Thursday, 29 November 2018

Berbuat kebaikan tak kira masa

Esok dah nak balik ke Kuala Lumpur.

Tengoklah siapa yang terlebih emosi esok.

Mak atau anak-anak?

Kebiasaannya begitu. Kak Zana tak pernah tak menitiskan air mata setiap kali nak kembali ke Kuala Lumpur. Rasa sedih teramat bila nak berpisah dengan mak.

Anak-anak pula tak puas bermain dengan kakak dan abang sepupu. Bosan kalau di Kuala Lumpur kata mereka. Tiada halaman tempat nak bermain dan tiada binatang peliharaan.

Awal-awal pagi tadi Kak Zana dah siapkan semangkuk mee goreng. Teringin pulak nak makan putu mayam yang sedap. Belilah sedikit tadi buat hilang kempunan. 

Kemudiannya Kak Zana dan suami melangkah keluar rumah menuju ke tanah perkuburan. Menziarahi pusara arwah bapak, arwah abah (bapa mertua) dan juga arwah makcik Melah jiran sebelah rumah. Rupanya pusara arwah bapak berjiran juga dengan pusara arwah makcik Melah. Semuanya dengan kehendakNya. 

Selesai urusan di tanah perkuburan, terus kami ke Medan Selera Dato Sagor yang terkenal dengan 'Roti Telur Goyang'. Sebenarnya tak lapar mana pun. Saja gatal nak lepak-lepak sekejap mana tau terjumpa kawan lama. 


Medan Selera pun dah berwajah baru. Terpaksalah mencari-cari kedai yang menjadi kegemaran  kami. 

Tu dia.

Dah nampak papan tanda gerai no 22. Kedai Ah Yoong. Tempat kegemaran kami melepak suatu ketika dulu. 

Terharu sungguhlah bila Ah Yoong dan adiknya masih kenal kami berdua. Padahal dah lama sangat rasanya kami tak menjejakkan kaki kesitu.

Seperti biasa kami pesan 'Roti Telur Goyang' dan Bun Kukus sapu mentega dan kaya. 

Wow! Rasa tak berubah sama macam dulu jugak. Dipadankan pulak dengan kopi Ais Ipoh Mali yang sedap. 

Sempat jugalah kami berborak. Kata Ah Yoong bisnes sekarang dah tak macam dulu. Banyak persaingan.

"Apa mau buat, bisnes kena jalan jugak. Sapa mau kasi duit? kata Ah Yoong dengan pelat Cinanya. 

Tiba masa kami ucapkan selamat tinggal pada Ah Yoong. Sempat juga kami bungkus 4 biji bun kukus sapu mentega dan kaya buat keluarga dirumah.

Seterusnya kami singgah di klinik kerajaan di Kg Manjoi sebab nak beli vadai yang sedap dari seorang pakcik ni. Memang susah nak cari vadai yang sedap di Kuala Lumpur tu. Siap Kak Zana mintak izin untuk ambil gambar dia sekali tadi. Hari ni pakcik siap bagi lebih lagi vadai tu. 



Sempat lagi selepas tu kami singgah dihadapan SK Manjoi sebab nak ambil gambar. Dulu Kak Zana bersekolah disitu dari darjah 1 hinggalah darjah 6. 

Sekarang ni SK Manjoi dah berubah. Terbahagi kepada 2. 

SK Manjoi 1 
SK Manjoi 2. 


Bangunannya pun dah bertambah. Banyak pembaharuan dilakukan.  SK Manjoi pun sekarang bukan sekadar sekolah kampung. Sudah boleh bersaing dengan sekolah-sekolah yang lebih baik pastinya.

Bulan Febrari yang lalu, kami telah berjaya mengadakan sesi 'reunion' SK Manjoi tahun 1979-1984. Sesi 'reunion' ini telah berjaya merakamkan pertemuan semula kami pelajar-pelajar SK Manjoi dan beberapa orang guru. Sungguh menggamit nostalgia saat itu. 

Buat masa ini group whataspp SK Manjoi semakin sendu. Semua ahli  sibuk dengan urusan masing-masing dan ada juga ahli yang sudah bercucu. 

Kak Zana pun ada cucu dah. Tapi cucu saudara lah. 

SK Manjoi tetap dihati. 

'Buat sahabat Rosmawati Mior Adlan dan Arifah Azna Baharin. Kalian berdua adalah sahabat yang paling awal aku kenal. Kita bertiga berlumba-lumba untuk dapatkan markah yang terbaik waktu itu dan tidak pernah berpisah kelas sehinggalah darjah 5'.

Betul tak?