Sunday 16 December 2018

Resepi Ayam Masak Pakistan


Hujan turun dengan lebatnya.

Syoknya kalau dapat bantal. Tengok pulak mak sedang lena disebelah Kak Zana ni.

Tadi sebelum mak lena dia ada bertanya Kak Zana "kamu buat apa tu?"

Mungkin sebab mak tengok Kak Zana asyik benar mengadap komputer riba dari petang semalam dengan segala macam fail dan buku-buku didepan mata.

Pelik agaknya.

"Kumpul resepi masakan yang belajar dulu-dulu tu mak. Nak masukkan dalam blog" Kak Zana bagitau mak.

Mujurlah mak tak tanya blog tu apa?  Kalau diceritakan pun mak memang takkan tahu. Mak Kak Zana ni sebenarnya nak guna telefon rumah pun tak pandai. Kalau mak nak bercakap di telefon dia akan minta anak-anak saudara yang dailkan nombor. Begitulah selalunya.

Seperti biasa hari ini Kak Zana nak kongsi satu resepi masakan berasaskan ayam. Resepi ini agak istimewa dan unik dari segi rasanya. Ada rasa pedas cili hijau dan sedikit rasa masam-masam manis.

Masih juga dari hasil usaha belajar memasak dengan guru yang sama iaitu Kak Saba.

Mula-mula dulu bila Kak Zana dengar nama masakan tu rasa macam agak pelik kan. Tak dapat nak bayang macam mana rupa dan rasanya.

Bila kelas bermula, semua pelajar mendengar dengan tekun. Catat satu persatu apa yang Kak Saba terangkan.

Baunya saja sudah menyelerakan. Kami saling berbisik. Perut pula semakin berlagu. Tak sabar nak melihatkan hasilnya. Nak merasai keenakkannya.

Fulamak! Sumpah sedap. Kalau tak main sumpah nanti orang tak percaya kan.

Semenjak dari itu Ayam Masak Pakistan ini menjadi menu istimewa buat keluarga Kak Zana terutamanya ketika mengadakan majlis kenduri dan hari raya. Selain rasanya yang sedap ia juga mudah untuk disediakan.

Jom tengok resepinya.



Bahan A:

200ml minyak jagung (Minyak masak biasa pun boleh)
40g bawang putih dimayang
80g bawang merah (kecil) dimayang
1/2 inci halia - ditumbuk

Bahan B:

100g serbuk kari daging
1/2 sudu teh serbuk  putih
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk ketumbar
500ml air
Campurkan dan kaca rata

Bahan C:

250g bawang besar dipotong nipis
8 biji cili hijau dipotong serong
1300ml air paip

Bahan D:

1 ekor ayam anggaran 1.5-2kg dipotong 16 atau 20

Bahan E:

50ml air limau kasturi (angggaran dalam 6 biji)
Garam dan gula secukup rasa








Panaskan minyak dari dari bahan A tadi. Bila minyak panas tumiskan bawang putih terlebih dahulu, Bila kekuningan, masukkan bawang merah dan halia. Goreng hingga kekuningan dan naik bau.

Kemudian masukkan bahan-bahan B. Masak hingga naik bau dan pecah minyak.

Masukkan bahan-bahan C. Dikacau rata. Tutup periuk supaya bawang besar, cili hijau layu. Biar sehingga mendidih.

Masukkan ayam. Kemudian dikacau rata. Gunakan api sederhana besar. Sesekali dikacau.

Akhir sekali masukkan garam (anggaran 3 sudu kecil) dan gula (anggaran 3 sudu kecil) secukup rasa. Kacau. Biarkan hingga masak dalam 10 minit.

Siap. Boleh dihidangkan.

Selamat Mencuba.