Tergerak hati untuk melihat whatsapp yang masuk. Bukan kebiasaannya Kak Zana begitu.
"Adik-adik, bapak kita dah tak ada"
Itulah ayat-ayat yang tertera di group whatsapp keluarga kami dari abang yang sulung. Waktu itu hanya Kak Zana dan adik bongsu yang tinggal di Terengganu sahaja tidak dapat bersama arwah bapak disaat akhirnya.
Lidah jadi kelu. Hati pedih bagai ditusuk sembilu.
Ye, bapak dah tinggalkan kami buat selama-lamanya.
Saat itu sedang Kak Zana menunggu berakhirnya azan Asar di masjid berdekatan. Kak Zana ingin terus bermohon pada Allah dengan penuh harapan agar bapak diberikan kesembuhan.
Hati ini tak sanggup melihat bapak didalam kesakitan. Terbaring lesu di katilnya. Tanpa kami tahu dimana sakitnya Tanpa kami faham bicaranya.
Ya Allah. Kau ampunkanlah segala dosa-dosa bapa kami.
Kini, hampir 7 bulan arwah bapak meninggalkan kani disaat usianya 85 tahun. Kami ikhlas dengan pemergian bapak.
Akan tetapi tetap juga ada rindu yang tak terungkap.
Tetap juga ada beban duka yang sarat tak terubat.
Tetap juga ada kenangan yang tak terpadam.
Semakin luluh hati disaat Kak Zana terdengar luahan isi hati mak sewaktu bertemu doktor di sebuah klinik kesihatan.
"Semenjak suami makcik takde ni, makcik takde selera makanlah doktor, makcik sunyi. Hati makcik ni sedih sangat".
Allahuakbar. Sungguh Kak Zana tak berdaya.
Waktu itu, Kak Zana tercari-cari ruang untuk mengalihkan pandangan. Airmata Kak Zana mengalir laju. Tak mahu mak melihat Kak Zana menangis begitu.
Masih Kak Zana terbayang-bayang saat bapak terlantar sakit. Lesu dan tidak bermaya. Makan pula hanya sesuap dua. Manakan datang tenaga.
Dua minggu sebelum arwah bapak meninggalkan kami, itulah kali terakhir Kak Zana menatap wajah arwah. Sempat Kak Zana memeluk dan memohon ampun dari arwah bapak. Berat kaki ini untuk melangkah meninggalkan arwah dalam keadaan terlantar begitu.
Walaupun begitu Kak Zana bersyukur diberikan kesempatan untuk menjaga arwah disaat sakitnya walaupun dalam tempoh yang singkat. Rutin Kak Zana menjaga arwah bapak bermula 1 pagi hingga ke subuh.
Kak Zana akan sentiasa bertanya arwah bapak.
Laparkah dia, dahagakah dia?
Sentiasa ingatkan arwah untuk berselawat dan berzikir. Waktu itu jiwa Kak Zana kena kental. Semangat kena kuat. Dalam waktu menjaga arwah bapak, airmata jadi teman setia.
Sehari sebelum pemergian bapak, ingat kagi malam itu abang Kak Zana menelefon beritahu yang bapak tak macam biasa keadaannya.
Diam tanpa suara. Ibarat sudah hilang segala upaya.
"Zana, bapak ni senyap je. Tak macam biasa, nak buat macam mane? abang menyoal Kak Zana.
"Kamu telefonlah abang Wahi dulu" pinta Kak Zana agar dia menghubungi abang yang sulung.
"Tapi nanti kalau apa-apa kamu bagitau, orang cuba balik secepat mungkin"
Perbualan kami terhenti disitu.
Hari itu hari Rabu.
Dalam hati Kak Zana terus berdoa agar Kak Zana diberi kesempatan untuk menatap wajah arwah buat kali terakir.
Tapi apakan daya. Kematian itu pasti. Tidak menunggu walau sesaatpun.
Akhirnya bapak pergi meninggalkan kami pada hari Khamis 26 April 2018 disaat azan Asar sedang berkumandang.
"Bapak, kami merinduimu. Moga kita bertemu di syurga"