Tuesday, 13 November 2018
Kisah Kemalangan Suami & Tuntutan PERKESO
Bagi mereka yang bekerja makan gaji setiap bulan diwajibkan untuk membuat caruman PERKESO dengan jumlah peratusan tertentu dari pihak majikan dan pekerja. Sekiranya majikan gagal untuk membuat caruman, kita sebagai perkerja boleh melaporkan kepada Pejabat Buruh berdekatan. Soalnya disini, adalah kita benar-benar tahu hak kita sebagai pencarum PERKESO jika berlaku kemalangan ditempat kerja atau dalam perjalanan pergi dan balik dari kerja. Sebenarnya ramai dari kita kurang kesedaran mahupun pengetahuan mengenai perkara ini termasuklah Kak Zana dan suami.
Tapi bila berlaku kemalangan yang menimpa suami beberapa bulan yang lepas, Kak Zana mula mencari maklumat di internet mengenai tuntutan PERKESO setelah dimaklumkan oleh seseorang sewaktu suami Kak Zana dirawat dihospital.
Bagaimana nak mulakan tuntutan setelah berlakunya kemalangan tersebut?
Bagi memulakan proses tuntutan di PERKESO, ada beberapa dokumen yang diperlukan sebagai bukti dan sokongan.
1. Lapuran polis
2. Peta tempat kejadian dan laluan pergi balik kerja (Kak Zana lakar sendiri, boleh juga terus print dari google map dan bulatkan kawasan kejadian)
3. Salinan semua sijil cuti sakit
4. Kad Pengenalan
5. Salinan rekod kedatangan kerja pada hari kejadian (disediakan oleh HR)
6. Salinan slip gaji 6 bulan terakhir (disediakan oleh HR)
7. Isi borang tuntutan PERKESO (Borang 34)
Dokumen yang sudah lengkap perlu dihantar kepada PERKESO untuk membuat tuntutan pertama iaitu tuntutan kecacatan sementara. Bayaran untuk tuntutan kecacatan sementara ini adalah mengikut jumlah hari cuti sakit (MC) yang dikeluarkan oleh pihak hospital tempat kita menerima rawatan.
Jika kita mengalami kecacatan kekal seperti yang melibatkan bahagian organ utama seperti jari, tangan, kepala, tulang retak dan sebagainya kita layak untuk membuat tuntutan faedah kecacatan kekal.
Permohonan untuk membuat tuntutan kecacatan kekal ini boleh dipohon dalam tempoh setahun dari tarikh cuti sakit yang terakhir.
Bayaran untuk tuntutan kecacatan sementara adalah sebanyak 80% dari jumlah gaji harian dengan kadar minimum bayaran faedah adalah RM30.00 sehari dan maksimum RM105.33 sehari. Ini bermakna semakin besar gaji seseorang itu maka jumlah wang yang akan diterima jugak semakin banyak.
Manakala bayaran untuk tuntutan kecacatan kekal pula adalah sebanyak 90% dari gaji harian. Dengan kadar minuman bayaran faedah RM30.00 sehari dan maksimum RM118.50 sehari.
Kadar tafsiran bagi kekacatan kekal pula bergantung kepada keputusan jemaah doktor yang telah dilantik khas oleh PERKESO.
Bagaimana nak buat tuntutan kecacatan kekal ini?
Hanya perlu pergi ke PERKESO untuk mendapatkan borang 34. Isikan borang dengan lengkap beserta laporan perubatan terkini dari hospital kita dirawat. Tunggu panggilan temuduga. Dari pembacaan Kak Zana diforum yang membincangkan tentang tuntutan PERKESO ini, tempoh untuk mendapat keputusan peratusan kecacatan tersebut dari tarikh temuduga adalah lebih kurang 2 minggu.
Suami Kak Zana masih dalam cuti sakit. Jadi belum boleh untuk membuat tuntutan kecacatan kecacatan kekal. Sebenarnya suami Kak Zana sudah mula bekerja semula pada awal Oktober tapi disebabkan bahunya masih sakit, jadi pihak syarikat tempat dia bekerja menyarankan untuk membuat rawatan lanjut dihospital.
Amat mengejutkan bila suami melalui proses MRI didapati tisu di bahagian bahunya telah koyak semula. Tiada pilihan lain. Bahu suami Kak Zana yang sakit itu terpaksa dibedah semula. Pembedahan tersebut telah dibuat pada 1 November baru-baru ini.
Apa yang boleh yang Kak Zana katakan. Bersabarlah menempuh apa jua dugaan dari Allah.
Bersangka baik pada Allah. Allah beri kita ujian sebab kita antara hambaNya yang disayangi.
Kak Zana kongsi serba sedikit mengenai kejadian kemalangan yang berlaku itu.
Berlaku sewaktu suami dalam perjalanan pulang ke rumah setelah mengambil anak perempuan dari sekolahnya di Bukit Nanas sewaktu rehat makan tengahari. Semasa kejadian suami Kak Zana menaiki motosikal. Kejadian berlaku berhampiran rumah Kak Zana di Plaza Rah ni. Dia dilanggar oleh sebuah kereta dari arah bertentangan.
Kak Zana sangat terkejut bila suami telefon beritahu yang dia kemalangan. Waktu itu Kak Zana sedang sibuk dengan urusan kerja. Rasa macam tak percaya pun ada. Dalam hati berkata "serius sangat ke kemalangan tu".
Bergegas Kak Zana turun ke bawah. Terasa lamanya lif bergerak untuk turun. Maklumlah rumah di tingkat 21.
Sampai dilobi terus Kak Zana dimaklumkan oleh pihak sekuriti tempat kemalangan itu. Mereka interkom Kak Zana banyak lagi rupanya.
Allahuakbar. Tak berdaya kaki ini melangkah!
Melihat suami tersandar ditembok dengan keadaannya yang kurang bermaya, luluh rasanya hati ini. Kak Zana mencari kelibat anak. Dia terdiam. Duduk disatu sudut sambil memerhatikan ayahnya. Tiada sebarang luka dianggota badannya cuma sedikit trauma setelah melihat ayahnya dalam keadaan yang kurang bermaya dengan luka-luka yang agak serius.
Mujur ada ramai yang membantu. Seseorang telah menelefon ambulan. Suami Kak Zana dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulan.
Dia menerima rawatan pesakit luar dan diberi cuti selama 4 hari. Selesai bab di HKL.
Kemudiannya kami membuat rawatan susulan di Hospital Tawakal. MRI dilakukan. Didapati tisu dibahagian bahu terkoyak. Tarikh untuk buat pembedahan ditetapkan. Perkara dah terjadi. Kami terima dengan hati yang terbuka.
Tapi yang membuatkan kami suami isteri terkilan adalah sikap orang yang melanggar suami. Langsung tidak bertanggungjawab. Paling menyedihkan kereta yang dipandu tidak mempunyai cukai jalan dan insuran. Jadi tiada sebarang tuntutan boleh dibuat untuk kami gunakan bagi membaiki motosikal yang remuk.
"Malas nak gaduh, aku tak nak jadi jahat dah" itulah kata-kata Kak Zana pada seorang teman.
Biarlah orang nak menganiaya kita. Beribu kebaikan akan datang buat kami sekeluarga. Itu pegangan Kak Zana.
Tapi, seronok juga bila suami MC kan. Boleh jugak buat kawan gaduh.