Wednesday, 28 November 2018

JJCM - Nellis Deli

Tujuan asal Kak Zana pagi ini nak ke stesen bas Ipoh untuk mengambil gambar jalanan disana. Sambil beli kacang putih yang sinonim dengan Ipoh. Kacang putih ini sangat terkenal di Ipoh dan banyak dijual di kawasan stesen bas ini sejak dari zaman Kak Zana kecil lagi.

Apakan daya. Hasrat untuk mengambil gambar disekitar kawasan stesen bas terpaksa dibatalkan disebabkan tiada ruang tempat letak kereta disitu.

Kecewa rasanya.

Selain kacang putih yang popular, stesen bas ini juga banyak meninggalkan kenangan yang indah buat kami warga Ipoh. 

Kak Zana meneruskan perjalanan menyusuri jalan di sepanjang pekan lama.  Amat mengasyikkan bila melihat banyak perubahan yang berlaku. Pekan Lama sekarang ini menjadi tumpuan pelancong dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Di Pekan Lama ini juga terdapat beberapa deretan kedai kaum India yang dikenali sebagai 'Little India'. Kedai-kedai ini kebanyakannya menjual barang kemas, kain saree dan juga alat kelengakapan sembahyang bagi penganut agama Hindu.

Seterusnya melalui jalan hadapan sebuah deretan kedai makan yang dikenali sebagai 'Clock Tower' terletaknya dibelakang bangunan Dewan Bandaraya Ipoh. Disini sangat terkenal dengan menu 'Roti Telur Goyang'.

Memandangkan waktu itu jam telah menunjukkan pukul 10.30 pagi, rasa macam sudah terlambat untuk bersarapan. Lagipun dirumah tadi dah sepinggan kutiaw goreng Kak Zana bedal tanpa rasa kesal. Bila di Ipoh kena lupakan dulu soal diet. Rugi kalau tak makan.

Alang-alang dah di pekan lama ini kebetulan ada satu kafe hipster yang menjadi pilihan Kak Zana iaitu Nellis Deli. Menu di Nellis Deli sangat menepati selera Kak Zana. Harganya agak mahal sedikit tapi 'portion' makanannya sangat besar. 

Masuk saja Kak Zana di Nellis Deli ini terus perasaan jadi sangat teruja dengan dekorasinya yang klasik. Sangat menenangkan fikiran.

Tanpa berlengah terus Kak Zana membuat pesanan makanan. Kak Zana order mee rebus untuk suami, nasi lemak ayam goreng untuk anak dan cucur udang untuk Kak Zana sendiri. Dah pesan makanan tentulah ada minumannya sekali kan. Kak Zana pesan lemon madu panas, nescafe tarik dan teh O ais. 

Saja nak bagitau, kafe Nellis Deli ditutup setiap hari Selasa ye. Jangan nanti ada yang terjah tiba-tiba.

Waktu operasi perniagaanya dari 10am-5pm kecuali hari Khamis dan Jumaat waktu operasinya dipanjangkan hingga ke 10pm. Menu untuk makan malam bermula dari pukul 5pm. Menu untuk makan malam berbeza setiap hari.

Tak rugi singgah di Nellis Deli tau. Selain makanannya yang sedap suasananya yang tenang juga boleh membangkitkan selera.

Kafe Nellis Deli ini beralamat di No 99, Jalan Sultan Yusuf, 30300 Ipoh, Perak.

Selesai makan-makan di kafe Nellis Deli boleh terus bejalan kaki menyusuri deretan bangunan lama yang sangat mengujakan.

Percayalah. 

Sedap!


Antara menu yang ada


Kualiti gambar agak kurang memuaskan. Tak cukup cahaya dan ketinggalan tripod di KL. Redah saja apa adanya.