Showing posts with label resipi & masakan. Show all posts
Showing posts with label resipi & masakan. Show all posts

Wednesday, 20 March 2019

Resepi Gemblong

Assalamualaikum

"Kuih apa ni mama? Tak pernah tengok mama buat pun sebelum ni" tanya angah pada Kak Zana.

"Ni namanya gemblong, kuih tradisi orang Jawa"

"Eh! sedaplah mama, rasa macam ketupat pulut pun ada"

Begitulah reaksi anak-anak bila mak mereka buat sesuatu lain dari kebiasaan.

Dulu waktu zaman kanak-kanak selalu sangat Kak Zana makan kuih gemblong ni.Bila ada kenduri-kendara masyarakat Jawa, mesti ada gemblong.

Kiranya gemblong ni menu wajib.

Zaman beredar.

Kuih tradisi masyarakat Jawa ni sudah semakin dilupakan. Kenduri-kendara di kampung yang majoriti masyarakatnya bangsa Jawa pun sudah tidak kelihatan gemblong ni.

Bondrot yang sebelum ini diisi dengan kuih tradisi masyarakat Jawa kini telah digantikan dengan gula-gula, kek dan sebagainya.

Jadinya Kak Zana berusaha untuk dapatkan resepi gemblong. Sayang kalau menu tradisi ini hilang begitu saja ditelan dek zaman.

Percubaan pertama agak kurang berjaya. Disusuli dengan percubaan yang kedua.

Alhamdulillah. Menjadi gemblong seperti yang pernah Kak Zana makan suatu ketika dulu.

Jadinya Kak Zana nak kongsi resepi gemblong ini disini supaya tidak hilang dan ramai yang akan beroleh manfaat dari perkongsian ini.

Jom kita lihat resepinya.



Bahan-bahannya:

500g pulut. (direndam semalaman atau paling kurang 4 jam)
Sedikit gula (1 sudu teh - boleh tambah)
Sedikit garam (1 1/4 sudu teh)
1/2 biji kelapa parut

Gaulkan semua bahan diatas. Kemudian kukuskan. Pastikan pulut sudah cukup lembut baru diangkat. Setelah pulut masak, tumbuk pulut hingga halus. Kak Zana gunakan botol kaca yang dibalut dengan plastik.

Zaman dulu masyarakat Jawa gunakan lesung yang diperbuat dari kayu. Memang lejen.

Kemudian masukkan pulut yang telah ditumbuk ke dalam loyang yang telas dialas dengan daun pisang. Kak Zana guna loyang 7"x7".

Dulu-dulu orang kampung guna talam bulat saja.

Gemblong ini juga boleh digoreng. Lihat gambar dibawah.

Gemblong yang digoreng
Tapi Kak Zana tetap suka gemblong yang tidak digoreng. Sedap sangat dengan gabungan kelapa parut, garam dan gula. Rasa lemak-lemak manis.

Apa lagi.

Cubalah.

Bondrot = berkat

Resepi Kuih Kembung (Cok Kembung)

Assalamualaikum semua

Kuih kembung zaman dulu-dulu. Kalau orang belah Utara panggil Cok kembung.

Sedap makan begitu sahaja. 

Nak lagi sedap Kak Zana biasanya cicah dengan Kopi O Kampung.

Tapi kalau dulu mak Kak Zana akan buat bila ada kuah kari lebih. Contohnya hari ini masak kari ikan. Petang tu mesti dia buat cok kembung ni sebab nak cicah dengan kari ikan.

Kalau tak pun mak akan bancuh keesokan harinya. Buat sarapan pagi. Biasalah kalau kuah kari diperangat lagi sedapkan.

Sekarang ni pulak Kak Zana suka buat versi yang ada inti. Inti kacang dan ikan bilis. 

Inti ikan bilis ni favourite suami. Anak-anak lebih suka inti kacang merah.

Macam biasa, Kak Zana akan buat yang kosong untuk cicah dengan kopi O atau pun kari semalam.

Nikmat sungguh.



 Bahan-bahan:

3 cawan tepung gandum
1 susu teh yis
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1 biji telur ayam (Gred B/C)
1 sudu besar marjerin (boleh tambah)
1-2 sudu besar susu pekat manis (Boleh ganti gula kalau tak nak letak susu)

Uli macam biasa dengan air suam (Panas sedikit). Uli sampai lembut. rehatkan sekitar 20-30 minit. Bentukkan seperti gambar di bawah. Rehatkan sebentar. Bila adunan nampak ringan boleh terus menggoreng. Sama seperti kita menggoreng donat.

Siap!


Selamat Mencuba.

Kuih lejen tetap dihati.

Resepi Kuih Lompang

.Assalamualaikum semua.

Setelah berbulan lamanya tak dapat nak update blog dan berkongsi resepi. Hari ini Kak Zana cuba untuk kongsi resepi sebanyak yang mungkin.

Mesti ada yang suka makan kuih lompang ni kan. Boleh katakan kuih lompang adalah salah satu kuih kegemaran Kak Zana.

Dulu memanglah tak pandai buat. Pandai makan saja.

Setelah satu demi satu kelas memasak Kak Zana hadiri dari tahun 1998 inilah hasilnya sekarang.

Ada juga yang minta Kak Zana mengajar. Buat kelas. Tidaklah rasanya. Biar Kak Zana kongsikan saja resepi di blog ini. Kalau ada yang tidak faham boleh saja follow up melalui whatsapp kemudian hari.

 Jom tengok resepinya.



Bahan-bahannya:

500ml air
100g gula merah
60g gula pasir
130g tepung beras
50g tepung ubi
60g tepung hon kwee

250ml air pandan
2 sudu teh air kapur (biasa Kak Zana guna 1/2 sudu teh kapur tambah air 2 sudu teh)

Kelapa parut (kukus sebentar untuk tahan lama, tidak basi)
Sedikit garam



Cara-caranya:

Didihkan air 500ml bersama gula dan daun pandan. Bila gula larut angkat. Tapiskan air gula biar sejuk seketika.

Gaul air gula bersama dengan tepung beras, tepung ubi dan hoon kwee. Kemudian masukkan air 250ml dan air kapur. Tapiskan.

Sementara itu didihkan air. Susun acuan didalam pengukus. Panaskan acuan terlebih dahulu.

Kalau acuan tidak panas lubang kuih lompang tidak akan terhasil.

Bila acuan sudah panas, curahkan adunan ke dalam acuan.

Siap!


Selamat Mencuba.


Resepi Kek Cawan Planta


Assalamualaikum semua

Hari ini Kak Zana nak kongsikan satu resepi kek cawan mudah untuk dihasilkan dengan rasanya yang sedap.

Resepi kek cawan ini milik biras kak Zana bernama Che Nah.

Setiap kali datangnya bulan Syawal, menu wajib Che Nah adalah kek cawan ini. 

Cumanya bila dah sampai ke tangan Kak Zana resepi Che Nah ni ada saja yang Kak Zana tambah atau kurangkan.

Ini perkara biasa. Proses tambah baik namanya.

Lihat resepi dibawah.


Bahan-bahannya:

5 biji telur (saiz A)
2 cawan gula halus (Kak Zana kurangkan 2 sudu besar)
1 1/2 cawan marjerin Planta
3 cawan tepung naik sendiri
1 sudu teh ovelette
1sudu teh esen vanila
1 sudu kecil baking powder
Sedikit coklat untuk hiasan
Paper cup




Cara-caranya:

Pukul marjerin, ovelette dan gula hingga gebu. Masukkan telur satu persatu hingga habis. Masukkan esen vanila Seterusnya masukkan tepung sedikit demi sedikit. Proses ini mengaduk tepung ini biasanya Kak Zana gunakan spatula saja.



Dah siap adunan tu kita masukkan ke dalam piping. Kemudian baru dimasukkan ke dalam paper cup.Jangan letak penuh ye. Hanya 3/4 sahaja. Paper cup didalam gambar di atas Kak Zana beli di Tokyo tahun 2012. Baru tahun ini digunakan.

Sebenarnya sayang nak gunakan walaupun sekarang ni dah berlambak paper cup macam tu di kedai Daiso. Ada 'sentimental value' disitu.

Dah ada resepi. Jangan tak cuba. Mudah dan sedap.

Tapi syaratnya mesti guna Planta Marjerin.




Sunday, 3 March 2019

Resepi Kek Batik

Assalamualaikum

Alhamdulillah. Hari ini Kak Zana sekali lagi diberikan kesempatan untuk kembali menulis di blog ini. Setelah dibiarkan bersawang sekian lama.

Bukan sengaja untuk tidak menulis. Selain kekangan masa bila sesi persekolahan bermula Januari yang lalu yang membuatkan jadual Kak Zana jadi terlalu padat disamping kesihatan yang tidak berapa mengizinkan.

Impian untuk menulis masih tersemat dihati. Masih berkobar-kobar. Cuma Kak Zana perlukan sedikit masa untuk merancang jadual kerja dengan lebih baik.

Moga hari ini menjadi titik mula buat Kak Zana melakar impian yang tertangguh. Moga Allah permudahkan segala urusan Kak Zana. Aamiin.

Hari ini Kak Zana nak kongsikan satu resepi yang menjadi kegemaran Kak Zana sekeluarga iaitu Kek Batik.

Tidak dinafikan terlalu banyak resepi kek batik di internet. Tapi tak salahkan kalau Kak Zana tambah lagi satu resepi untuk korang kongsi.

Ye lah, lain orang lain resepinya. Lain juga cara memasaknya.

Begitu juga dengan kita sebagai hamba Allah. Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Eh! Tapi bukan ke sekarang ramai yang rambutnya blonde?

Hehehe. Kak Zana gurau je. Janganlah marah ye.

Bagi Kak Zana resepi ini ada kelainan. Penggunaan bahan pun berbeza. Rasanya juga berbeza. Tidak terlalu manis dan tak muak bila dimakan.

Jom kita lihat resepinya.


Bahan-bahan:

400g biskut (dipatah-patah 4 bahagian)
1 cawan serbuk koko (Van Houten)
1 cawan gula halus
1 biji telur
1 cawan air
1 ketul mentega (Kak Zana guna buttercup)



Cara-caranya:

Cairkan mentega. Kemudian masukkan air, gula, serbuk coklat dan telur. Kacau sehingga sebati.
Masukkan biskut marie. Kacau rata. Kemudian tutup api.

Sediakan loyang bulat saiz 8". Alaskan dengan aluminium foil.

Masukkan adunan yang telah siap tadi. Kemudian mampatkan. Biar sejuk sedikit baharu curahkan coklat  keatasnya. Taburkan dengan badam cincang yang telah dibakar sedikit.

Coklat Topping:

150g whipping cream
250g coklat milk compaund (Kak Zana guna jenama Beryl's)
Panaskan whipping cream guna kaedah double boil. Jangan samppai mendidih. Masukkan coklat yang telah dipotong kecil. Kacau hingga rata. Siap.

Simpan didalam peti sejuk untuk tempoh 1-2 jam.

Sedia untuk dimakan.

Selamat Mencuba!

Sumber Resepi:
Siti Khamizah Yusof

Sunday, 16 December 2018

Resepi Mee Rebus Mak Opek

                                        


Hari ini Kak Zana masak mee rebus untuk makan tengahari. Sebenarnya dah buntu tak tau nak masak apa untuk mak. Tak tau apa yang boleh membangkitkan selera makan mak. 

Sambil menyiapkan sarapan pagi otak ligat berfikir apa yang nak dimasak untuk tengahari. 

Kak Zana buat nasi Goreng untuk sarapan pagi. Ada ikan kembung goreng baki semalam tu Kak Zana jadikan rencah. 

"Tak payah beli apa-apa kat luar. Ada roti gardenia tu kamu buat roti telur" mak memberi arahan sambil berlalu untuk ke bilik air. 

Selesai memasak di dapur terus Kak Zana hidangkan  makanan di meja. Kak Zana ajak suami dan mak sarapan bersama. 

Anak-anak masih lena dibuai mimpi. Saban hari bandaraya Ipoh dilimpahi hujan. Sejuknya menusuk sampai ke tulang. Bikin tidur semakin lena. 

Eh. Melalut pulak Kak Zana ni. 

Sesudah sarapan Kak Zana berjalan kaki ke kedai berhampiran untuk membeli bahan-bahan untuk buat mee rebus. 

Kak Zana beruntung kerana sempat belajar memasak dengan arwah ibu saudara yang dipanggil Mak Opek. Ingat lagi sewaktu Mak Opek masih sihat. Kak Zana baru nak buka perniagaan cafe. Jadi arwahlah yang mengajar Kak Zana masak kuah mee rebus dan beberapa lagi menu. Sepertii biasa resepi arwah main campak-campak saja. Jadi Kak Zana ambil masa beberapa kali untuk dapatkan resepi yang ideal bagi memudahkan pengkongsian. 

Sebab Kak Zana sangat memahami.

Sesetengah orang dengan hanya resepi campak-campak saja boleh jadikan rasa makanan yang sangat WoW!

Ada sesetengah orang pulak memerlukan resepi yang terperinci. Sebab tahap pemikiran setiap manusia tu berbeza.

Resepi ni resepi turun temurun dari arwah embah lanang Kak Zana (atuk lelaki sebelah mak). Arwah embah lanang ni memang pandai memasak. Arwah juga adalah seorang tukang masak kepada pengurus sebuah bank saudagar berbangsa Inggeris dan keluarganya di Teluk Intan suatu ketika dulu. 

Memang tak dapat dinafikan akan kepakaran yang dimiliki oleh arwah embah lanang ni. Bakat dan kepakaran memasak ni menurun pulak kepada arwah ibu saudara Kak Zana iaitu Mak Opek dan mungkin juga Kak Zana mewarisi bakat tersebut. 

Ramai yang bercakap kalau Kak Zana masak apa saja mesti menjadi dan sedap.

Eh. Terperasan pulak tiba-tiba kan

Jomlah tengok resepi sebelum Kak Zana melalut lebih-lebih. 


Bahan-bahan:

Bahan A
200g bawang besar - dikisar
5 ulas bawang putih - dikisar
1 inci halia - diikisar
1 inci lengkuas - dikisar

4 batang serai dititik

1 sudu teh serbuk lada hitam ditumbuk

1 sudu besar rempah kari daging

1kg ubi keledek (campur oren dan putih) - dikisar halus
2 cawan udang geragau - diikisar halus
500g kulit udang (direbus dan dikisar - ambil airnya) - pilihan

Garam dan gula secukup rasa dan sedikit minyak untuk menumis.

Nota: Kak Zana letak 2 sudu kecil garam dan 5 sudu besar gula. (Ikut citarasa masing-masing)

Cara-caranya:

Panaskan minyak. Masukkan serai yang telah dititik. Setelah serai kekuningan baru masukkan bahan-bahan A. Tumis hingga kekuningan. Kemudian masukkan rempah kari daging dan serbuk lada hitam. Kacau rata. Masukkan air udang. Kemudian masukkan udang geragau dan ubi keledek yang telah dikisar. Tambahkan 2 cawan air. Biarkan kuiah mendidih.Guankan api sederhana besar. Perisakan dengan gula dan garam. 

Bahan-bahan untuk membuat kriuk dan cara-caranya:

1 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan udang geragau (boleh tambah untuk lebih rasa udang)
1 cawan air

Kisar kesemua bahan-bahan diatas. Adunan tidak boleh terlalu pekat. Boleh lihat video dibawah.






Kriuk Rangup.
 Alaskan dengan tisu untuk toskan minyak

Bahan-bahan untuk dikisar

Mak dah siap-siap pesan tadi "kamu jangan letak jintan manis dalam kuah tu. Mak tak suka"

Resepi asal dari arwah Mak Opek memang ada letak sedikit serbuk jintan manis anggaran 1/2 sudu kecil. Jadinya hari ni memang Kak Zana tak letak jintan manis.

Jangan derhaka cakap mak.


Selamat Mencuba.

Resepi Puding Jagung Cik Zida


Assalamualaikum

Puding Jagung Cik Zida ni sangat sedap. Lemak manis dan berkrim. Manisnya yang tidak keterlaluan dengan rasa lemak dari jagung itu sendiri.

Sebenarnya minggu lepas dah dua kali Kak Zana buat puding jagung ni. Tempohari tersalah beli jagung tin. Akhirnya bersusun 3 tin jagung di rak. Takut pula terlepas pandang nanti tarikh luputnya. Jadi Kak Zana rajinkan diri. Itupun masih berbaki satu tin.

Cara membuat puding jagung ni sangat mudah dan cepat. Dan yang penting sangat sedap.

Resepi puding jagung ni diberikan oleh kawan baik Kak Zana iaitu Cik Zida. Sudah beberapa kali resepi puding jagung ni hilang dari simpanan Kak Zana. Maklumlah zaman sekarang ni semua resepi simpan dalam handphone. Jadinya bila handphone rosak dengan resepi-resepi sekali hilang dari radar.

Jadinya bila nak buat puding jagung mesti kena telefon atau whatsapp Cik Zida. Bersiap-siiagalah dengan panahan petir dari Cik Zida. Kena tahan telinga dengar leteran Cik Zida.

Hujan-hujan begini biasanya perut cepat benar terasa lapar minta diisi.

Jom kita buat puding jagung.

Bahan-bahan:

1 cawan tepung kastad
1 cawan gula kastor (Kak Zana kurangkan 1 1/2 sudu besar)
1 1/2 cawan air
1 tin jagung cream (boleh tambah jagung jika suka)
1 tin susu cair
1 sudu besar tepung jagung

Cara-caranya:

Masukkan air, tepung kastad dan tepung jagung ke dalam periuk. Kacau hingga rata. Guna api yang perlahan ye. Kemudian baru masukkan bahan-bahan lain. Kacau hingga rata  Sentiasa kacau hingga adunan menjadi pekat dan licin. Tutup api.

Masukkan kedalam acuan. Kak Zana guna acuan apam solo. Kebetulan memang ada acuan apam solo ini dirumah.

Ataupun boleh juga guna loyang empat segi yang telah dialaskan dengan plastik.

Biarkan sejuk. Baru boleh keluarkan dari acuan ataupun dipotong jika menggunakan loyang.

Sedia untuk dimakan.



Selamat Mencuba.



Resepi Ayam Masak Pakistan


Hujan turun dengan lebatnya.

Syoknya kalau dapat bantal. Tengok pulak mak sedang lena disebelah Kak Zana ni.

Tadi sebelum mak lena dia ada bertanya Kak Zana "kamu buat apa tu?"

Mungkin sebab mak tengok Kak Zana asyik benar mengadap komputer riba dari petang semalam dengan segala macam fail dan buku-buku didepan mata.

Pelik agaknya.

"Kumpul resepi masakan yang belajar dulu-dulu tu mak. Nak masukkan dalam blog" Kak Zana bagitau mak.

Mujurlah mak tak tanya blog tu apa?  Kalau diceritakan pun mak memang takkan tahu. Mak Kak Zana ni sebenarnya nak guna telefon rumah pun tak pandai. Kalau mak nak bercakap di telefon dia akan minta anak-anak saudara yang dailkan nombor. Begitulah selalunya.

Seperti biasa hari ini Kak Zana nak kongsi satu resepi masakan berasaskan ayam. Resepi ini agak istimewa dan unik dari segi rasanya. Ada rasa pedas cili hijau dan sedikit rasa masam-masam manis.

Masih juga dari hasil usaha belajar memasak dengan guru yang sama iaitu Kak Saba.

Mula-mula dulu bila Kak Zana dengar nama masakan tu rasa macam agak pelik kan. Tak dapat nak bayang macam mana rupa dan rasanya.

Bila kelas bermula, semua pelajar mendengar dengan tekun. Catat satu persatu apa yang Kak Saba terangkan.

Baunya saja sudah menyelerakan. Kami saling berbisik. Perut pula semakin berlagu. Tak sabar nak melihatkan hasilnya. Nak merasai keenakkannya.

Fulamak! Sumpah sedap. Kalau tak main sumpah nanti orang tak percaya kan.

Semenjak dari itu Ayam Masak Pakistan ini menjadi menu istimewa buat keluarga Kak Zana terutamanya ketika mengadakan majlis kenduri dan hari raya. Selain rasanya yang sedap ia juga mudah untuk disediakan.

Jom tengok resepinya.



Bahan A:

200ml minyak jagung (Minyak masak biasa pun boleh)
40g bawang putih dimayang
80g bawang merah (kecil) dimayang
1/2 inci halia - ditumbuk

Bahan B:

100g serbuk kari daging
1/2 sudu teh serbuk  putih
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk ketumbar
500ml air
Campurkan dan kaca rata

Bahan C:

250g bawang besar dipotong nipis
8 biji cili hijau dipotong serong
1300ml air paip

Bahan D:

1 ekor ayam anggaran 1.5-2kg dipotong 16 atau 20

Bahan E:

50ml air limau kasturi (angggaran dalam 6 biji)
Garam dan gula secukup rasa








Panaskan minyak dari dari bahan A tadi. Bila minyak panas tumiskan bawang putih terlebih dahulu, Bila kekuningan, masukkan bawang merah dan halia. Goreng hingga kekuningan dan naik bau.

Kemudian masukkan bahan-bahan B. Masak hingga naik bau dan pecah minyak.

Masukkan bahan-bahan C. Dikacau rata. Tutup periuk supaya bawang besar, cili hijau layu. Biar sehingga mendidih.

Masukkan ayam. Kemudian dikacau rata. Gunakan api sederhana besar. Sesekali dikacau.

Akhir sekali masukkan garam (anggaran 3 sudu kecil) dan gula (anggaran 3 sudu kecil) secukup rasa. Kacau. Biarkan hingga masak dalam 10 minit.

Siap. Boleh dihidangkan.

Selamat Mencuba.



Saturday, 15 December 2018

Resepi Kuih Serimuka


Assalamualaikum

Kuih serimuka ini antara yang paling sedap. Resepi hasil menuntut ilmu dari Kak Saba di Damansara 18 tahun yang lalu. Kak Zana gunakan resepi ini untuk tempahan pelanggan semasa masih bergiat aktif dalam menghasilkan kuih talam.

Ada 2 lagi resepi kuih serimuka dalam simpanan Kak Zana dari dua orang guru yang berbeza.. Akan tetapi  resepi Kak Saba tetap no 1 dihati Kak Zana.

Sekarang Kak Zana dah pencen. Dah malas ambil tempahan. Hanya ambil tempahan dari jiran tetangga sahaja. Itupun bergantung pada kerajinan.

Cuma kadang-kadang tu bila teringin sangat nak makan terpaksa jugaklah buat seloyang. Makannya hanya beberapa keping sahaja. Selebihnya Kak Zana sedekahkan kepada jiran-jiran.

Kebetulan pulak 2 minggu lepas sewaktu Kak Zana nak buat rawatan bekam, terfikir apa yang nak dihidangkan kepada tetamu nanti. Disebabkan memang dah lama teringin nak makan kuih serimuka airtangan sendiri ni maka Kak Zana rajinkan diri. Siapkan seloyang seawal pagi.

Kuih serimuka ini memang menjadi kuih kegemaran Kak Zana dari dulu lagi. Kak Zana sangat menggemari  apa jua jenis kuih dan makanan yang berasaskan pulut. Ketupat pulut, tapai pulut, pulut inti, pulut kuning dengan rendang, pulut putih dengan gula, pulut mangga dan sebagainya.

Jadi jangan salahkan penimbang berat ataupun cermin. Tiada istilah cermin ajaib. Kahkahkah

Sendiri cari masalah kan.



Bahan-bahannya:
Bahagian bawah
600g pulut (direndam sekurang-kurangnya 4 jam)
300 ml santan pekat
300 ml air
2 sudu teh garam (boleh kurangkan)
Bahagian lapisan atas
6 biji telur
80g tepung kastad
280g gula castor
330 ml santan pekat
330 ml air pandan (50g daun pandan dikisar)
atau 1 sudu kecil pes pandan (gunakan pes pandan yang berwarna hijau)
1 sudu kecil air alkaline
1/2 penutup pewarna hijau
1/2 sudu kecil garam
Sedikit esen vanila


Cara-caranya:

Untuk bahagian bawah (pulut)
Kacau rata santan yang telah dicampurkan dengan garam. Satukan pulut dan bancuhan santan. Kemudian tanak pulut hingga lembut.

Masukkan pulut yang sudah ditanak kedalam loyang saiz 10"x10". Loyang terlebih dahulu dialaskan dengan plastik saiz 14"x14". Tekap pulut dengan spatula yang keras hingga pulut mampat dan padat.
Satukan kesemua bahagian lapisan atas kedalam mangkuk. Kacau rata. Kemudian tapiskan. Masakkan adunan ini hingga naik wap dengan menggunakan api yang kecil.

Kukuskan semula pulut yang telah dimampatkan tadi dengan apa yang sederhana besar.. Kemudian masukkan sedikit adunan lapisan atas sehingga menutupi pulut. (Lihat gambar). Kukus dalam masa lebih kurang 3 minit. Kemudian masukkan adunan tepung yang selebihnya. Api tidak boleh terlalu besar ye. Api yang besar menyebabkan lapisan atas akan mengelembung dan berlubang.

Kukus selama 30 minit. Lap utup pengukus setiap 5 minit.

Beginilah jadinya bila api terlalu besar
Lapisan nipis - dikukus dalam masa  3-5 minit

Ada sedikit kenangan tentang kuih serimuka ni. Lepas habis SPM Kak Zana cuba-cuba untuk buat kuih serimuka berdasarkan resepi dari majalah.

Cewah.

Dengan yakin dan semangat yang berkobar-kobar Kak Zana buat kuih serimuka ni. Bila dah siap tu tunggu sejuk dulu baru boleh potong.

Akhirnya tibalah masa untuk memotong kuih dan merasai kesedapan kuih serimuka tu. Kononnya.

Hancur luluh hati bila kuih serimuka tu hanya indah kabar dari rupa. Kahkahkah.

Rasanya sedap ke tak?

Tak payah cerita lah.

Resepi Sambal Goreng Jawa


                                                 

Assalamualaikum.

Sudah lama sebenarnya Kak Zana berhajat nak kongsi resepi Sambal Goreng Jawa resepi keluarga. Masa yang agak terbatas menyebabkan niat itu asyik tertangguh sahaja. Hampir seminggu lebih tidak dapat menyentuh komputer riba.

Beberapa perkara perlu diuruskan sebelum dapat sambung bercuti panjang di kampung halaman seperti yang dijanjikan dengan anak-anak dan juga mak Kak Zana. Mujur anak-anak faham kesibukan Kak Zana beberapa minggu ini. Masak pun seringkas yang mungkin.

Dua minggu lepas Kak Zana masak sambal goreng jawa untuk makan tengahari. Menu kesukaan kami sekeluarga. Makan dengan nasi panas-panas. Cukup untuk menbangkitkan selera.

Kebetulan pulak hari tu ada yang berbaik hati nak keluarkan duit tabung untuk belanja Dominos Pizza.

Yeah.

Bersorak kegembiraan kami dapat makan pizza. Dominos Pizza kami jadikan menu minum petang merangkap makan makan malam.

Oh ye. Resepi sambal goreng jawa ini ada banyak versi sebenarnya.  Ada juga sambal goreng berwarna putih. Ikut selera masing-masing. Resepinya pun berbeza sedikit. Insya'Allah ada masa nanti Kak Zana kongsi resepi sambal goreng putih pulak ye.

Jom kita tengok resepi dibawah.

Bahan-bahannya:

10 batang kacang panjang (dipotong menyerong)
1 keping tempe  (dipotong kecil )
3 biji tauhu basah (dipotong kecil)
2 keping fucuk (direndam kemudian dipotong kecil)
3 biji ubi kentang (Dipotong memanjang)
Sedikit suhun - (direndam)



15-20 ekor udang saiz kecil sebagai rencah (dibuang kulit)
Resepi asal mak guna hati dan pedal ayam

5 biji bawang ros kecil (dimayang halus)
3 batang serai (dihiris halus)
5 ulas bawang putih (dimayang halus)
1 inci halia (dimayang halus)

2 biji cili merah
3 biji cili hijau
Resepi asal mak guna cili kering yang digunting secara menyerong dan digoreng sekejap

2-3 sudu besar cili kering (dikisar halus)
Kicap lemak manis
Kicap pekat (Jalen)
1 cawan santan
Sedikit garam dan gula (secukup rasa)

Sedikit minyak untuk menggoreng

Kesemua bahan seperti tempe, tauhu basah, ubi kentang dan kacang panjang dan udang perlu digoreng terlebih dahulu.



Nota: Kacang panjang dan udang diigoreng sekejap sahaja (Layu)

Cara memasak:

Panaskan minyak. Tumiskan bahan-bahan yang dimayang halus kecuali cili. Biarkan layu. Kemudian baru masukkan cili merah dan cili hijau. Kacau sebentar. Seterusnya masukkan cili kering yang dikisar. Biarkan hingga pecah minyak. Masukkan kicap. Baru masukkan santan yang dicampurkan dengan sedikit air. Masuk santan sedikit demi sedikit. Masukkan fucuk terlebih dahulu. Biar fucuk agak lembut. Bila fucuk sudah agak lembut baru masukkan kesemua bahan-bahan lain. Tambahkan garam dan gula. Kacau sehingga rata dan agak kering. Masak dengan api perlahan.

Ikut selera masing-masing ya sama ada nak sambal goreng agak kering atau basah. Kalau Kak Zana suka yang agak basah. Jadi biasanya Kak Zana akan lebihkan air dan santan.

Nota: Kicap memang sudah masin kan. Jadi jangan letak garam banyak. Ikut sukatan Kak Zana lebih kurang 1/4 sudu teh sahaja. Gula 1 1/2 sudu teh. Kalau nak lebih manis boleh tambahkan gula.

Selamat Mencuba.

Kak Zana anak jawa. Mak bapak dua-dua orang jawa. Jawa Perak. Tapi tak pandai cakap jawa. Rugi pulak rasanya dulu-dulu tak nak belajar. 

Sambil menulis ni terbayang-bayang pulak keenakan gemblong air tangan embah-embah di kampung Changkat Petai.  Kalau dulu bila ada kenduri wajib ada gemblong ni. 

Gemblong diperbuat dari pulut. Pulut dikukus. Dicampurkan dengan kelapa parut, sedikit gula dan garam. Kemudian ditumbuk dan letakkan didalam dulang bulat yang dialaskan dengan daun pisang. Padat-padatkan. 

Sedia untuk dimakan.












Wednesday, 5 December 2018

Resepi Ikan Cencaru Sumbat


Assalamualaikum.

Makan apa tengahari tadi?

Kak Zana masak ikan cencaru sumbat sambal belacan dan sayur petola campur suhun tumis air. Dah 2 hari asyik makan lauk ayam je. Jemulah pulak.

Memang beginilah kami. Cukup dengan satu lauk dan satu sayur sahaja.

Jadinya, hari ni Kak Zana nak kongsi resepi ikan cencaru sumbat sambal belacan ni ye.

Eh.

Resepi ikan cencaru sumbat pun nak kongsi ke? Apa salahnya kan. Cara masak setiap individu kan berbeza. Resepi pun berbeza. Kadang-kadang resepi tu sama tapi air tangan berbezakan. Sesetengah orang masak main campak-campak pun sedap dan begitulah juga sebaliknya.

Dah siap!
Jom kita tengok resepi dan cara-cara memasaknya.

Bahan-bahan:

4 ekor ikan cencaru sederhana besar (dibelah belakang & jangan buang kulit)

12 biji cili merah
10 biji cili pdi
2 inci belacan (kalau takut hidung tercabut, boleh kurangkan)
1 1/2 sudu kecil gula
Sedikit air asam jawa (1/2 cawan asam jawa + sedikit air)
Sedikit garam dan serbuk kunyit untuk digaulkan dengan ikan

Cara-caranya::

Kisar cili merah, cili padi, belacan, air asam jawa dan gula. Jangan terlampau halus. Kemudian toskan airnya. Kalau guna 'food processor' tak perlu gunakan air untuk proses mengisar. Jadi tidak perlu tapis cili yang telah dikisar itu.

Boleh juga cili yang telah dikisar itu disimpan sebentar di dalam peti ais. Supaya bancuhan cili itu mengeras sedikit.

Ikan digaul dengan garam dan serbuk kunyit. Kemudian masukkan cili kedalam ikan. Seperti gambar dibawah.

Panaskan minyak. Jangan gunakan banyak minyak. Boleh lihat gambar yang Kak Zana kongsi ye.



       

Resepi ikan cencaru sumbat ni ada macam-macam versi. Ada yang letak serai, bawang merah, bawah putih. Ada juga yang letak kelapa parut yang ditumbuk lumat bersama dengan cili. Ikut selera masing-masing.

Resepi Kak Zana kongsi ni sangat mudah kan. Inilah resepi yang Kak Zana guna dari dulu. Tapi kalau ikut cara mak, memang letak serai sikit. Kak Zana lebih terpengaruh dengan cara arwah mak saudara memasak.Banyak belajar dari arwah setiap kali musim cuti sekolah.

Anak-anak pun memang suka yang begini. Gandingkan pulak dengan masak lemak putih fucuk campur suhun dan tauhu basah.

Perghhhh!

Boleh lupa segala masalah. Tangguh diet hingga ke tahun hadapan.


Goreng 2 ekor sahaja dalam satu masa

Sambil menaip terdengar sorakan dari luar rumah. Rupanya ada perlawawan separuh akhir Piala AFF Suzuki antara pauskan Malaysia dan pasukan Thailand. Ini adalah perlawanan timbal balik dimana pada perlawanan pusingan pertama di Malaysia keputusan perlawanan berakhir dengan kedua-dua pasukan seri 0-0. 

Saat ini, kedua-dua pasukan seri 1-1. Andainya keputusan ini kekal hingga ke akhir perlawanan, maka dengan itu pasukan Malaysia layak untuk ke pusingan akhir menentang pasukan Vietnam ataupun Filipina.

Go Malaysia! 

Apa kena mengena ikan dengan bola pulak  ni? 




Resepi Roti Jala

Assalamualaikum

Hai semua.

Hari ni Kak Zana nak kongsi satu resepi mudah untuk membuat roti jala. Resepi roti jala yang Kak Zana nak kongsikan ini adalah resepi dari guru masakan Kak Zana iaitu Kak Saba. Beliau adalah orang lama dalam bidang masakan  khusus untuk kuih-muih melayu. 

Kuih-muh melayu yang beliau hasilkan mendapat tempahan dari hotel-hotel terkemuka di Selangor dan Wilayah Persekutuan KL. 

Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) antara pelanggan utama Kak Saba. Roti jala yang dihasilkan Kak Saba dan pasukannya berjaya terbang  megah dengan pesawat MAS pada suatu ketika dulu. 

Dengarkan kejayaan yang diraih Kak Saba sudah cukup membuatkan hati Kak Zana semakin berkobar-kobar untuk kembangkan perniagaan wlaupun pada masa itu belum secara sepenuh masa.

18 tahun sudah berlalu. Pada waktu itu gigih kumpul duit gaji untuk menuntut ilmu masakan ni. Sanggup ambil cuti sebab ada waktunya kelas diadakan pada hari bekerja. Sanggup redah kesesakan lalu lintas dan atasi ketakutan memandu sendiri. 

Resepi roti jalan ni ada pelbagai versi. Boleh saja cari di internet kan. Tapi untuk dapatkan resepi yang menepati selera adakalanya sukar. 

Percayalah, semenjak Kak Zana masuk kelas Kak Saba 18 tahun yang lalu Kak Zana hanya gunakan resepi ni sahaja sampai sekarang. Tak mungkin ku berpaling lagi.

Cewah! Macam tajuk lagu pulak dah.

Jom kita tengok resepinya. Resepi yang sangat mudah. 


Bahan-bahan:

600g tepung gandum (Cap Sauh)
4 biji telur
2 sudu kecil garam
1/2 penutup pewarna kuning telur
Sedikit esen vanila
2 sudu besar minyak sapi atau minyak jagung
1 liter air

Bancuhkan kesemua bahan-bahan di atas. Kemudian tapiskan. Kalau pekat boleh tambahkan sedikit air.


Roti jala sedap dimakan dengan kuah durian. Sesetengah orang namakannya Serawa Durian. Juga boleh dimakan dengan kari ayam ataupun kari daging.

Biasanya Kak Zana ambil tempahan roti jala ini dengan minimum tempahan 100 keping roti jala dan kari ayam (1/2 ekor) dengan harga RM80.00.


Ada kelapangan nanti, Kak Zana akan kongsi pula resepi kari ayam yang sedap dan serawa durian. Insya'Allah.

Hari pun dah nak maghrib.

Selamat Mencuba.

Resepi Kuih Puteri Ayu


Assalamualaikum

Hari ini Kak Zana nak kongsi satu resepi kuih yang mudah. Walaupun tidak menggunakan banyak bahan tetap rasanya menambat hati.

Sedap.

Cara nak buat pun memang senang sangat.

Macam pagi tadi, Kak Zana terlupa yang hari ni ada kelas mengaji lepas asar. Tiba-tiba diingatkan oleh Ustazah yang mengajar melalui whatsapp. Memang menjadi kebiasaan bila ada kelas mengaji, Kak Zana akan buatkan 1 jenis kuih untuk waktu rehat kelas mengaji ni. Saja suka-suka sambil cari pahala. Tidaklah sampai nak menunjuk-nunjuk yang kita ni pandai serba-serba.

Kalau ikutkan semangat yang tiba-tiba hilang entah kemana semenjak beberapa hari ni memang tak terbuatlah apa-apapun.

Puas juga pujuk hati. Jangan ambil pusing dengan apa yang orang kata, Pedulikan mereka yang kita anggap sahabat sejati saat diri dipinggirkan.

Bangkitlah sebelum kau terus rebah
Melawanlah tanda kau tak kalah
Pilihlah jangan kau tersalah
Cintailah usah kau berubah

Kita hanya manusia biasa.

Tak pernah tak silap dan tak pernah tak salah.

Betul tak?

Hari ni Kak Zana dibantu anak-anak untuk sediakan bahan-bahan kuih puteri ayu ni. Senang kerja mak hari ni. Alhamdulillah.




Jom kita tengok resepi dibawah.

Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum (apa-apa jenama pun tak kisah)
1 cawan gula halus
2 biji telur Gred B
1 sudu kecil ovelete
1 cawan santan pekat
1 sudu kecil pes pandan


Bahan-bahan lain:

1 biji kelapa parut putih
Sedikit garam
1 1/2 sudu besar tepung ubi

Gaul semua bahan di atas hingga rata. Masukkan ke dalam acuan dan ratakan.



Cara-caranya:

Pukul telur, gula dan ovelete sampai gebu. Masukkan pes pandan, santan dan tepung.

Biarkan air mendidih dahulu. Masukkan acuan yang telah diisikan dengan kelapa parut. Kukuskan sebentar. 2-3 minit. Kemudian baru masukkan bancuhan tepung. Jangan penuh sangat sebab adunan akan mengembang sedikit dalam proses mengukus.

Kukus selama 15 minit sampai masak dengan api yang sederhana.

Siap.

Dah siap letak kelapa. Macam nilah
Bahan-bahan yang digunakan


Selamat Mencuba.



Thursday, 29 November 2018

Resepi Chicken Chop Sedap



Assalamualaikum

Seperti yang dijanjikan dalam entri semalam. Hari ini Kak Zana nak kongsi resepi Chicken Chop


Bahan-bahan:

5 ketul ayam - dikelar-kelar sedikit (beli di kedai menjual produk seju beku)
-Perapkan dengan sedikit lada putih, garam, sos lea & perrins, perahan lemon dan telur

8 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
Sedikit serbuk roti (jika suka)


Bahan untuk sos:

200g sos perang (beli di kedai menjual produk sejuk beku)
5 helai daun bay
1 sudu besar daun basil kering
1 sudu besar daun pasli kering
Sedikit rosemary kering (tak letak pun takpe)
3 sudu besar lada hitam (nak lebih rasa pedas lada hitam, tambahkan saja)
125g mentega
3-4 biji bawang holland (dikisar halus)

Lada hitam dikisar. Kemudian ditapis. Serbuk halus dibuang. Hanya guna lada hitam yang berbiji-biji sahaja.

Cara-caranya:

Gunakan mentega untuk menumis. Masukkan bawang holland yang sudah dikisar. Biar layu sedikit. Masukkan sos perang yang telah dibancuh dengan sedikit air supaya tidak berketul-ketul. Tambahkan air sedikit demi sedikit mengikut kepekatan. Seterusnya masukkan daun bay, basil, pasli dan rosmary. Kacau hingga rata. Masukkan lada hitam. Kacau lagi hingga mendidih. Kalau kuah agak pekat boleh tambahkan air lagi. Mesti sentiasa dikacau ye supaya tak hangit dibawahnya nanti. Tambahkan sedikit gula jika suka. Kak Zana tak letak pun.

Gunakan minyak yang banyak untuk menggoreng. Ayam yang telah diperap itu kemudiannya digaulkan dengan tepung. Ulang proses sebanyak 2 kali. Boleh juga salutkan dengan serbuk roti berwarna putih atau oren. Kak Zana tak guna serbuk roti sebab anak-anak tak suka. Goreng ayam hingga cukup masak.

Nota tambahan:

Kentang goreng atau kentang putar dan coleslaw

Boleh juga tambahkan jagung rebus yang dikerat 3

Atau pun brokoli yang dikukus, kemudiannya dibalut dengan aluminium foil dan dibakar sebentar.

Cukup mengenyangkan.

Tadi Kak Zana buat 4 set Grilled Chicken dan selebihnya Chicken Chop.

Berkongsi rezeki hari ini dengan orang yang nak berbuka puasa. Mak mertua, kakak ipar dan anak-anak saudara. Puas makan.

Kalau beli dah berapa RM tu?

Eh. Lupa pulak. Sukatan sos ni boleh dapat untuk 30 set atau lebih ye.

Kak Zana dah terbiasa buat banyak-banyak.

Selamat Mencuba.

Resepi Daging Dendeng Sambal Hijau

Assalamualaikum.

Hari ini Kak Zana nak kongsi satu resepi berasaskan daging yang mudah dan sedap.

Pernah dengar daging dendeng? 

Menu ini sangat popular di kedai-kedai minang terutamanya bila kita berada di Indonesia. Pasti disetiap kedai ada dihidangkan daging dendeng ini. 

Cara memasaknya sangat mudah. Bahan-bahan yang digunakan juga tidak banyak.

Bahan-bahan:

600g daging dipotong nipis dan lebar (daging ais pun boleh)

30 biji cili hijau (direbus sehingga lembut)
5 ulas bawang putih
Sedikit lada sulah
Sedikit garam
Sedikit serbuk perisa (tak letak pun takpe)

Minyak untuk menggoreng

Agak gelap sedikit warnanya sebab terlupa kacau

Cara-caranya:

Rebus daging hingga lembut. Sewaktu merebus daging tambahkan lada sulah, sedikit garam dan perisa. Bila daging dah lembut, buangkan air rebusan. Biar daging sejuk sebentar. Kemudian daging ditumbuk menggunakan lesung batu. Jangan sampai hancur. Tumbuk-tumbuk manja saja ye.

Sediakan minyak untuk menggoreng. Setelah minyak panas, gorengkan daging yang telah ditumbuk. Goreng sedikit demi sedikit ye. Jangan sampai terlalu garing pula.

Toskan daging yang telah digoreng.

Kemudian dengan menggunakan minyak yang sama untuk menggoreng daging tadi, masukkan bawang putih. Biar bawang putih layu sedikit. Seterusnya masukkan cili hijau yang telah direbus tadi. Sentiasa kacau supaya tak hangit. Sambil itu hancurkan cili tersebut menggunakan sudip. Tambahkan sedikit garam dan serbuk perisa jika suka.

Masak sekejap sahaja. Jangan sampai garing dan berubah warna.

Kalau betul cara masaknya, sedap lagi daging dendeng ni dari yang dijual dikedai minang tu. Dikedai minang adakalanya daging tu keras sangat. Sebab digoreng garing sangat. Hati-hati bila makan takut dengan gigi-gigi sekali tercabut nanti.

Sedap makan dengan nasi panas-panas. Boleh lupa diri sekejap.

Selamat Mencuba.

Resepi dari bekas pekerja. Orang Minang.

Monday, 26 November 2018

Resepi Puding Labu Bakar

Bukan setakat cantik dipandang. Rasanya pun memang sedap. 

Pencinta makanan berasaskan labu pasti akan suka puding labu bakar ini. Teksturnya seakan-akan kuih bingka tetapi tidak terlalu keras. Sedap dan enak pastinya.

Sesuai dihidangkan untuk apa juga majlis.  

Kak Zana suka buat puding labu ni untuk dihidangkan dimajlis rumah terbuka. Biasanya tetamu sangat teruja bila melihat warnanya yang menawan. 

Bikin hati tertawan. Jangan kena sawan sudahlah kan.  

Jom tengok resepinya.


Bahan-bahannya:

4 biji telur
1 cawan tepung gandum
1 3/4 cawan gula halus atau kastor
1/2 awan marjerin
3/4 cawan tepung kastad
3 1/2 cawan labu rebus (di lecek)
1 tsp vanilla
2 tsp kismis
2 tsp ceri


Cara membuatnya:

Pukul gula dengan marjerin hingga kembang. Masukkan telur sebiji-sebiji, kacau hingga rata.
Masukkan kedua-dua jenis tepung dan labu. Akhir sekali masukkan kismis dan ceri yang sudah dipotong. Sediakan acuan, sapu marjerin tuangkan adunan dan bakar hingga masak.




Selamat Mencuba.

Friday, 23 November 2018

Resepi Daging Tetel Masak Taucu Terangkat

Menu seminggu yang lalu.

Kak Zana masak Taucu Daging Tetel. Ada yang pernah bertanya sedap ke? Tak pernah dengar pun daging tetel boleh buat masak taucu.

Orang Perak je yang biasa masak taucu daging tetel ni. Tapi dulu kalau Kak Zana masakkan untuk pekerja-pekerja, biasanya licin satu periuk. Tandanya sedaplah tu kan.

Biasanya Kak Zana masak taucu ikan saja. Kalau dah teringin sangat baru masak daging tetel taucu ni. Kira menu ni macam istimewa jugaklah. Kegemaran adik-beradik, sepupu sepapat semua. Menurunlah ke anak-anak buah semua.

Resepi asal dari arwah mak saudara. Arwah ni kalau masak apa pun memang 'superb'. Tapi jangan tanya resepi dekat dia. Sukatan dia Ya Robbi. Bahan-bahan semuanya main campak-campak belaka. Kalau nak belajar masak dengan arwah memang kena tengok betul-betul. Pandai-pandailah kau 'adjust' balik resepi tu.

Daging tetel taucu ni tak boleh masak selalu. Sebab kebelakangan ni Kak Zana macam tak boleh makan daging. Bila makan daging terasa sakit dibahagian kepala dan tengkuk. Kadang-kadang sampai berhari-hari.

Faktor usia agaknya.

Biasalah bila dah berumur ni, semua kena jaga. Pantang salah makan sikit ada sajalah penyakit yang datang. Tak cukup tidur pun boleh datangkan sakit. Terlebih fikirpun pun dah tak boleh.

Supplement pun wajib kena ambil setiap hari.

Macam sekarang ni lah nak mencari idea menulis pun dah macam nak meletup otak dibuatnya.  Rangka dah ada. Waktu nak kembangkan tu kadang-kadang boleh juga tergeliat sana sini.

Mana satu 'intro' mana satu 'ending' pun dah tak boleh nak bezakan.

'Cursor' ke atas dan ke bawah. Kiri ke kanan. Tak menjadi jugak.

Tak mengapa. Sikit saja lagi ni. Setiap permulaan pasti menuju garisan penamat.

Eh. Takkanlah sampai 40 entri jer?

Cikgu dah say hi hi tu. Nak say bye-bye tak boleh lagi ni. Hutang tugasan dah berapa ni?

Dah jom.

Kak Zana nak kongsi resepi dengan korang semua.

Mudah saja resepinya.



Bahan-bahan:
600g daging tetel (direbus hingga lembut)
3 sudu besar taucu (lebih pun ok, lagi sedap)

2 biji bawang besar (dihiris)
5 ulas bawang putih (dihiris halus)
1 inci halia (dihiris halus)

Sedikit gula
Cuka (kalau suka)

Cili padi 20 biji atau lebih (Boleh ditumbuk sedikit untuk tambah pedas)
Cili merah 3 biji
Tauhu basah 3 keping (potong 4)


Tak perlu ditumis ye sebab daging tetel tu dah mengeluarkan minyak yang banyak.

Bila daging dah empuk, masukkan semua bahan yang dihiris bersama taucu. Biarkan seketika. Tambahkan sedikit gula dan cuka (ikut citarasa masing-masing ye)

Boleh jugak tambahkan sedikit penambah perisa.

Kemudian masukkan cili padi dan cili merah. Biar cili lembut sedikit, baru masukkan tauhu basah.

Cukup rasa, boleh tutup api.

Siap.

Nak rasa daging tetel masak taucu yang lebih sedap kena tunggu lama sikit baru boleh makan. Macam kita buat kuah laksa. Masak petang ni, esok baru sedap rasa kuahnya sebab dah mesra semua bahan-bahannya.

Selamat Mencuba



Thursday, 22 November 2018

Resepi Kek Cempedak

Assalamualaikum.

Dah fikir nak buat apa untuk minum petang hujung minggu ni?

Cuti sekolah pun dah nak bermula. Mesti mak-mak pening kan. Waktu cuti sekolah ni sama ada anak-anak duduk dirumah, dihantar ke kampung atau pun tetap juga dihantar kerumah pengasuh.

Kepada mak-mak yang anaknya duduk dirumah, boleh sahaja anak-anak ini dilatih untuk melakukan kerja-kerja rumah yang mudah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Alhamdulillah, anak-anak Kak Zana yang kecil pun dah 10 tahun dan 9 tahun umurnya. Mereka dah dilatih untuk buat kerja rumah seperti menyapu, mop lantai, lipat kain dan semestinya pinggan makan kena basuh sendiri. Kalau tak basuh, siaplah!

Boleh juga sambil-sambil tu bila ada masa terluang mak-mak ajar anak memasak. Ajar yang asas dahulu seperti masak nasi dan goreng telur.

Bila anak-anak dah rajin tolong mak buat kerja rumah, mak pun kena pandai-pandailah. Bagi mereka 'reward'. Pujian pun kena bagi jugak. Ini berdasarkan pengalaman Kak Zana lah. Bila dipuji semakin rajin mereka buat kerja. 

'Reward' pulak boleh dalam bentuk wang tunai. Jadikan wang tersebut sebagai tabungan mereka. Pasti mereka suka.

Kemudian mak-mak masak yang sedap-sedap. Akan terdengarlah pujian dari mereka "mama masak sedaplah". Begitulah kaedahnya.

Kak Zana ada satu resepi kek yang sedap nak kongsi dengan kalian semua.

Kek Cempedak. Macam pelik je kan.

Kek Cempedak ini tercipta bila terlalu banyak buah cempedak dipasaran. Bila tiba musim cempedak, pemilik dusun pening kepala sebab terlalu banyak buah cempedak. Nak jual pun tak laku. Dari cerita yang Kak Zana dengar seorang anak pekebun cempedak yang cipta resepi kek cempedak ini.

Ssungguh. Tak sia-sia idea menghasilkan kek cempedak ni. Memang sedap sangat. Dapat pulak buah cempedak yang isinya berwarna oren dan tebal. Rasanya pulak manis memukau.




Resepi ni Kak Zana kongsi dari rakan di FB ye. Tapi memang serius sedap.

Bahan-bahan:

250g mentega
200g gula caster
250g tepung naik sendiri (kalau guna tepung gandum + 1 sudu kecil baking powder - diiayak)
4 bij telur
200g isi cempedak

Sedikit cempedak untuk hiasan
Sedikit snow power (gula icing pun boleh)



Cara-caranya:
Pukul mentega dengan gula hingga gebu. Masukkan telur satu persatu. Diputar laju. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul rata menggunakan spatula. Akhir sekali masukkan cempedak yang telah dicincang kasar.

Gunakan loyang saiz 8"x8" atau kecil sedikit pun boleh. Lenserkan loyang dengan mentega atau minyak. Alaskan dengan kertas minyak. Baru masukkan adunan kek.

Bakar mengikut kesesuaian oven masing-masing ye.

Selamat Mencuba

Dah terbayang-bayang cempedak goreng pulak. Bilalah musim cempedak nak datang lagi ni?

Resepi Spaghetti Beef Bolognese

Sempena cuti Sambutan Maulidul Rasul beberapa hari yang lalu, anak saudara Kak Zana beritahu nak singgah dirumah. Dia dengan isteri dan anak-anaknya. Sambil tu nak tempah pau sejuk beku katanya. Cikgu-cikgu disekolahnya yang menempah untuk bekalan anak-anak waktu cuti sekolah nanti.

Hari cuti umum biasanya memang Kak Zana agak malas sikit nak masak. Kalau boleh nak 'tapau' saja atau makan diluar. Jadi boleh fokus pada kerja-kerja lain.

Tapi tak sampai hati pulak bila fikirkan anak saudara datang dari jauh. Bukannya selalu.

Masak yang simple dan apa yang mereka suka makan. Anak saudara pun tak beritahu waktu yang tepat nak sampai dirumah Kak Zana. Katanya mungkin lewat petang.

Sudahnya pukul 8 malam baru mereka sampai. Biasalah janji melayu kan. Mujurlah Kak Zana tak masak yang berat-berat. Sekadar Spaghettti Beef Bolognese saja. Itu yang mudah dan cepat bagi Kak Zana. Anak-anak Kak Zana pun suka.

Jadinya hari ni Kak Zana nak share resepi Spaghetti Beef Bolognese. Resepi ni Kak Zana belajar dari baker terkenal Allahyarhamah Datin Pauziah atau lebih dikenali sebagai Kak Pau. (Kak Pau meninggal pada 12 November baru-baru ini)

Al-Fatihah untuk arwah.

Ni dia resepinya ye. Lepas ni boleh cuba terus. Insya'Allah sedap.



Bahan-bahan:
1 peket spaghetti (direbus-letak sedikit garam dan minyak zaitun)

1 biji bawang holland (dicincang halus)
5 ulas bawang putih (dicincang halus)
Sedikit lobak merah (dicincang halus)
Sedikit cendawan butang - dpotong kecil (tak letak pun tak apa)
1 tin tomato puri (kimball pun boleh)
1 tin kecil tomato paste (jenama SW atau Hunts)
5 biji buah tomato (dikelar kulitnya kemudian direbus - lenyekkan)
1/2 sudu kecil lada hitam (tumbuk kasar)
Sedikit garam
Sedikit gula (pilihan)
3 helai daun bay
2 sudu besar oregano
Sedikit minyak jagung atau minyak zaitun untuk menumis.
500g daging kisar
Parmesan cheese untuk tabur/hiasan



Cara-caranya:
Tumis bawang putih hingga kekuningan. Masukkan daging kisar. Kacau sehingga daging hancur. Masukkan lobak merah, bawang holland dan cendawan. Kacau sekejap. Kemudian masukkan tomato puree, tomato paste bersama dengan daun bay dan oregano. Tambahkan 1 gelas. Kacau rata. Masukkan lada hitam dan buah tomato yang telah direbus tadi. Biarkan mendidih. Tapi jangan sampai pecah minyak ye. Perasakan dengan garam. Kalau kuah agak pekat, boleh tambahkan air. Tambahkan gula untuk sedikit rasa manis. Kacau rata hingga mesra rasanya.

Siap.

Hidangkan denggan pinggan yang cantik. Deko cantik-cantik lepas tu buat photoshoot. Begitu.

Tips: Untuk spaghetti tak melekat, selepas direbus, gaulkan dengan sedikit minyak zaitun. Untuk merebus pula pastikan air mendidih terlebih dahulu baru masukkan spaghettti.