Sunday 16 December 2018

Resepi Mee Rebus Mak Opek

                                        


Hari ini Kak Zana masak mee rebus untuk makan tengahari. Sebenarnya dah buntu tak tau nak masak apa untuk mak. Tak tau apa yang boleh membangkitkan selera makan mak. 

Sambil menyiapkan sarapan pagi otak ligat berfikir apa yang nak dimasak untuk tengahari. 

Kak Zana buat nasi Goreng untuk sarapan pagi. Ada ikan kembung goreng baki semalam tu Kak Zana jadikan rencah. 

"Tak payah beli apa-apa kat luar. Ada roti gardenia tu kamu buat roti telur" mak memberi arahan sambil berlalu untuk ke bilik air. 

Selesai memasak di dapur terus Kak Zana hidangkan  makanan di meja. Kak Zana ajak suami dan mak sarapan bersama. 

Anak-anak masih lena dibuai mimpi. Saban hari bandaraya Ipoh dilimpahi hujan. Sejuknya menusuk sampai ke tulang. Bikin tidur semakin lena. 

Eh. Melalut pulak Kak Zana ni. 

Sesudah sarapan Kak Zana berjalan kaki ke kedai berhampiran untuk membeli bahan-bahan untuk buat mee rebus. 

Kak Zana beruntung kerana sempat belajar memasak dengan arwah ibu saudara yang dipanggil Mak Opek. Ingat lagi sewaktu Mak Opek masih sihat. Kak Zana baru nak buka perniagaan cafe. Jadi arwahlah yang mengajar Kak Zana masak kuah mee rebus dan beberapa lagi menu. Sepertii biasa resepi arwah main campak-campak saja. Jadi Kak Zana ambil masa beberapa kali untuk dapatkan resepi yang ideal bagi memudahkan pengkongsian. 

Sebab Kak Zana sangat memahami.

Sesetengah orang dengan hanya resepi campak-campak saja boleh jadikan rasa makanan yang sangat WoW!

Ada sesetengah orang pulak memerlukan resepi yang terperinci. Sebab tahap pemikiran setiap manusia tu berbeza.

Resepi ni resepi turun temurun dari arwah embah lanang Kak Zana (atuk lelaki sebelah mak). Arwah embah lanang ni memang pandai memasak. Arwah juga adalah seorang tukang masak kepada pengurus sebuah bank saudagar berbangsa Inggeris dan keluarganya di Teluk Intan suatu ketika dulu. 

Memang tak dapat dinafikan akan kepakaran yang dimiliki oleh arwah embah lanang ni. Bakat dan kepakaran memasak ni menurun pulak kepada arwah ibu saudara Kak Zana iaitu Mak Opek dan mungkin juga Kak Zana mewarisi bakat tersebut. 

Ramai yang bercakap kalau Kak Zana masak apa saja mesti menjadi dan sedap.

Eh. Terperasan pulak tiba-tiba kan

Jomlah tengok resepi sebelum Kak Zana melalut lebih-lebih. 


Bahan-bahan:

Bahan A
200g bawang besar - dikisar
5 ulas bawang putih - dikisar
1 inci halia - diikisar
1 inci lengkuas - dikisar

4 batang serai dititik

1 sudu teh serbuk lada hitam ditumbuk

1 sudu besar rempah kari daging

1kg ubi keledek (campur oren dan putih) - dikisar halus
2 cawan udang geragau - diikisar halus
500g kulit udang (direbus dan dikisar - ambil airnya) - pilihan

Garam dan gula secukup rasa dan sedikit minyak untuk menumis.

Nota: Kak Zana letak 2 sudu kecil garam dan 5 sudu besar gula. (Ikut citarasa masing-masing)

Cara-caranya:

Panaskan minyak. Masukkan serai yang telah dititik. Setelah serai kekuningan baru masukkan bahan-bahan A. Tumis hingga kekuningan. Kemudian masukkan rempah kari daging dan serbuk lada hitam. Kacau rata. Masukkan air udang. Kemudian masukkan udang geragau dan ubi keledek yang telah dikisar. Tambahkan 2 cawan air. Biarkan kuiah mendidih.Guankan api sederhana besar. Perisakan dengan gula dan garam. 

Bahan-bahan untuk membuat kriuk dan cara-caranya:

1 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan udang geragau (boleh tambah untuk lebih rasa udang)
1 cawan air

Kisar kesemua bahan-bahan diatas. Adunan tidak boleh terlalu pekat. Boleh lihat video dibawah.






Kriuk Rangup.
 Alaskan dengan tisu untuk toskan minyak

Bahan-bahan untuk dikisar

Mak dah siap-siap pesan tadi "kamu jangan letak jintan manis dalam kuah tu. Mak tak suka"

Resepi asal dari arwah Mak Opek memang ada letak sedikit serbuk jintan manis anggaran 1/2 sudu kecil. Jadinya hari ni memang Kak Zana tak letak jintan manis.

Jangan derhaka cakap mak.


Selamat Mencuba.