah satu masalah besar telah dapat diselesaikan.

Hari Khamis seperti yang dijanjikan  Puan Kay tiba dirumah Kak Zana sekitar jam 2 petang.

Benar. Setiap orang mempunyai cara rawatan yang berbeza.

Jadinya kali ini Kak Zana diminta untuk mandi terlebih dahulu sebelum rawatan bekam dimulakan.

"Inilah baru kali pertama pelanggan saya ada masalah teruk begni" Puan Kay memberitahu Kak Zana.

Eh! Cuak juga lah Kak Zana yang mendengarnya.

Jangkasama 1 jam selesai rawatan terpaksa dilanjutkan gara-gara darah yang keluar tidak banyak. Puan Kay terpaksa mengulangi proses rawatan bekam sebanyak 2 kali bagi memuaskan hatinya sebagai perawat dan pastinya juga untuk kebaikan Kak Zana.

Dari rawatan bekam ini, Kak Zana dapat banyak ilmu. Contohnya kalau darah berwarna agak pink ini bermakna tubuh badan pesakit kekurangan vitamin B terutamanya B6 dan B12.

Sebenarnya dalam 2 bulan ni Kak Zana agak malas nak makan suplemen yang menjadi rutin iaitu asid folic, B6 dan B12 untuk orang yang kekurangan darah seperti Kak Zana ini yang boleh menyebabkan anaemia.

"Peredaran darah pun kurang lancar. Bahaya ni Su, kalau dibiarkan boleh sebabkan strok. Darah tak mengalir dengan baik. Ni kalau ada darah tinggi lagi bahaya". Ujarnya lagi.

Kak Zana hanya mampu angguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan apa yang Puan Kay terangkan. 

"Stress pun boleh jadi penyebab Su, kita ni orang perempuan kalau bab-bab memikir ni kadang-kadang tu memang berlebih-lebih" sambungnya lagi.

Hahaha. Betul lah tu. Dah terang nak suluh lagi ke?

Seterusnya Puan Kay serba sedikit memberikan tips penjagaan kesihatan termasuklah kena rajin bersenam.

Ye lah. Nanti Kak Zana bersihkan semula treadmill yang sudah lama dibiarkan sepi.

Jeng jeng jeng!

Kasut baru please! Baru semangat nak bersenam.

Jujurnya memang Kak Zana jatuh cinta terus dengan perkhidmatan yang diberikan Puan Kay ni. Kalau markah 10, Kak Zana bagi 10/10.

Nampak keikhlasan hatinya dalam memberikan rawatan yang terbaik.

Alhamdulillah selepas rawatan bekam itu Kak Zana rasa lebih bertenaga. Sakit kepala pun dah hilang.

Kembali bersemangat untuk bekerja.


Dibawah ini Kak Zana kongsikan serba sedikit maklumat  tentang perkhidmatan yang Puan Kay sediakan.

Rawatan Urutan dan Bekam - U Maira Therapist

3 jam rawatan  - RM200

Rawatan bekam 21 cup - RM100

Perkhidmatan lain antaranya adalah:-

Perkhimatan Rawatan Ibu Bersalin
  • mandi herba
  • tangas
  • tungku
  • urut satu badan
3-4 jam rawatan sehari dengan caj RM170.00

Rawatan Urut Kesuburan
  • tangas
  • urut satu badan
  • sengkak rahim
3 jam rawatan dengan caj RM160.00 

Rawatan Urut Kesihatan
  • tangas
  • urut badan
  • aromaterapi
2 jam rawatan dengan caj RM150.00

Caj pengangkutan luar Ampang RM20.00


Selamat Malam. 



























Wednesday 5 December 2018

Kenangan anak sulung berkhatan


Cuti hujung tahun.

Ramai ibu-bapa yang ambil peluang cuti panjang ini untuk lakukan pelbagai aktiviti dengan anak-anak. Salah satunya ialah khatankan anak.

Bila asyik lalu lalang di muka buku tentang majlis berkhatan yang diadakan apatah lagi dengan tularnya  beberapa video anak-anak yang ketakutan bila berhadapan dengan doktor. Macam-macam cara mereka lakukan untuk hilangkan ketakutan berdepan dengan doktor. Ada yang menyanyi dan membaca surah sekuat hati. Kelakar pun ada.

Membuatkan Kak Zana teringat kenangan anak sulung melalui proses berkhatan. Dulu anak sulung berkhatan sewaktu umurnya 8 tahun. Baru darjah 2 masa tu. Sebenarnya maknya yang lebih teruja nak khatankan anak. Anak sulunglah katakan.

Jadinya kami suami isteri sepakat untuk mengadakan majlis kenduri. Jemput saudara mara yang jauh dan dekat. Itu saja peluang yang ada untuk berjumpa adik beradik dan saudara mara yang jauh.

Anak sulung kami namanya Muhammad Daniel Asyraq. Sekarang dah 21 tahun umurnya. Daniel memang sedia maklum dan sudah bersetuju untuk dikhatan pada waktu itu. Jadi semua perancangan telah diaturkan dengan teliti. Kami mulakan dengan mendaftar nama Daniel untuk berkhatan di klinik Halim & Surgeri. Seterusnya barulah urusan majlis kenduri seperti sewa kanopi dan kerusi meja, makanan dan cenderahati untuk tetamu-tetamu yang datang. Kumpulan Marhaban juga tidak dilupakan.

Seronoknya waktu itu. 

Ramai ahli keluarga dan saudara-mara dapat berkumpul dan bersetuju untuk bergotong-royong memasak juadah untuk tetamu yang datang. Pelbagai menu disediakan.

Selesai majlis.

Esoknya pula adalah hari yang mendebarkan buat Daniel. Ditemani oleh atok dan nenek saudara, pakcik dan makcik ke klinik. Seawal pagi kami sudah bersedia untuk menemani Daniel.

Bila dingatkan kembali, nak ketawa sendiri pun ada.

Mana taknya. Berkhatannye seorang saja. Bodyguard lagi ramai.

Dalam hati Kak Zana  berterusan berdoa agar dipermudahkan segala urusan.

Tiba-tiba pulak Daniel beritahu ayahnya nak tukar giliran padahal gilirannya dah hampir. Dah dibius pun.

.Panik kami sekejap. Mujur ramai yang memujuk. Selesailah bab tukar giliran tu.

Ingatkan dah berakhirlah drama sandiwara tu. Selesai berkhatan pulanglah kami semua kerumah. Tak sampai 30 minit pun. Drama baru muncul.

Daniel tiba-tiba menangis. Terpekik terlolong. Satu Kampung Baru boleh dengar. 

"Sakit, sakit...ni mamalah punya pasal ni. Suruh sunat cepat-cepat"

Kak Zana rasa macam nak lari menyorok belakang pintu.

Dalam hati cakap "habislah aku kena marah pulak lepas ni".

Habis semua nenek, atok, pakcik dan makcik juga sepupu sepapat mententeramkan Daniel. Nenek saudara pujuk sambil suapkan makanan. Ayahnya pulak mengumpan katanya

"Petang ni ayah belikan PS2 ye".

Terus hilang tangisannya. Bersedia untuk diberikan ubat tahan sakit. Kemudian terus tertidur. Kebetulan pulak saudara-mara dan tetamu ramai yang menyumbang wang ringgit. Mencecah 1k jugaklah masa tu. Duit itulah yang digunakan untuk beli PS2.

Rupa-rupanya, melalui pengalaman berkhatan anak yang kedua tahun lepas, sepatutnya sebaik sahaja sampai dirumah terus diberikan makan kemudian makan ubat tahan sakit. melebihi dos supaya tak rasa sakit dan boleh tidur dengan lena.

Itu lah kisahnya. Ye lah. Pengalaman pertama kan waktu tu.

Teringat zaman abang-abang berkhatan dulu dengan Tok Mudim. Tanpa bius. Tapi tengok mereka rileks je. Belum lagi dengan kisah mereka ditakutkan dengan kepercayaan karut.

Ajaran sesat. Hahaha.

Resepi Ikan Cencaru Sumbat


Assalamualaikum.

Makan apa tengahari tadi?

Kak Zana masak ikan cencaru sumbat sambal belacan dan sayur petola campur suhun tumis air. Dah 2 hari asyik makan lauk ayam je. Jemulah pulak.

Memang beginilah kami. Cukup dengan satu lauk dan satu sayur sahaja.

Jadinya, hari ni Kak Zana nak kongsi resepi ikan cencaru sumbat sambal belacan ni ye.

Eh.

Resepi ikan cencaru sumbat pun nak kongsi ke? Apa salahnya kan. Cara masak setiap individu kan berbeza. Resepi pun berbeza. Kadang-kadang resepi tu sama tapi air tangan berbezakan. Sesetengah orang masak main campak-campak pun sedap dan begitulah juga sebaliknya.

Dah siap!
Jom kita tengok resepi dan cara-cara memasaknya.

Bahan-bahan:

4 ekor ikan cencaru sederhana besar (dibelah belakang & jangan buang kulit)

12 biji cili merah
10 biji cili pdi
2 inci belacan (kalau takut hidung tercabut, boleh kurangkan)
1 1/2 sudu kecil gula
Sedikit air asam jawa (1/2 cawan asam jawa + sedikit air)
Sedikit garam dan serbuk kunyit untuk digaulkan dengan ikan

Cara-caranya::

Kisar cili merah, cili padi, belacan, air asam jawa dan gula. Jangan terlampau halus. Kemudian toskan airnya. Kalau guna 'food processor' tak perlu gunakan air untuk proses mengisar. Jadi tidak perlu tapis cili yang telah dikisar itu.

Boleh juga cili yang telah dikisar itu disimpan sebentar di dalam peti ais. Supaya bancuhan cili itu mengeras sedikit.

Ikan digaul dengan garam dan serbuk kunyit. Kemudian masukkan cili kedalam ikan. Seperti gambar dibawah.

Panaskan minyak. Jangan gunakan banyak minyak. Boleh lihat gambar yang Kak Zana kongsi ye.



       

Resepi ikan cencaru sumbat ni ada macam-macam versi. Ada yang letak serai, bawang merah, bawah putih. Ada juga yang letak kelapa parut yang ditumbuk lumat bersama dengan cili. Ikut selera masing-masing.

Resepi Kak Zana kongsi ni sangat mudah kan. Inilah resepi yang Kak Zana guna dari dulu. Tapi kalau ikut cara mak, memang letak serai sikit. Kak Zana lebih terpengaruh dengan cara arwah mak saudara memasak.Banyak belajar dari arwah setiap kali musim cuti sekolah.

Anak-anak pun memang suka yang begini. Gandingkan pulak dengan masak lemak putih fucuk campur suhun dan tauhu basah.

Perghhhh!

Boleh lupa segala masalah. Tangguh diet hingga ke tahun hadapan.


Goreng 2 ekor sahaja dalam satu masa

Sambil menaip terdengar sorakan dari luar rumah. Rupanya ada perlawawan separuh akhir Piala AFF Suzuki antara pauskan Malaysia dan pasukan Thailand. Ini adalah perlawanan timbal balik dimana pada perlawanan pusingan pertama di Malaysia keputusan perlawanan berakhir dengan kedua-dua pasukan seri 0-0. 

Saat ini, kedua-dua pasukan seri 1-1. Andainya keputusan ini kekal hingga ke akhir perlawanan, maka dengan itu pasukan Malaysia layak untuk ke pusingan akhir menentang pasukan Vietnam ataupun Filipina.

Go Malaysia! 

Apa kena mengena ikan dengan bola pulak  ni? 




Resepi Roti Jala

Assalamualaikum

Hai semua.

Hari ni Kak Zana nak kongsi satu resepi mudah untuk membuat roti jala. Resepi roti jala yang Kak Zana nak kongsikan ini adalah resepi dari guru masakan Kak Zana iaitu Kak Saba. Beliau adalah orang lama dalam bidang masakan  khusus untuk kuih-muih melayu. 

Kuih-muh melayu yang beliau hasilkan mendapat tempahan dari hotel-hotel terkemuka di Selangor dan Wilayah Persekutuan KL. 

Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) antara pelanggan utama Kak Saba. Roti jala yang dihasilkan Kak Saba dan pasukannya berjaya terbang  megah dengan pesawat MAS pada suatu ketika dulu. 

Dengarkan kejayaan yang diraih Kak Saba sudah cukup membuatkan hati Kak Zana semakin berkobar-kobar untuk kembangkan perniagaan wlaupun pada masa itu belum secara sepenuh masa.

18 tahun sudah berlalu. Pada waktu itu gigih kumpul duit gaji untuk menuntut ilmu masakan ni. Sanggup ambil cuti sebab ada waktunya kelas diadakan pada hari bekerja. Sanggup redah kesesakan lalu lintas dan atasi ketakutan memandu sendiri. 

Resepi roti jalan ni ada pelbagai versi. Boleh saja cari di internet kan. Tapi untuk dapatkan resepi yang menepati selera adakalanya sukar. 

Percayalah, semenjak Kak Zana masuk kelas Kak Saba 18 tahun yang lalu Kak Zana hanya gunakan resepi ni sahaja sampai sekarang. Tak mungkin ku berpaling lagi.

Cewah! Macam tajuk lagu pulak dah.

Jom kita tengok resepinya. Resepi yang sangat mudah. 


Bahan-bahan:

600g tepung gandum (Cap Sauh)
4 biji telur
2 sudu kecil garam
1/2 penutup pewarna kuning telur
Sedikit esen vanila
2 sudu besar minyak sapi atau minyak jagung
1 liter air

Bancuhkan kesemua bahan-bahan di atas. Kemudian tapiskan. Kalau pekat boleh tambahkan sedikit air.


Roti jala sedap dimakan dengan kuah durian. Sesetengah orang namakannya Serawa Durian. Juga boleh dimakan dengan kari ayam ataupun kari daging.

Biasanya Kak Zana ambil tempahan roti jala ini dengan minimum tempahan 100 keping roti jala dan kari ayam (1/2 ekor) dengan harga RM80.00.


Ada kelapangan nanti, Kak Zana akan kongsi pula resepi kari ayam yang sedap dan serawa durian. Insya'Allah.

Hari pun dah nak maghrib.

Selamat Mencuba.

Resepi Kuih Puteri Ayu


Assalamualaikum

Hari ini Kak Zana nak kongsi satu resepi kuih yang mudah. Walaupun tidak menggunakan banyak bahan tetap rasanya menambat hati.

Sedap.

Cara nak buat pun memang senang sangat.

Macam pagi tadi, Kak Zana terlupa yang hari ni ada kelas mengaji lepas asar. Tiba-tiba diingatkan oleh Ustazah yang mengajar melalui whatsapp. Memang menjadi kebiasaan bila ada kelas mengaji, Kak Zana akan buatkan 1 jenis kuih untuk waktu rehat kelas mengaji ni. Saja suka-suka sambil cari pahala. Tidaklah sampai nak menunjuk-nunjuk yang kita ni pandai serba-serba.

Kalau ikutkan semangat yang tiba-tiba hilang entah kemana semenjak beberapa hari ni memang tak terbuatlah apa-apapun.

Puas juga pujuk hati. Jangan ambil pusing dengan apa yang orang kata, Pedulikan mereka yang kita anggap sahabat sejati saat diri dipinggirkan.

Bangkitlah sebelum kau terus rebah
Melawanlah tanda kau tak kalah
Pilihlah jangan kau tersalah
Cintailah usah kau berubah

Kita hanya manusia biasa.

Tak pernah tak silap dan tak pernah tak salah.

Betul tak?

Hari ni Kak Zana dibantu anak-anak untuk sediakan bahan-bahan kuih puteri ayu ni. Senang kerja mak hari ni. Alhamdulillah.




Jom kita tengok resepi dibawah.

Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum (apa-apa jenama pun tak kisah)
1 cawan gula halus
2 biji telur Gred B
1 sudu kecil ovelete
1 cawan santan pekat
1 sudu kecil pes pandan


Bahan-bahan lain:

1 biji kelapa parut putih
Sedikit garam
1 1/2 sudu besar tepung ubi

Gaul semua bahan di atas hingga rata. Masukkan ke dalam acuan dan ratakan.



Cara-caranya:

Pukul telur, gula dan ovelete sampai gebu. Masukkan pes pandan, santan dan tepung.

Biarkan air mendidih dahulu. Masukkan acuan yang telah diisikan dengan kelapa parut. Kukuskan sebentar. 2-3 minit. Kemudian baru masukkan bancuhan tepung. Jangan penuh sangat sebab adunan akan mengembang sedikit dalam proses mengukus.

Kukus selama 15 minit sampai masak dengan api yang sederhana.

Siap.

Dah siap letak kelapa. Macam nilah
Bahan-bahan yang digunakan


Selamat Mencuba.



Saturday 1 December 2018

Dilema Seorang Anak



Ada sedikit gundah bersarang dihati.

Semalam mak banyak menghabiskan masanya dengan berbaring di katil. Mungkin mak penat. 

Usia mak sudah mencecah 80 tahun. Apa lagi kudrat mak yang tinggal?

Dah dipesan banyak kali pada mak supaya jangan berdiri lama-lama. Mak tak kuat. 

Tetap juga mak berdegil. Mak tetap gigih memasak. Tak sedap katanya kalau beli dikedai. Masak sendiri kalau lauk biasa-biasa pun terasa sedapnya.

Diamkan saja. Tak boleh nak melarang. Takut nanti mak berasa hati. 

Ceritanya adik-beradik kami ni ada sepuluh orang. Tapi empat orang terlebih dahulu telah pergi menemui Sang Pencipta. Tinggal 6 orang. Kak Zana seorang saja anak perempuan yang tinggal. Bila bapak pula meninggal dunia bulan April yang lalu menambahkan lagi kesedihan mak. Dalam jangkamasa 2 tahun kami kehilangan 3 ahli keluarga yang kami sayangi.

Benar. Mak sangat terpukul dengan kehilangan yang terlalu drastik. 

Semalam Kak Zana luangkan masa untuk mak. Urutkan kaki dan tangan mak. Biar mak rasa sentuhan kasih sayang dari anaknya.

Ada tanda-tanda kakinya membengkak sedikit. Kata doktor tempohari pemeriksaan jantung akan dilakukan sekiranya bengkak dikaki mak merebak hingga ke lutut. Dengarkan pemeriksaan jantung itu sahaja sudah cukup membuatkan hati Kak Zana ni tidak keruan. 

"Macam manalah aku nak balik esok pagi ni?" 

Kak Zana bermonolog sendiri sambil tangan ini mengurut lembut kaki dan tangan mak yang sudah semakin dimamah usia.

Mesti mak sedih. Esok cucunya dah nak balik ke Kuala Lumpur. 

Sebelum ni memang mak dah bertanya dengan angah "Nak duduk sini tak temankan embah".

"Angah nak, tapi adik pulak tak nak"

Angah menjawab. 

Mak tidak tinggal berseorangan sebenarnya. Ada seorang abang yang bujang terlajak menemani mak. Cuma keadaan kesihatannya juga tidak memberangsangkan. Umurnya juga sudah mencecah 60 tahun. 

Dan pagi tadi memang betul-betul mak buat drama. Selalunya mak tak macam ni. 

Sesudah Kak Zana selesai gorengkan nasi untuk dijadikan sarapan kami sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, terus mak bertanya.

"Kamu nak balik pagi-pagi ni ke?"

"Ye lah mak, petang ni ada temujanji dengan doktor. Nanti baliklah lagi"

Lagipun memang ada beberapa hal yang perlu Kak Zana selesaikan dalam minggu ini. 

Mak lupa agaknya. Awal-awal Kak Zana dah beritahu nak balik Kuala Lumpur Jumaat pagi.

Lepas tu mak nak sidai kain. Dalam bakul tu ada kain baju kami anak-beranak. Semalam dah basuh siap-siap. Sampai Kualu Lumpur boleh terus sidai saja. Mak cakap baju tu biar mak sidai je. Tak payah bawa balik. Baju yang dah kering pun ada tak berlipat lagi. Nanti nak balik sini tak payah bawak baju banyak-banyak.

"Nanti nak balik lagi kan" kata mak.

Alamak. Kira dah macam janjilah ni.

Memang Kak Zana merancang untuk balik lagi ke Ipoh dalam seminggu dua ni. Sebab anak-anak nak jumpa sepupunya yang di Terengganu. Minggu depan baru mereka pulang ke Ipoh.

Ye mak. 

Insya'Allah ada rezeki kami balik secepat mungkin. Doakan saja urusan anak dan menantu mak ni berjalan dengan baik.

Rehatkan minda yang serabai.






Thursday 29 November 2018

Resepi Chicken Chop Sedap



Assalamualaikum

Seperti yang dijanjikan dalam entri semalam. Hari ini Kak Zana nak kongsi resepi Chicken Chop


Bahan-bahan:

5 ketul ayam - dikelar-kelar sedikit (beli di kedai menjual produk seju beku)
-Perapkan dengan sedikit lada putih, garam, sos lea & perrins, perahan lemon dan telur

8 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
Sedikit serbuk roti (jika suka)


Bahan untuk sos:

200g sos perang (beli di kedai menjual produk sejuk beku)
5 helai daun bay
1 sudu besar daun basil kering
1 sudu besar daun pasli kering
Sedikit rosemary kering (tak letak pun takpe)
3 sudu besar lada hitam (nak lebih rasa pedas lada hitam, tambahkan saja)
125g mentega
3-4 biji bawang holland (dikisar halus)

Lada hitam dikisar. Kemudian ditapis. Serbuk halus dibuang. Hanya guna lada hitam yang berbiji-biji sahaja.

Cara-caranya:

Gunakan mentega untuk menumis. Masukkan bawang holland yang sudah dikisar. Biar layu sedikit. Masukkan sos perang yang telah dibancuh dengan sedikit air supaya tidak berketul-ketul. Tambahkan air sedikit demi sedikit mengikut kepekatan. Seterusnya masukkan daun bay, basil, pasli dan rosmary. Kacau hingga rata. Masukkan lada hitam. Kacau lagi hingga mendidih. Kalau kuah agak pekat boleh tambahkan air lagi. Mesti sentiasa dikacau ye supaya tak hangit dibawahnya nanti. Tambahkan sedikit gula jika suka. Kak Zana tak letak pun.

Gunakan minyak yang banyak untuk menggoreng. Ayam yang telah diperap itu kemudiannya digaulkan dengan tepung. Ulang proses sebanyak 2 kali. Boleh juga salutkan dengan serbuk roti berwarna putih atau oren. Kak Zana tak guna serbuk roti sebab anak-anak tak suka. Goreng ayam hingga cukup masak.

Nota tambahan:

Kentang goreng atau kentang putar dan coleslaw

Boleh juga tambahkan jagung rebus yang dikerat 3

Atau pun brokoli yang dikukus, kemudiannya dibalut dengan aluminium foil dan dibakar sebentar.

Cukup mengenyangkan.

Tadi Kak Zana buat 4 set Grilled Chicken dan selebihnya Chicken Chop.

Berkongsi rezeki hari ini dengan orang yang nak berbuka puasa. Mak mertua, kakak ipar dan anak-anak saudara. Puas makan.

Kalau beli dah berapa RM tu?

Eh. Lupa pulak. Sukatan sos ni boleh dapat untuk 30 set atau lebih ye.

Kak Zana dah terbiasa buat banyak-banyak.

Selamat Mencuba.

Kisah Mama, Angah dan Kucing





Semalam habis dikerjakan kucing kesayangan arwah embahnya. Dimandikan kucing tu. Si kucing pulak pandai, bila nak dimandikan kelam kabut dia melarikan diri. Kalau tidak bukan main manja lagi dia dengan si Angah. Pagi-pagi lagi dah disondolnya kaki Angah suruh bangun. Kalau Angah tak bangun, dia siap baring atas tilam. 

Dia tau Angah sayangkan dia.

Si adik pulak walaupun takut dengan kucing tapi tetap menolong abangnya pegangkan paip nak bagi kucing mandi.

Tak sangka pulak Angah ni penyayang kucing. Kalau ikutkan abangnya dulu, memang takut dengan kucing. Kalau ke kedai makan yang ada kucing, tak senang nak makan dibuatnya. Dia punya menangislah takutkan kucing tu. Samalah dengan si bongsu Azalia pun takut dengan kucing.

Dulu masa Angah kecil, nampak saja kucing terus dikejarnya. Kadang-kadang tu diitarik ekornya. Kami yang ketakutan takut kucing tu mengamuk.

Sifat sayang kucing ni menurun dari maknya. Siapa lagi? Kak Zana lah kan.

Kak Zana tersuka kucing ni pun tanpa sengaja sebenarnya. Eh. Dah macam tajuk drama TV3 pulak kan.

Bermula bila adik bawa anak kucing jalanan sewaktu balik dari surau. Dia jumpa di tepi jalan. Anak kucing tu masih kecil lagi. Adik risau kalau kucing tu kena langgar, jadi dibawa balik kucing tu kerumah.

Bermulalah episod menjaga kucing itu yang kami namakan MeMe. Memang comel sangat.

Hari demi hari Kak Zana semakin sayang dengan 'MeMe' ni. Tidur pun kadang-kadang sekatil.

Satu kejadian yang membuktikan kasih sayang tu bila pada suatu hari di bulan puasa, abang Kak Zana ni dah macam orang terencat akal pun ada. Main mercun siang-siang buta.

'MeMe' ni bila dengar letupan tu terus terkejut. Dia punya pecut macam acara lari balapan 100m tu sampai naik atas pokok kelapa. Sudahnya turun tak pandai.

Adoi. Pening juga dibuatnya. Jenuh fikir macammana nak turunkan. Takkan kami pulak yang nak panjat pokok kelapa tu kan.

Sudah tu bawah pokok kelapa ada pulak telaga. Kalau lah Meme jatuh kedalam telaga tu. Gerenti mati kan.

Itulah yang Kak Zana bebelkan dengan abang. Selagi dia tak selamatkan MeMe.

Dua malam tidur Kak Zana tak lena. Sampai termimpi-mimpikan MeMe.

Sungguh.

Putus cinta pun tak seteruk ini.

Entah mcammana MeMe ni boleh turun, Kak Zana tak berapa ingat. Tapi selepas 3 hari rasanya. Puaslah menangis. Kesiankan MeMe kebuluran. Masa tu memang bergaduhlah dengan abang macam nak meletus Perang Dunia Ke-3 lagaknya.

Mak dengan arwah bapak hanya mampu tengok saja gelagat anak-anaknya bergaduh pasal kucing.

Demi kucing juga Kak Zana sanggup saja ikat perut. Nak bawa kucing ke klinik haiwan lah katakan. Ada satu hari tu siap panggil doktor datang rumah. Tapi kesian doktor tu kena halau dengan mak.

Sebab mak memang tak berapa suka dengan kucing.

Akhirnya MeMe ni merajuk sebab Kak Zana mula bekerja di Kuala Lumpur. Lepas beberapa minggu Kak Zana tiada di kampung, dia pun bawa diri sebab selain Kak Zana, memang tiada siapa yang sayangkan kucing kecuali arwah bapak.

Kejadian yang membuatkan mak lagi marah dengan Kak Zana, bila setiap kali Kak Zana telefon mak di kampung. Bukan nak tanya mak sihat ke tidak.

"MeMe ok ke mak? Mak bagi makan tak?

Nyaris lah mak bukan jenis nak carutkan anaknya sesuka hati kan. Kalau tak, memang nasib tak baiklah kau Suzana. Lain kali kau tanyalah mak dah makan ke belum. Baru lah betul.

Tapi yang sedihnya MeMe ni bila dia nak mati, dia balik kerumah. Mati dihadapan rumah. Memang sedih sangat bila dapat tau.

Berakhirlah kisah Kak Zana dengan kucing. Semenjak itu memang Kak Zana tak nak bela kucing. Tengok kucing pun, jeling-jeling je.

Sekarang penyakit sayang kucing tu dah berjangkit pulak dengan Angah. Memang dah lama dia minta nak bela kucing dirumah. Tapi tinggal di kondominium tidak mengizinkan kami membela kucing.

Mujurlah.

Kalau tak, lagi pening mak dibuatnya.

Tu lah semalam bila Kak Zana cerita yang Kak Zana dulu ada bela kucing. Anak-anak ni macam tak percaya.

Habis Kak Zana kena soal siasat.

"Apa nama kucing mama dulu"

"Kenapa kucing tu mati". Banyak lagi soalan yang ditanya.

Kak Zana bagitau kucing tu mati sebab bunuh diri. si Azalia ketawa mengekek-ngekek.

"Ma, kucing mana boleh bunuh diri" katanya.

"Siapa kata tak boleh, hari tu kucing mama siap ada tali di leher dia. Tu bunuh diri lah tu" Kak Zana sengaja sedapkan cerita.

Melampau kan mak punya reka cerita.

Selain MeMe ada jugak kucing lain masa tu. Tapi tak sempat hidup lama. Ada yang mati kena langgar.

Tadi ada anak saudara mengimbau kenangan tentang kucing Kak Zana.

Kata mereka "kami dulu sengaja potong misai MeMe tu. Barulah nampak comel".

Nak cakap apa lagi?

Pasrah sajalah.



Resepi Daging Dendeng Sambal Hijau

Assalamualaikum.

Hari ini Kak Zana nak kongsi satu resepi berasaskan daging yang mudah dan sedap.

Pernah dengar daging dendeng? 

Menu ini sangat popular di kedai-kedai minang terutamanya bila kita berada di Indonesia. Pasti disetiap kedai ada dihidangkan daging dendeng ini. 

Cara memasaknya sangat mudah. Bahan-bahan yang digunakan juga tidak banyak.

Bahan-bahan:

600g daging dipotong nipis dan lebar (daging ais pun boleh)

30 biji cili hijau (direbus sehingga lembut)
5 ulas bawang putih
Sedikit lada sulah
Sedikit garam
Sedikit serbuk perisa (tak letak pun takpe)

Minyak untuk menggoreng

Agak gelap sedikit warnanya sebab terlupa kacau

Cara-caranya:

Rebus daging hingga lembut. Sewaktu merebus daging tambahkan lada sulah, sedikit garam dan perisa. Bila daging dah lembut, buangkan air rebusan. Biar daging sejuk sebentar. Kemudian daging ditumbuk menggunakan lesung batu. Jangan sampai hancur. Tumbuk-tumbuk manja saja ye.

Sediakan minyak untuk menggoreng. Setelah minyak panas, gorengkan daging yang telah ditumbuk. Goreng sedikit demi sedikit ye. Jangan sampai terlalu garing pula.

Toskan daging yang telah digoreng.

Kemudian dengan menggunakan minyak yang sama untuk menggoreng daging tadi, masukkan bawang putih. Biar bawang putih layu sedikit. Seterusnya masukkan cili hijau yang telah direbus tadi. Sentiasa kacau supaya tak hangit. Sambil itu hancurkan cili tersebut menggunakan sudip. Tambahkan sedikit garam dan serbuk perisa jika suka.

Masak sekejap sahaja. Jangan sampai garing dan berubah warna.

Kalau betul cara masaknya, sedap lagi daging dendeng ni dari yang dijual dikedai minang tu. Dikedai minang adakalanya daging tu keras sangat. Sebab digoreng garing sangat. Hati-hati bila makan takut dengan gigi-gigi sekali tercabut nanti.

Sedap makan dengan nasi panas-panas. Boleh lupa diri sekejap.

Selamat Mencuba.

Resepi dari bekas pekerja. Orang Minang.

Berbuat kebaikan tak kira masa

Esok dah nak balik ke Kuala Lumpur.

Tengoklah siapa yang terlebih emosi esok.

Mak atau anak-anak?

Kebiasaannya begitu. Kak Zana tak pernah tak menitiskan air mata setiap kali nak kembali ke Kuala Lumpur. Rasa sedih teramat bila nak berpisah dengan mak.

Anak-anak pula tak puas bermain dengan kakak dan abang sepupu. Bosan kalau di Kuala Lumpur kata mereka. Tiada halaman tempat nak bermain dan tiada binatang peliharaan.

Awal-awal pagi tadi Kak Zana dah siapkan semangkuk mee goreng. Teringin pulak nak makan putu mayam yang sedap. Belilah sedikit tadi buat hilang kempunan. 

Kemudiannya Kak Zana dan suami melangkah keluar rumah menuju ke tanah perkuburan. Menziarahi pusara arwah bapak, arwah abah (bapa mertua) dan juga arwah makcik Melah jiran sebelah rumah. Rupanya pusara arwah bapak berjiran juga dengan pusara arwah makcik Melah. Semuanya dengan kehendakNya. 

Selesai urusan di tanah perkuburan, terus kami ke Medan Selera Dato Sagor yang terkenal dengan 'Roti Telur Goyang'. Sebenarnya tak lapar mana pun. Saja gatal nak lepak-lepak sekejap mana tau terjumpa kawan lama. 


Medan Selera pun dah berwajah baru. Terpaksalah mencari-cari kedai yang menjadi kegemaran  kami. 

Tu dia.

Dah nampak papan tanda gerai no 22. Kedai Ah Yoong. Tempat kegemaran kami melepak suatu ketika dulu. 

Terharu sungguhlah bila Ah Yoong dan adiknya masih kenal kami berdua. Padahal dah lama sangat rasanya kami tak menjejakkan kaki kesitu.

Seperti biasa kami pesan 'Roti Telur Goyang' dan Bun Kukus sapu mentega dan kaya. 

Wow! Rasa tak berubah sama macam dulu jugak. Dipadankan pulak dengan kopi Ais Ipoh Mali yang sedap. 

Sempat jugalah kami berborak. Kata Ah Yoong bisnes sekarang dah tak macam dulu. Banyak persaingan.

"Apa mau buat, bisnes kena jalan jugak. Sapa mau kasi duit? kata Ah Yoong dengan pelat Cinanya. 

Tiba masa kami ucapkan selamat tinggal pada Ah Yoong. Sempat juga kami bungkus 4 biji bun kukus sapu mentega dan kaya buat keluarga dirumah.

Seterusnya kami singgah di klinik kerajaan di Kg Manjoi sebab nak beli vadai yang sedap dari seorang pakcik ni. Memang susah nak cari vadai yang sedap di Kuala Lumpur tu. Siap Kak Zana mintak izin untuk ambil gambar dia sekali tadi. Hari ni pakcik siap bagi lebih lagi vadai tu. 



Sempat lagi selepas tu kami singgah dihadapan SK Manjoi sebab nak ambil gambar. Dulu Kak Zana bersekolah disitu dari darjah 1 hinggalah darjah 6. 

Sekarang ni SK Manjoi dah berubah. Terbahagi kepada 2. 

SK Manjoi 1 
SK Manjoi 2. 


Bangunannya pun dah bertambah. Banyak pembaharuan dilakukan.  SK Manjoi pun sekarang bukan sekadar sekolah kampung. Sudah boleh bersaing dengan sekolah-sekolah yang lebih baik pastinya.

Bulan Febrari yang lalu, kami telah berjaya mengadakan sesi 'reunion' SK Manjoi tahun 1979-1984. Sesi 'reunion' ini telah berjaya merakamkan pertemuan semula kami pelajar-pelajar SK Manjoi dan beberapa orang guru. Sungguh menggamit nostalgia saat itu. 

Buat masa ini group whataspp SK Manjoi semakin sendu. Semua ahli  sibuk dengan urusan masing-masing dan ada juga ahli yang sudah bercucu. 

Kak Zana pun ada cucu dah. Tapi cucu saudara lah. 

SK Manjoi tetap dihati. 

'Buat sahabat Rosmawati Mior Adlan dan Arifah Azna Baharin. Kalian berdua adalah sahabat yang paling awal aku kenal. Kita bertiga berlumba-lumba untuk dapatkan markah yang terbaik waktu itu dan tidak pernah berpisah kelas sehinggalah darjah 5'.

Betul tak?




Wednesday 28 November 2018

Sibuk mengalahkan menteri kaedahnya...

Penat sangat rasanya hari ini. Dari pagi keluar masuk rumah. Banyak perkara yang perlu dilakukan.

Selepas subuh siapkan dulu sarapan dirumah. Masak kotiaw goreng dan roti bakar letak planta bertemankan air teh O sahaja.

Teringat pulak anak yang seorang ni tak makan kotiaw goreng. Bergegas minta suami belikan roti canai 2-3 keping. Selesai masalah.

Sambil tu berfikir. Nak tulis apa hari ini. Semenjak kesihatan kurang memberangsangkan dalam seminggu ini rasa macam terbatas otak nak befikir jauh-jauh. Dengan matanya yang rabun tapi tetap degil untuk buat cermin mata.

Tak nak mengaku tua kisahnya. Mujurlah ada anak kecil yang berbaik hati tolong bacakan tulisan mama kalau ada salah ejaan. Takpelah, tunggu tahun depan azam baru pakai cermin mata.

Dari pukul 10 pagi keluar rumah konon nak mencari bahan. Adalah jugak muncul idea-idea tu. Sempat juga berposing di merata bangunan lama di Pekan Lama sambil mengimbau kenangan.

Bila dah sampai kerumah, baru teringat ada satu hal yang belum selesai. Niat dihati esok nak masak 'Chicken Chop' untuk keluarga. Lepas Zohor terpaksa keluar semula. Kami ke kedai bahan bakeri Wah Seng untuk membeli brown sos, daun bay, daun basil dan daun pasli. Kemudiannya nak cari ayam sejuk beku untuk dibuat 'chicken chop'. Cuma tak tahu dimana tempatnya.

Allah mudahkan urusan kami. Saja ringankan mulut bertanya tauke kedai Wah Seng ini.

"Ada jual maaa dekat dekat kita punya kedai. Wah Seng satu lagi" tauke kedai memberi jawapan

"Ohh, yang dekat Taman Dr tu ye. Nasib baik saya tanya you" balas Kak Zana

Tauke kedai mengangguk sambil tersenyum manis. Memang tak sombong orangnya. Kak Zana memang dah lama kenal dengan tauke kedai Wah Seng sejak dari zaman anak dara lagi. Masa mula-mula cari duit sampingan buat biskut raya.

Kami pun menuju ke destinasi seterusnya mencari ayam frozen. Masuk saja ke dalam kedai Wah Seng terpegun sungguh dibuatnya. Rupa-rupanya kedai ini lagi besar dan banyak barang-barangnya. Kata salah seorang pekerjanya, kebanyakan produk-produk yang ada, mereka bekalkan ke hotel-hotel di sekitar Ipoh ni.

Begitulah ceritanya.

Selesai membeli apa yang patut disitu kami meneruskan hajat untuk balik kerumah. Dalam perjalanan teringat pula apa yang nak dihidangkan buat keluarga untuk minum petang hari ini. Terus saja kami singgah di deretan kedai yang menjual pelbagai jenis kuih-muih berhampiran rumah. Kuih-kuih disitu sedap-sedap belaka.

Kak Zana beli serba sedikit kuih antaranya tepung talam, cucur badak, tepung gomak, serimuka, buah melaka dan juga apam balik. Sebahagiannya nak diberikan kepada anak-anak saudara yang tinggal berjiran. Seronok rasanya bila kita berbahagi rezeki kan.

Sambil membeli kuih tu terpandang pulak kedai menjual buah durian diseberang jalan. Tapi kata suami, tak payah belilah sebab tengok buahnya macam dah tak segar. Ikutkan sajalah lagipun takut jugak dalam keadaan kesihatan yang belum seratus peratus pulih. Nanti tak pasal-pasal diserang sakit kepala lagi.

Esok Kak Zana share resipi 'Chicken Chop' dengan sos lada hitam yang mabeles ye. Resepi keluarga.  Juga resepi yang Kak Zana semasa menjalankan perniagaan kafe dulu.




Gaji Pertama di Tarcomm

Zaman dulu RM320.00 dah cukup besar bagi lepasan STPM untuk bekerja disyarikat-syarikat kecil milik bumiputra.

Itulah jumlah gaji yang Kak Zana terima sebagai gaji pertama di sebuah syarikat kontraktor Telekom.

Secara tak sengaja Kak Zana dapat peluang kerja sementara di Tarcomm Sdn Bhd terletak di Ipoh Garden. Membina sebuah pengalaman dalam kerjaya disini amat memberi makna pada kehidupan Kak Zana.

Selalunya Kak Zana pergi ke pejabat dengan menaiki bas. Ada waktunya juga Kak Zana dihantar arwah bapak.

Bekerja di syarikat ini tidak lama. Lebih kurang 6 bulan sahaja. Akan tetapi  dalam tempoh 6 bulan itu banyak yang Kak Zana belajar tentang pengurusan syarikat. Kak Zana ditugaskan sebagai kerani yang betanggungjawab dalam urusan pekerja dari segi pembayaran gaji, caruman kwsp dan socso serta banyak lagi tanggungjawab lain.

Walaupun dengan gaji permulaan sebanyak RM320.00 pada masa itu, tetap boleh menampung kehidupan. Dapat saja gaji dihujung bulan pasti RM50 dihulurkan kepada emak terlebih dahulu. Seterusnya Kak Zana akan bayar bil telefon rumah sebab memang Kak Zana dengan adik saja yang suka bergayut kan. Selebihnya Kak Zana gunakan untuk perbelanjaan harian. Jarang sekali Kak Zana makan tengahari di pejabat. Selalunya Kak Zana bawa bekal makanan dari rumah.

Mungkin dengan ilmu Kak Zana dapat inilah Kak Zana diterima bekerja di syarikat lain di bahagian Sumber Manusia. Minat Kak Zana juga semakin mendalam dalam bidang Sumber Manusia hinggakan Kak Zana sanggup belajar secara sendiri dengan membeli buku-buku berkaitan sumber manusia, undang-undang pekerja dan sebagainya. Dalam pada itu juga Kak Zana semakin mahir dalam bidang 'payroll'. Pekerjaan ini amat menyeronokkan.

Bekerja di Tarcomm Sdn Bhd walaupun tidak lama tetapi telah membuahkan  satu hubungan silaturrahim yang berpanjangan. Bos tempat Kak Zana bekerja ini namanya Mohd Taha Mohd Nawang. Beliau minta kami sebagai pekerjanya panggil beliau dengan panggilan pakcik Taha sahaja.

Kak Zana juga sangat rapat dengan anak-anaknya. Ada ketikanya Kak Zana diminta untuk menjaga anaknya yang bongsu bernama Farah. Waktu itu pengasuhnya ada urusan keluarga.
Sehingga saat ini hubungan kami masih baik. Sesekali kami akan berhubung melalui telefon. Ada waktunya bila Kak Zana balik ke Ipoh, Kak Zana akan ziarah pakcik Taha dan isterinya makcik Rahimah.

Bila difikir-fikirkan balik, banyak juga yang boleh dibuat dengan gaji RM320.00 pada zaman dulu. Cukup saja sampai ke hujung bulan.

Ye lah. Dulu lain sekarang lain kan.

Zaman berubah.








JJCM - Nellis Deli

Tujuan asal Kak Zana pagi ini nak ke stesen bas Ipoh untuk mengambil gambar jalanan disana. Sambil beli kacang putih yang sinonim dengan Ipoh. Kacang putih ini sangat terkenal di Ipoh dan banyak dijual di kawasan stesen bas ini sejak dari zaman Kak Zana kecil lagi.

Apakan daya. Hasrat untuk mengambil gambar disekitar kawasan stesen bas terpaksa dibatalkan disebabkan tiada ruang tempat letak kereta disitu.

Kecewa rasanya.

Selain kacang putih yang popular, stesen bas ini juga banyak meninggalkan kenangan yang indah buat kami warga Ipoh. 

Kak Zana meneruskan perjalanan menyusuri jalan di sepanjang pekan lama.  Amat mengasyikkan bila melihat banyak perubahan yang berlaku. Pekan Lama sekarang ini menjadi tumpuan pelancong dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Di Pekan Lama ini juga terdapat beberapa deretan kedai kaum India yang dikenali sebagai 'Little India'. Kedai-kedai ini kebanyakannya menjual barang kemas, kain saree dan juga alat kelengakapan sembahyang bagi penganut agama Hindu.

Seterusnya melalui jalan hadapan sebuah deretan kedai makan yang dikenali sebagai 'Clock Tower' terletaknya dibelakang bangunan Dewan Bandaraya Ipoh. Disini sangat terkenal dengan menu 'Roti Telur Goyang'.

Memandangkan waktu itu jam telah menunjukkan pukul 10.30 pagi, rasa macam sudah terlambat untuk bersarapan. Lagipun dirumah tadi dah sepinggan kutiaw goreng Kak Zana bedal tanpa rasa kesal. Bila di Ipoh kena lupakan dulu soal diet. Rugi kalau tak makan.

Alang-alang dah di pekan lama ini kebetulan ada satu kafe hipster yang menjadi pilihan Kak Zana iaitu Nellis Deli. Menu di Nellis Deli sangat menepati selera Kak Zana. Harganya agak mahal sedikit tapi 'portion' makanannya sangat besar. 

Masuk saja Kak Zana di Nellis Deli ini terus perasaan jadi sangat teruja dengan dekorasinya yang klasik. Sangat menenangkan fikiran.

Tanpa berlengah terus Kak Zana membuat pesanan makanan. Kak Zana order mee rebus untuk suami, nasi lemak ayam goreng untuk anak dan cucur udang untuk Kak Zana sendiri. Dah pesan makanan tentulah ada minumannya sekali kan. Kak Zana pesan lemon madu panas, nescafe tarik dan teh O ais. 

Saja nak bagitau, kafe Nellis Deli ditutup setiap hari Selasa ye. Jangan nanti ada yang terjah tiba-tiba.

Waktu operasi perniagaanya dari 10am-5pm kecuali hari Khamis dan Jumaat waktu operasinya dipanjangkan hingga ke 10pm. Menu untuk makan malam bermula dari pukul 5pm. Menu untuk makan malam berbeza setiap hari.

Tak rugi singgah di Nellis Deli tau. Selain makanannya yang sedap suasananya yang tenang juga boleh membangkitkan selera.

Kafe Nellis Deli ini beralamat di No 99, Jalan Sultan Yusuf, 30300 Ipoh, Perak.

Selesai makan-makan di kafe Nellis Deli boleh terus bejalan kaki menyusuri deretan bangunan lama yang sangat mengujakan.

Percayalah. 

Sedap!


Antara menu yang ada


Kualiti gambar agak kurang memuaskan. Tak cukup cahaya dan ketinggalan tripod di KL. Redah saja apa adanya.