Thursday 29 November 2018

Resepi Chicken Chop Sedap



Assalamualaikum

Seperti yang dijanjikan dalam entri semalam. Hari ini Kak Zana nak kongsi resepi Chicken Chop


Bahan-bahan:

5 ketul ayam - dikelar-kelar sedikit (beli di kedai menjual produk seju beku)
-Perapkan dengan sedikit lada putih, garam, sos lea & perrins, perahan lemon dan telur

8 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
Sedikit serbuk roti (jika suka)


Bahan untuk sos:

200g sos perang (beli di kedai menjual produk sejuk beku)
5 helai daun bay
1 sudu besar daun basil kering
1 sudu besar daun pasli kering
Sedikit rosemary kering (tak letak pun takpe)
3 sudu besar lada hitam (nak lebih rasa pedas lada hitam, tambahkan saja)
125g mentega
3-4 biji bawang holland (dikisar halus)

Lada hitam dikisar. Kemudian ditapis. Serbuk halus dibuang. Hanya guna lada hitam yang berbiji-biji sahaja.

Cara-caranya:

Gunakan mentega untuk menumis. Masukkan bawang holland yang sudah dikisar. Biar layu sedikit. Masukkan sos perang yang telah dibancuh dengan sedikit air supaya tidak berketul-ketul. Tambahkan air sedikit demi sedikit mengikut kepekatan. Seterusnya masukkan daun bay, basil, pasli dan rosmary. Kacau hingga rata. Masukkan lada hitam. Kacau lagi hingga mendidih. Kalau kuah agak pekat boleh tambahkan air lagi. Mesti sentiasa dikacau ye supaya tak hangit dibawahnya nanti. Tambahkan sedikit gula jika suka. Kak Zana tak letak pun.

Gunakan minyak yang banyak untuk menggoreng. Ayam yang telah diperap itu kemudiannya digaulkan dengan tepung. Ulang proses sebanyak 2 kali. Boleh juga salutkan dengan serbuk roti berwarna putih atau oren. Kak Zana tak guna serbuk roti sebab anak-anak tak suka. Goreng ayam hingga cukup masak.

Nota tambahan:

Kentang goreng atau kentang putar dan coleslaw

Boleh juga tambahkan jagung rebus yang dikerat 3

Atau pun brokoli yang dikukus, kemudiannya dibalut dengan aluminium foil dan dibakar sebentar.

Cukup mengenyangkan.

Tadi Kak Zana buat 4 set Grilled Chicken dan selebihnya Chicken Chop.

Berkongsi rezeki hari ini dengan orang yang nak berbuka puasa. Mak mertua, kakak ipar dan anak-anak saudara. Puas makan.

Kalau beli dah berapa RM tu?

Eh. Lupa pulak. Sukatan sos ni boleh dapat untuk 30 set atau lebih ye.

Kak Zana dah terbiasa buat banyak-banyak.

Selamat Mencuba.

Kisah Mama, Angah dan Kucing





Semalam habis dikerjakan kucing kesayangan arwah embahnya. Dimandikan kucing tu. Si kucing pulak pandai, bila nak dimandikan kelam kabut dia melarikan diri. Kalau tidak bukan main manja lagi dia dengan si Angah. Pagi-pagi lagi dah disondolnya kaki Angah suruh bangun. Kalau Angah tak bangun, dia siap baring atas tilam. 

Dia tau Angah sayangkan dia.

Si adik pulak walaupun takut dengan kucing tapi tetap menolong abangnya pegangkan paip nak bagi kucing mandi.

Tak sangka pulak Angah ni penyayang kucing. Kalau ikutkan abangnya dulu, memang takut dengan kucing. Kalau ke kedai makan yang ada kucing, tak senang nak makan dibuatnya. Dia punya menangislah takutkan kucing tu. Samalah dengan si bongsu Azalia pun takut dengan kucing.

Dulu masa Angah kecil, nampak saja kucing terus dikejarnya. Kadang-kadang tu diitarik ekornya. Kami yang ketakutan takut kucing tu mengamuk.

Sifat sayang kucing ni menurun dari maknya. Siapa lagi? Kak Zana lah kan.

Kak Zana tersuka kucing ni pun tanpa sengaja sebenarnya. Eh. Dah macam tajuk drama TV3 pulak kan.

Bermula bila adik bawa anak kucing jalanan sewaktu balik dari surau. Dia jumpa di tepi jalan. Anak kucing tu masih kecil lagi. Adik risau kalau kucing tu kena langgar, jadi dibawa balik kucing tu kerumah.

Bermulalah episod menjaga kucing itu yang kami namakan MeMe. Memang comel sangat.

Hari demi hari Kak Zana semakin sayang dengan 'MeMe' ni. Tidur pun kadang-kadang sekatil.

Satu kejadian yang membuktikan kasih sayang tu bila pada suatu hari di bulan puasa, abang Kak Zana ni dah macam orang terencat akal pun ada. Main mercun siang-siang buta.

'MeMe' ni bila dengar letupan tu terus terkejut. Dia punya pecut macam acara lari balapan 100m tu sampai naik atas pokok kelapa. Sudahnya turun tak pandai.

Adoi. Pening juga dibuatnya. Jenuh fikir macammana nak turunkan. Takkan kami pulak yang nak panjat pokok kelapa tu kan.

Sudah tu bawah pokok kelapa ada pulak telaga. Kalau lah Meme jatuh kedalam telaga tu. Gerenti mati kan.

Itulah yang Kak Zana bebelkan dengan abang. Selagi dia tak selamatkan MeMe.

Dua malam tidur Kak Zana tak lena. Sampai termimpi-mimpikan MeMe.

Sungguh.

Putus cinta pun tak seteruk ini.

Entah mcammana MeMe ni boleh turun, Kak Zana tak berapa ingat. Tapi selepas 3 hari rasanya. Puaslah menangis. Kesiankan MeMe kebuluran. Masa tu memang bergaduhlah dengan abang macam nak meletus Perang Dunia Ke-3 lagaknya.

Mak dengan arwah bapak hanya mampu tengok saja gelagat anak-anaknya bergaduh pasal kucing.

Demi kucing juga Kak Zana sanggup saja ikat perut. Nak bawa kucing ke klinik haiwan lah katakan. Ada satu hari tu siap panggil doktor datang rumah. Tapi kesian doktor tu kena halau dengan mak.

Sebab mak memang tak berapa suka dengan kucing.

Akhirnya MeMe ni merajuk sebab Kak Zana mula bekerja di Kuala Lumpur. Lepas beberapa minggu Kak Zana tiada di kampung, dia pun bawa diri sebab selain Kak Zana, memang tiada siapa yang sayangkan kucing kecuali arwah bapak.

Kejadian yang membuatkan mak lagi marah dengan Kak Zana, bila setiap kali Kak Zana telefon mak di kampung. Bukan nak tanya mak sihat ke tidak.

"MeMe ok ke mak? Mak bagi makan tak?

Nyaris lah mak bukan jenis nak carutkan anaknya sesuka hati kan. Kalau tak, memang nasib tak baiklah kau Suzana. Lain kali kau tanyalah mak dah makan ke belum. Baru lah betul.

Tapi yang sedihnya MeMe ni bila dia nak mati, dia balik kerumah. Mati dihadapan rumah. Memang sedih sangat bila dapat tau.

Berakhirlah kisah Kak Zana dengan kucing. Semenjak itu memang Kak Zana tak nak bela kucing. Tengok kucing pun, jeling-jeling je.

Sekarang penyakit sayang kucing tu dah berjangkit pulak dengan Angah. Memang dah lama dia minta nak bela kucing dirumah. Tapi tinggal di kondominium tidak mengizinkan kami membela kucing.

Mujurlah.

Kalau tak, lagi pening mak dibuatnya.

Tu lah semalam bila Kak Zana cerita yang Kak Zana dulu ada bela kucing. Anak-anak ni macam tak percaya.

Habis Kak Zana kena soal siasat.

"Apa nama kucing mama dulu"

"Kenapa kucing tu mati". Banyak lagi soalan yang ditanya.

Kak Zana bagitau kucing tu mati sebab bunuh diri. si Azalia ketawa mengekek-ngekek.

"Ma, kucing mana boleh bunuh diri" katanya.

"Siapa kata tak boleh, hari tu kucing mama siap ada tali di leher dia. Tu bunuh diri lah tu" Kak Zana sengaja sedapkan cerita.

Melampau kan mak punya reka cerita.

Selain MeMe ada jugak kucing lain masa tu. Tapi tak sempat hidup lama. Ada yang mati kena langgar.

Tadi ada anak saudara mengimbau kenangan tentang kucing Kak Zana.

Kata mereka "kami dulu sengaja potong misai MeMe tu. Barulah nampak comel".

Nak cakap apa lagi?

Pasrah sajalah.



Resepi Daging Dendeng Sambal Hijau

Assalamualaikum.

Hari ini Kak Zana nak kongsi satu resepi berasaskan daging yang mudah dan sedap.

Pernah dengar daging dendeng? 

Menu ini sangat popular di kedai-kedai minang terutamanya bila kita berada di Indonesia. Pasti disetiap kedai ada dihidangkan daging dendeng ini. 

Cara memasaknya sangat mudah. Bahan-bahan yang digunakan juga tidak banyak.

Bahan-bahan:

600g daging dipotong nipis dan lebar (daging ais pun boleh)

30 biji cili hijau (direbus sehingga lembut)
5 ulas bawang putih
Sedikit lada sulah
Sedikit garam
Sedikit serbuk perisa (tak letak pun takpe)

Minyak untuk menggoreng

Agak gelap sedikit warnanya sebab terlupa kacau

Cara-caranya:

Rebus daging hingga lembut. Sewaktu merebus daging tambahkan lada sulah, sedikit garam dan perisa. Bila daging dah lembut, buangkan air rebusan. Biar daging sejuk sebentar. Kemudian daging ditumbuk menggunakan lesung batu. Jangan sampai hancur. Tumbuk-tumbuk manja saja ye.

Sediakan minyak untuk menggoreng. Setelah minyak panas, gorengkan daging yang telah ditumbuk. Goreng sedikit demi sedikit ye. Jangan sampai terlalu garing pula.

Toskan daging yang telah digoreng.

Kemudian dengan menggunakan minyak yang sama untuk menggoreng daging tadi, masukkan bawang putih. Biar bawang putih layu sedikit. Seterusnya masukkan cili hijau yang telah direbus tadi. Sentiasa kacau supaya tak hangit. Sambil itu hancurkan cili tersebut menggunakan sudip. Tambahkan sedikit garam dan serbuk perisa jika suka.

Masak sekejap sahaja. Jangan sampai garing dan berubah warna.

Kalau betul cara masaknya, sedap lagi daging dendeng ni dari yang dijual dikedai minang tu. Dikedai minang adakalanya daging tu keras sangat. Sebab digoreng garing sangat. Hati-hati bila makan takut dengan gigi-gigi sekali tercabut nanti.

Sedap makan dengan nasi panas-panas. Boleh lupa diri sekejap.

Selamat Mencuba.

Resepi dari bekas pekerja. Orang Minang.

Berbuat kebaikan tak kira masa

Esok dah nak balik ke Kuala Lumpur.

Tengoklah siapa yang terlebih emosi esok.

Mak atau anak-anak?

Kebiasaannya begitu. Kak Zana tak pernah tak menitiskan air mata setiap kali nak kembali ke Kuala Lumpur. Rasa sedih teramat bila nak berpisah dengan mak.

Anak-anak pula tak puas bermain dengan kakak dan abang sepupu. Bosan kalau di Kuala Lumpur kata mereka. Tiada halaman tempat nak bermain dan tiada binatang peliharaan.

Awal-awal pagi tadi Kak Zana dah siapkan semangkuk mee goreng. Teringin pulak nak makan putu mayam yang sedap. Belilah sedikit tadi buat hilang kempunan. 

Kemudiannya Kak Zana dan suami melangkah keluar rumah menuju ke tanah perkuburan. Menziarahi pusara arwah bapak, arwah abah (bapa mertua) dan juga arwah makcik Melah jiran sebelah rumah. Rupanya pusara arwah bapak berjiran juga dengan pusara arwah makcik Melah. Semuanya dengan kehendakNya. 

Selesai urusan di tanah perkuburan, terus kami ke Medan Selera Dato Sagor yang terkenal dengan 'Roti Telur Goyang'. Sebenarnya tak lapar mana pun. Saja gatal nak lepak-lepak sekejap mana tau terjumpa kawan lama. 


Medan Selera pun dah berwajah baru. Terpaksalah mencari-cari kedai yang menjadi kegemaran  kami. 

Tu dia.

Dah nampak papan tanda gerai no 22. Kedai Ah Yoong. Tempat kegemaran kami melepak suatu ketika dulu. 

Terharu sungguhlah bila Ah Yoong dan adiknya masih kenal kami berdua. Padahal dah lama sangat rasanya kami tak menjejakkan kaki kesitu.

Seperti biasa kami pesan 'Roti Telur Goyang' dan Bun Kukus sapu mentega dan kaya. 

Wow! Rasa tak berubah sama macam dulu jugak. Dipadankan pulak dengan kopi Ais Ipoh Mali yang sedap. 

Sempat jugalah kami berborak. Kata Ah Yoong bisnes sekarang dah tak macam dulu. Banyak persaingan.

"Apa mau buat, bisnes kena jalan jugak. Sapa mau kasi duit? kata Ah Yoong dengan pelat Cinanya. 

Tiba masa kami ucapkan selamat tinggal pada Ah Yoong. Sempat juga kami bungkus 4 biji bun kukus sapu mentega dan kaya buat keluarga dirumah.

Seterusnya kami singgah di klinik kerajaan di Kg Manjoi sebab nak beli vadai yang sedap dari seorang pakcik ni. Memang susah nak cari vadai yang sedap di Kuala Lumpur tu. Siap Kak Zana mintak izin untuk ambil gambar dia sekali tadi. Hari ni pakcik siap bagi lebih lagi vadai tu. 



Sempat lagi selepas tu kami singgah dihadapan SK Manjoi sebab nak ambil gambar. Dulu Kak Zana bersekolah disitu dari darjah 1 hinggalah darjah 6. 

Sekarang ni SK Manjoi dah berubah. Terbahagi kepada 2. 

SK Manjoi 1 
SK Manjoi 2. 


Bangunannya pun dah bertambah. Banyak pembaharuan dilakukan.  SK Manjoi pun sekarang bukan sekadar sekolah kampung. Sudah boleh bersaing dengan sekolah-sekolah yang lebih baik pastinya.

Bulan Febrari yang lalu, kami telah berjaya mengadakan sesi 'reunion' SK Manjoi tahun 1979-1984. Sesi 'reunion' ini telah berjaya merakamkan pertemuan semula kami pelajar-pelajar SK Manjoi dan beberapa orang guru. Sungguh menggamit nostalgia saat itu. 

Buat masa ini group whataspp SK Manjoi semakin sendu. Semua ahli  sibuk dengan urusan masing-masing dan ada juga ahli yang sudah bercucu. 

Kak Zana pun ada cucu dah. Tapi cucu saudara lah. 

SK Manjoi tetap dihati. 

'Buat sahabat Rosmawati Mior Adlan dan Arifah Azna Baharin. Kalian berdua adalah sahabat yang paling awal aku kenal. Kita bertiga berlumba-lumba untuk dapatkan markah yang terbaik waktu itu dan tidak pernah berpisah kelas sehinggalah darjah 5'.

Betul tak?




Wednesday 28 November 2018

Sibuk mengalahkan menteri kaedahnya...

Penat sangat rasanya hari ini. Dari pagi keluar masuk rumah. Banyak perkara yang perlu dilakukan.

Selepas subuh siapkan dulu sarapan dirumah. Masak kotiaw goreng dan roti bakar letak planta bertemankan air teh O sahaja.

Teringat pulak anak yang seorang ni tak makan kotiaw goreng. Bergegas minta suami belikan roti canai 2-3 keping. Selesai masalah.

Sambil tu berfikir. Nak tulis apa hari ini. Semenjak kesihatan kurang memberangsangkan dalam seminggu ini rasa macam terbatas otak nak befikir jauh-jauh. Dengan matanya yang rabun tapi tetap degil untuk buat cermin mata.

Tak nak mengaku tua kisahnya. Mujurlah ada anak kecil yang berbaik hati tolong bacakan tulisan mama kalau ada salah ejaan. Takpelah, tunggu tahun depan azam baru pakai cermin mata.

Dari pukul 10 pagi keluar rumah konon nak mencari bahan. Adalah jugak muncul idea-idea tu. Sempat juga berposing di merata bangunan lama di Pekan Lama sambil mengimbau kenangan.

Bila dah sampai kerumah, baru teringat ada satu hal yang belum selesai. Niat dihati esok nak masak 'Chicken Chop' untuk keluarga. Lepas Zohor terpaksa keluar semula. Kami ke kedai bahan bakeri Wah Seng untuk membeli brown sos, daun bay, daun basil dan daun pasli. Kemudiannya nak cari ayam sejuk beku untuk dibuat 'chicken chop'. Cuma tak tahu dimana tempatnya.

Allah mudahkan urusan kami. Saja ringankan mulut bertanya tauke kedai Wah Seng ini.

"Ada jual maaa dekat dekat kita punya kedai. Wah Seng satu lagi" tauke kedai memberi jawapan

"Ohh, yang dekat Taman Dr tu ye. Nasib baik saya tanya you" balas Kak Zana

Tauke kedai mengangguk sambil tersenyum manis. Memang tak sombong orangnya. Kak Zana memang dah lama kenal dengan tauke kedai Wah Seng sejak dari zaman anak dara lagi. Masa mula-mula cari duit sampingan buat biskut raya.

Kami pun menuju ke destinasi seterusnya mencari ayam frozen. Masuk saja ke dalam kedai Wah Seng terpegun sungguh dibuatnya. Rupa-rupanya kedai ini lagi besar dan banyak barang-barangnya. Kata salah seorang pekerjanya, kebanyakan produk-produk yang ada, mereka bekalkan ke hotel-hotel di sekitar Ipoh ni.

Begitulah ceritanya.

Selesai membeli apa yang patut disitu kami meneruskan hajat untuk balik kerumah. Dalam perjalanan teringat pula apa yang nak dihidangkan buat keluarga untuk minum petang hari ini. Terus saja kami singgah di deretan kedai yang menjual pelbagai jenis kuih-muih berhampiran rumah. Kuih-kuih disitu sedap-sedap belaka.

Kak Zana beli serba sedikit kuih antaranya tepung talam, cucur badak, tepung gomak, serimuka, buah melaka dan juga apam balik. Sebahagiannya nak diberikan kepada anak-anak saudara yang tinggal berjiran. Seronok rasanya bila kita berbahagi rezeki kan.

Sambil membeli kuih tu terpandang pulak kedai menjual buah durian diseberang jalan. Tapi kata suami, tak payah belilah sebab tengok buahnya macam dah tak segar. Ikutkan sajalah lagipun takut jugak dalam keadaan kesihatan yang belum seratus peratus pulih. Nanti tak pasal-pasal diserang sakit kepala lagi.

Esok Kak Zana share resipi 'Chicken Chop' dengan sos lada hitam yang mabeles ye. Resepi keluarga.  Juga resepi yang Kak Zana semasa menjalankan perniagaan kafe dulu.




Gaji Pertama di Tarcomm

Zaman dulu RM320.00 dah cukup besar bagi lepasan STPM untuk bekerja disyarikat-syarikat kecil milik bumiputra.

Itulah jumlah gaji yang Kak Zana terima sebagai gaji pertama di sebuah syarikat kontraktor Telekom.

Secara tak sengaja Kak Zana dapat peluang kerja sementara di Tarcomm Sdn Bhd terletak di Ipoh Garden. Membina sebuah pengalaman dalam kerjaya disini amat memberi makna pada kehidupan Kak Zana.

Selalunya Kak Zana pergi ke pejabat dengan menaiki bas. Ada waktunya juga Kak Zana dihantar arwah bapak.

Bekerja di syarikat ini tidak lama. Lebih kurang 6 bulan sahaja. Akan tetapi  dalam tempoh 6 bulan itu banyak yang Kak Zana belajar tentang pengurusan syarikat. Kak Zana ditugaskan sebagai kerani yang betanggungjawab dalam urusan pekerja dari segi pembayaran gaji, caruman kwsp dan socso serta banyak lagi tanggungjawab lain.

Walaupun dengan gaji permulaan sebanyak RM320.00 pada masa itu, tetap boleh menampung kehidupan. Dapat saja gaji dihujung bulan pasti RM50 dihulurkan kepada emak terlebih dahulu. Seterusnya Kak Zana akan bayar bil telefon rumah sebab memang Kak Zana dengan adik saja yang suka bergayut kan. Selebihnya Kak Zana gunakan untuk perbelanjaan harian. Jarang sekali Kak Zana makan tengahari di pejabat. Selalunya Kak Zana bawa bekal makanan dari rumah.

Mungkin dengan ilmu Kak Zana dapat inilah Kak Zana diterima bekerja di syarikat lain di bahagian Sumber Manusia. Minat Kak Zana juga semakin mendalam dalam bidang Sumber Manusia hinggakan Kak Zana sanggup belajar secara sendiri dengan membeli buku-buku berkaitan sumber manusia, undang-undang pekerja dan sebagainya. Dalam pada itu juga Kak Zana semakin mahir dalam bidang 'payroll'. Pekerjaan ini amat menyeronokkan.

Bekerja di Tarcomm Sdn Bhd walaupun tidak lama tetapi telah membuahkan  satu hubungan silaturrahim yang berpanjangan. Bos tempat Kak Zana bekerja ini namanya Mohd Taha Mohd Nawang. Beliau minta kami sebagai pekerjanya panggil beliau dengan panggilan pakcik Taha sahaja.

Kak Zana juga sangat rapat dengan anak-anaknya. Ada ketikanya Kak Zana diminta untuk menjaga anaknya yang bongsu bernama Farah. Waktu itu pengasuhnya ada urusan keluarga.
Sehingga saat ini hubungan kami masih baik. Sesekali kami akan berhubung melalui telefon. Ada waktunya bila Kak Zana balik ke Ipoh, Kak Zana akan ziarah pakcik Taha dan isterinya makcik Rahimah.

Bila difikir-fikirkan balik, banyak juga yang boleh dibuat dengan gaji RM320.00 pada zaman dulu. Cukup saja sampai ke hujung bulan.

Ye lah. Dulu lain sekarang lain kan.

Zaman berubah.








JJCM - Nellis Deli

Tujuan asal Kak Zana pagi ini nak ke stesen bas Ipoh untuk mengambil gambar jalanan disana. Sambil beli kacang putih yang sinonim dengan Ipoh. Kacang putih ini sangat terkenal di Ipoh dan banyak dijual di kawasan stesen bas ini sejak dari zaman Kak Zana kecil lagi.

Apakan daya. Hasrat untuk mengambil gambar disekitar kawasan stesen bas terpaksa dibatalkan disebabkan tiada ruang tempat letak kereta disitu.

Kecewa rasanya.

Selain kacang putih yang popular, stesen bas ini juga banyak meninggalkan kenangan yang indah buat kami warga Ipoh. 

Kak Zana meneruskan perjalanan menyusuri jalan di sepanjang pekan lama.  Amat mengasyikkan bila melihat banyak perubahan yang berlaku. Pekan Lama sekarang ini menjadi tumpuan pelancong dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Di Pekan Lama ini juga terdapat beberapa deretan kedai kaum India yang dikenali sebagai 'Little India'. Kedai-kedai ini kebanyakannya menjual barang kemas, kain saree dan juga alat kelengakapan sembahyang bagi penganut agama Hindu.

Seterusnya melalui jalan hadapan sebuah deretan kedai makan yang dikenali sebagai 'Clock Tower' terletaknya dibelakang bangunan Dewan Bandaraya Ipoh. Disini sangat terkenal dengan menu 'Roti Telur Goyang'.

Memandangkan waktu itu jam telah menunjukkan pukul 10.30 pagi, rasa macam sudah terlambat untuk bersarapan. Lagipun dirumah tadi dah sepinggan kutiaw goreng Kak Zana bedal tanpa rasa kesal. Bila di Ipoh kena lupakan dulu soal diet. Rugi kalau tak makan.

Alang-alang dah di pekan lama ini kebetulan ada satu kafe hipster yang menjadi pilihan Kak Zana iaitu Nellis Deli. Menu di Nellis Deli sangat menepati selera Kak Zana. Harganya agak mahal sedikit tapi 'portion' makanannya sangat besar. 

Masuk saja Kak Zana di Nellis Deli ini terus perasaan jadi sangat teruja dengan dekorasinya yang klasik. Sangat menenangkan fikiran.

Tanpa berlengah terus Kak Zana membuat pesanan makanan. Kak Zana order mee rebus untuk suami, nasi lemak ayam goreng untuk anak dan cucur udang untuk Kak Zana sendiri. Dah pesan makanan tentulah ada minumannya sekali kan. Kak Zana pesan lemon madu panas, nescafe tarik dan teh O ais. 

Saja nak bagitau, kafe Nellis Deli ditutup setiap hari Selasa ye. Jangan nanti ada yang terjah tiba-tiba.

Waktu operasi perniagaanya dari 10am-5pm kecuali hari Khamis dan Jumaat waktu operasinya dipanjangkan hingga ke 10pm. Menu untuk makan malam bermula dari pukul 5pm. Menu untuk makan malam berbeza setiap hari.

Tak rugi singgah di Nellis Deli tau. Selain makanannya yang sedap suasananya yang tenang juga boleh membangkitkan selera.

Kafe Nellis Deli ini beralamat di No 99, Jalan Sultan Yusuf, 30300 Ipoh, Perak.

Selesai makan-makan di kafe Nellis Deli boleh terus bejalan kaki menyusuri deretan bangunan lama yang sangat mengujakan.

Percayalah. 

Sedap!


Antara menu yang ada


Kualiti gambar agak kurang memuaskan. Tak cukup cahaya dan ketinggalan tripod di KL. Redah saja apa adanya. 







Tuesday 27 November 2018

Bila di Ipoh. Seronoknya...

Seronoknya bila dapat balik kampung. Nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Kesempatan yang ada ini Kak Zana gunakan sebaik-baiknya.

Rehatkan minda sambil menyantuni mak. Tak perlu fikir pasal kerja atau bisnes. Sampai saja dikampung secara automatik hati jadi tenang dan fikiran lapang.

Rumah orang tua Kak Zana di Kampung Seberang Sungai Tapah, Ipoh. Diantara perkampungan Melayu yang terbesar dikenali sebagai Gugusan Manjoi.

Gugusan Manjoi ini terdiri daripada beberapa buah kampung antaranya:

Kampung Manjoi Lama
Kampung Manjoi Baru
Kampung Tengku Husin Lama
Kampung Tengku Husin Baru
Kampung Tengku Husin Tambahan
Kampung Seberang Sungai Tapah
Kampung Sungai Tapah
Kampung Datuk Ahmad Said
Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan

Suasananya tidaklah macam kampung-kampung melayu sangat sebab sudah dilanda arus permodenan. Jarak dari rumah ke pekan pun dalam beberapa minit sahaja. Tidak jauh bezanya dengan suasana di Kampung Baru Kuala Lumpur tempat Kak Zana menetap sekarang.

Cuma bezanya dikeliling rumah ini masih banyak pokok-pokok yang menghijau, ada pokok kelapa yang rendang dengan buahnya yang merimbun. Buah kelapa inilah yang menjadi habuan kami anak cucu bila balik kampung. Dapat menikmati kesegaran air kelapa dengan isinya yang lembut menjadi satu kemestian setiap kali pulang ke kampung. Kalau nak beli air kelapa muda sekarang ni pun dah mahalkan.

Ditepi rumah Kak Zana ni ada sebuah jambatan. Dibawah jambatan inilah tempatnya kami bermain dan berkubang di dalam sungai. Sungai inilah yang menjadi saksi akan kenakalan kami adik beradik dan sepupu-sepupu. Asal ada peluang, terjun saja ke dalam sungai tanpa rasa bersalah. Walaupun sebenarnya airnya tidaklah sejernih mana. Dibawah jambatan ini juga kami selalu buat bom haram waktu bulan puasa. Mujur tiada yang terputus tangan.

Disekitar kampung ini juga masih terdapat beberapa buah lombong tinggal yang menjadi tempat kami bermain suatu ketika dulu tanpa ada sedikitpun rasa takut. Entah dari mana datangnya semua keberanian itu kan.

Di Ipoh juga sangat terkenal dengan makanannya.

Sebut sahaja Nasi Ganja. Semua orang tahu. Ada juga yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin menikmati kesedapan nasi ganja tu. Nasi Ganja ni tak letak ganja pun. Dipanggil nasi ganja mungkin atas sebab bila dah makan sekali, akan teringat-teringat akan kesedapannya. Ketagihan lah ceritanya.

Nak makan mee kari dan mee kicap?

Cari mee kari Kak Yah. Otai mee kari di pekan Ipoh. Mula berniaga mee kari ni semenjak awal 80-an lagi. Kemudiannya barulah muncul Mee kari Mat Jasak dan beberapa lagi pengusaha yang lain.
Tapi bagi Kak Zana, mee kari Kari Kak Yah adalah yang terbaik. Mee kari Kak Yah ini terletak di Taman Kledang berhampiran Masjid Jamek Taman Kledang.

Banyak lagi tempat-tempat makan yang menyajikan makanan yang sedap-sedap. Banyak juga cafe-cafe hipster yang tumbuh bagaikan cendawan. Antaranya Nellis Deli, Cokodok Raggae, Cakchibow Cafe, Plan B dan banyak lagi. Terlalu banyak sebenarnya. Nanti Kak Zana akan kongsikan tentang makanan yang sedap-sedap dan tempat-tempat yang menarik di Ipoh di entri yang lain ye.

Balik kampung kali ni Kak Zana berkesempatan uuntuk menemankan mak untuk temujanjinya diklinik kesihatan. Dengan keadaan mak yang sudah tua dan uzur. Ditambah pula dengan deria dengarnya yang semakin berkurang menuntut mak diberikan perhatian yang lebih. Kak Zana bersyukur diberikan peluang untuk menyantuni mak kali ini. Selalunya tanggungjawab ni digalas oleh abang-abang Kak Zana.

Sempat juga Kak Zana menemani mak untuk menziarahi sepupunya yang tinggal tidak jauh dari rumah. Sepupu mak ni merangkap kawan baik mak semasa mudanya. Alangkah terkejutnya Kak Zana bila melihat pakcik iaitu suami kepada sepupu mak ini dalam keadaan uzur. Terlantar di katil tanpa boleh difahami tutur katanya. Sebelum ini yang Kak Zana tahu memang pakcik menghidap 'Parkinson' sudah agak lama. Dan kini makan dan minumnya juga disuapkan oleh anak dan menantunya. Menitis juga airmata Kak Zana ni. Timbul rasa bersalah sebab sudah sekian lama tidak menziarah mereka. Sedangkan waktu kecil kami adik beradik sering saja kerumah sepupu mak ini.

Selalunya apa yang kita rancangkan tidak menjadi kenyataan kan. Tapi kali ini semuanya berlaku secara spontan. Pulangnya Kak Zana ke kampung kali juga diberi kesempatan untuk berjumpa dengan jiran sebelah rumah merangkap kawan sepemainan semasa kami kecil. Seronoknya kami dapat berborak walaupun dalam masa yang singkat dan tak cukup korum. Tapi tetap juga boleh menggamit memori silam.

Bermain 'police century' dimalam hari di bulan Ramadan. Menyorok di reban angsa dalam gelap. Tak boleh nak bayangkan macammana. Nyaris tak kena sodok dengan angsa tu kan. Belum lagi dengan kisah seorang insan yang nakal. Suka membaling bunga api yang sedang menyala ke arah geng perempuan yang 'sweet' ni.

Main masak-masak, main pondok-pondok main mak-mak dimana anak patung dijadikan sebagai anak. Main kahwin-kahwin pun ada. Pasangan yang berkawin olok-olok ini disandingkan di tangga rumah tok wan jiran ni.

Hebat ke tak kami ni?

Alhamdulillah persahabatan kami tetap baik hingga saat ini cuma tidak berkesempatan untuk selalu berjumpa macam dulu-dulu.

Moga ukhuwah ini berkekalan dan kenangan ini tetap kekal dalam ingatan kami.




Monday 26 November 2018

Resepi Puding Labu Bakar

Bukan setakat cantik dipandang. Rasanya pun memang sedap. 

Pencinta makanan berasaskan labu pasti akan suka puding labu bakar ini. Teksturnya seakan-akan kuih bingka tetapi tidak terlalu keras. Sedap dan enak pastinya.

Sesuai dihidangkan untuk apa juga majlis.  

Kak Zana suka buat puding labu ni untuk dihidangkan dimajlis rumah terbuka. Biasanya tetamu sangat teruja bila melihat warnanya yang menawan. 

Bikin hati tertawan. Jangan kena sawan sudahlah kan.  

Jom tengok resepinya.


Bahan-bahannya:

4 biji telur
1 cawan tepung gandum
1 3/4 cawan gula halus atau kastor
1/2 awan marjerin
3/4 cawan tepung kastad
3 1/2 cawan labu rebus (di lecek)
1 tsp vanilla
2 tsp kismis
2 tsp ceri


Cara membuatnya:

Pukul gula dengan marjerin hingga kembang. Masukkan telur sebiji-sebiji, kacau hingga rata.
Masukkan kedua-dua jenis tepung dan labu. Akhir sekali masukkan kismis dan ceri yang sudah dipotong. Sediakan acuan, sapu marjerin tuangkan adunan dan bakar hingga masak.




Selamat Mencuba.

Food Photography Tea Talk 2.0

Baru-baru ini Kak Zana berkesempatan untuk menghadiri kelas 'Food Photography & Styling' yang dianjurkan oleh Tuan Din Zainal seorang 'food photographer' yang berpengalaman. Kelas ini diadakan di kafe Biji Kopi yang terletak di Bangi Gateway.

Ini adalah kali yang ke-2 Kak Zana menghadiri kelas Tuan Din Zainal. Kali pertama adalah di Johor Bahru pada bulan September tahun lalu.

Demi minat yang mendalam dalam bidang fotografi ini terutamanya 'food photography' kelautan api juga sanggup Kak Zana renangi.

Cewah.

Belakang tabir

Antara props yang dgunakan


Kelas berlangsung selama lebih kurang 5 jam bermula dari 10 pagi dan berakhir pada 3 petang.

Kelas ini dihadiri oleh seramai 9 orang pencinta fotografi termasuk Kak Zana dan dibuat secara santai sahaja.

Di kelas kali ini, Kak Zana belajar dari asasnya iaitu susun atur makanan 'styling', props yang digunakan dan kedudukannya, latarbelakang yang sesuai sehingglah ke proses 'editing' yang menjadikan sesuatu gambar itu lebih cantik dan ada seninya.

Alhamdulillah. Banyak dapat  ilmu yang bermanfaat dari kelas ini.

Lepas ini kita tinjau-tinjau pula kelas di Jakarta.

Ayuh kita ke Jakarta. Agenda 3 dalam 1. Sambil belajar fotografi boleh juga masuk kelas memasak dan sambil-sambil boleh membeli-belah.

Raya pun dalam beberapa bulan saja lagi.

Kita ke Pasar Mayestik yok! Beli kain ela bikin baju raya.

Gambar sebelum

Selepas proses 'editing'

Dengan adanya kelas ini juga maka bertambahlah bilangan kawan-kawan Kak Zana dalam bidang fotografi dengan kepakaran yang berbeza. Alhamdulillah, Kak Zana dapat berkenalan dengan 2 orang pakar 'gambar jalanan'. Sudah cukup menyeronokkan bila mereka ini adalah golongan yang tidak kedekut ilmu. Saling membantu dan bertukar-tukar pendapat.

Semoga ukhwah ini berkekalan hendaknya.

Gambar asal

Selepas proses 'editing'

Tiada istilah 'terlambat' dalam menuntut ilmu.

Betul tak?


Saturday 24 November 2018

Kami dan Bapak

Tergerak hati untuk melihat whatsapp yang masuk. Bukan kebiasaannya Kak Zana begitu.

"Adik-adik, bapak kita dah tak ada"

Itulah ayat-ayat yang tertera di group whatsapp keluarga kami dari abang yang sulung. Waktu itu hanya Kak Zana dan adik bongsu yang tinggal di Terengganu sahaja tidak dapat bersama arwah bapak disaat akhirnya.

Lidah jadi kelu. Hati pedih bagai ditusuk sembilu.

Ye, bapak dah tinggalkan kami buat selama-lamanya.

Saat itu sedang Kak Zana menunggu berakhirnya azan Asar di masjid berdekatan. Kak Zana ingin terus bermohon pada Allah dengan penuh harapan agar bapak diberikan kesembuhan.

Hati ini tak sanggup melihat bapak didalam kesakitan. Terbaring lesu di katilnya. Tanpa kami tahu dimana sakitnya Tanpa kami faham bicaranya.

Ya Allah. Kau ampunkanlah segala dosa-dosa bapa kami.

Kini, hampir 7 bulan arwah bapak meninggalkan kani disaat usianya 85 tahun. Kami ikhlas dengan pemergian bapak.

Akan tetapi tetap juga ada rindu yang tak terungkap.

Tetap juga ada beban duka yang sarat tak terubat.

Tetap juga ada kenangan yang tak terpadam.

Semakin luluh hati disaat Kak Zana terdengar luahan isi hati mak sewaktu bertemu doktor di sebuah klinik kesihatan.

"Semenjak suami makcik takde ni, makcik takde selera makanlah doktor, makcik sunyi. Hati makcik ni sedih sangat".

Allahuakbar. Sungguh Kak Zana tak berdaya.

Waktu itu, Kak Zana tercari-cari ruang untuk mengalihkan pandangan. Airmata Kak Zana mengalir laju. Tak mahu mak melihat Kak Zana  menangis begitu.

Masih Kak Zana terbayang-bayang saat bapak terlantar sakit. Lesu dan tidak bermaya. Makan pula hanya sesuap dua. Manakan datang tenaga.

Dua minggu sebelum arwah bapak meninggalkan kami, itulah kali terakhir Kak Zana menatap wajah arwah. Sempat Kak Zana memeluk dan memohon ampun dari arwah bapak. Berat kaki ini untuk melangkah meninggalkan arwah dalam keadaan terlantar begitu.

Walaupun begitu Kak Zana bersyukur diberikan kesempatan untuk menjaga arwah disaat sakitnya walaupun dalam tempoh yang singkat. Rutin Kak Zana menjaga arwah bapak bermula 1 pagi hingga ke subuh.

Kak Zana akan sentiasa bertanya arwah bapak.

Laparkah dia, dahagakah dia?

Sentiasa ingatkan arwah untuk berselawat dan berzikir. Waktu itu jiwa Kak Zana kena kental. Semangat kena kuat. Dalam waktu menjaga arwah bapak, airmata jadi teman setia.

Sehari sebelum pemergian bapak, ingat kagi malam itu abang Kak Zana menelefon beritahu yang bapak tak macam biasa keadaannya.

Diam tanpa suara. Ibarat sudah hilang segala upaya.

"Zana, bapak ni senyap je. Tak macam biasa, nak buat macam mane? abang menyoal Kak Zana.

"Kamu telefonlah abang Wahi dulu" pinta Kak Zana agar dia menghubungi abang yang sulung.

"Tapi nanti kalau apa-apa kamu bagitau, orang cuba balik secepat mungkin"

Perbualan kami terhenti disitu.

Hari itu hari Rabu.

Dalam hati Kak Zana terus berdoa agar Kak Zana diberi kesempatan untuk menatap wajah arwah buat kali terakir.

Tapi apakan daya. Kematian itu pasti. Tidak menunggu walau sesaatpun.

Akhirnya bapak pergi meninggalkan kami pada hari Khamis 26 April 2018 disaat azan Asar sedang berkumandang.

"Bapak, kami merinduimu. Moga kita bertemu di syurga"



Anak-anak dan Al-Quran

'Alif di atas Aa, Alif dibawah Ee, Alif didepan Uu, bunyinya 'Aa Ee Uu'

'Alif dua di atas An', Alif dua dibawah In', Alif dua didepan Un', bunyinya An' In' Un'

Alif Wau mati di atas Au,Nun di atas Na, bunyinya Au' Na'

Alif Wau mati didepan Uu' Nun di atas Na, bunyinya Uu' Na.

Begitulah seterusnya hingga guru mengaji kata berhenti.

Tamatkan dengan Wassalamu.

Yeah. Dah boleh balik.

Begitulah cara Kak Zana mengaji mengunakan Muqaddam dulu. Tapi orang Perak sebut Muqaddam ni  'Jahama'. Mula pergi mengaji masa umur 8 tahun. Darjah 2 masa tu.

Setiap hari berjalan kaki dengan abang ke rumah 'Ende' yang jaraknya dalam 100 meter dari rumah.

Dulu pernah juga terfikir kenapa guru mengaji ni dipanggil 'Ende'.

Kenapa bukan makcik?

Rupa-rupanya panggilan 'Ende' tu samalah dengan gelaran makcik. 'Ende' panggilan untuk makcik bagi keturunan Syed dan Syarifah. Begitulah kisahnya.

Paling syok bila Ende beritahu "minggu depan tak payah datang mengaji ye sebab Ende ada tempahan kuih".

Tak syoknya pulak bila Ende suruh anak perempuan dia yang ajar kami mengaji. Masa ni rasa macam nak lari balik jer. Sebab anak Ende ni muka tak pernah senyum. Tengok orang macam nak telan jer.

Kalau sekolah kebangsaan waktu pagi, jadi pergilah kami mengaji disebelah petang. Bila malam sambung pulak mengaji dengan arwah bapak. Lepas solat maghrib berjemaah, bersilalah kami dengan sopannya bersama muqaddam dan Al-Quran masingg-masing. Kak Zana, abang dan adik bongsu.

Masa mengaji dengan arwah bapak inilah yang boleh jadi mimpi ngeri sangat. Salah sikit saja, mendaratlah tangan bapak dipipi kami yang comel tu.

"Apa aaa aaa aaa," jerkah bapak. Dah hinggap satu.

Dulu-dulu bila kita dah tamat Al-Quran, ibu bapa akan meraikan kita dengan mengadakan majlis khatam Quran. Dibuatkan pulut kuning beserta lauk pauk kemudiannya disedekahkan kepada jiran-jiran dan guru mengaji.

Kalau ada kemampuan lebih, dibuatkan kenduri kesyukuran.

Itulah namanya kenangan.

Sekarang segalanya berubah. Bila anak-anak sekarang mengaji menggunakan teknik bacaan Iqraq, Kak Zana jadi pening nak mengajar. Tak pandai, tapi usaha jugaklah.

Alhamdulillah anak-anak Kak Zana walaupun bermula lambat, bila mereka dah naik Al-Quran tu rasa legalah sikit. Dapat pula guru mengaji yang memang bertauliah.

Sebaiknya kita sebagai ibu bapa raikan juga anak-anak setelah mereka berjaya tamat Al-Quran sebagaimana kita meraikan hari konvokesyen mereka di peringkat tadika sehinggalah keperingkat yang lebih tinggi.

Kita sematkan dalam jiwa anak-anak supaya cintakan Al-Quran.

Kalau buka kita, siapa lagi?

Dulu masa anak sulung naik Al-Quran memang Kak Zana buatkan pulut kuning. Bila tamat Al-Quran pun Kak Zana buat benda yang sama.

Dah terbiasa agaknya melihatkan mak selalu meraikan kami begitu. 


Friday 23 November 2018

Resepi Daging Tetel Masak Taucu Terangkat

Menu seminggu yang lalu.

Kak Zana masak Taucu Daging Tetel. Ada yang pernah bertanya sedap ke? Tak pernah dengar pun daging tetel boleh buat masak taucu.

Orang Perak je yang biasa masak taucu daging tetel ni. Tapi dulu kalau Kak Zana masakkan untuk pekerja-pekerja, biasanya licin satu periuk. Tandanya sedaplah tu kan.

Biasanya Kak Zana masak taucu ikan saja. Kalau dah teringin sangat baru masak daging tetel taucu ni. Kira menu ni macam istimewa jugaklah. Kegemaran adik-beradik, sepupu sepapat semua. Menurunlah ke anak-anak buah semua.

Resepi asal dari arwah mak saudara. Arwah ni kalau masak apa pun memang 'superb'. Tapi jangan tanya resepi dekat dia. Sukatan dia Ya Robbi. Bahan-bahan semuanya main campak-campak belaka. Kalau nak belajar masak dengan arwah memang kena tengok betul-betul. Pandai-pandailah kau 'adjust' balik resepi tu.

Daging tetel taucu ni tak boleh masak selalu. Sebab kebelakangan ni Kak Zana macam tak boleh makan daging. Bila makan daging terasa sakit dibahagian kepala dan tengkuk. Kadang-kadang sampai berhari-hari.

Faktor usia agaknya.

Biasalah bila dah berumur ni, semua kena jaga. Pantang salah makan sikit ada sajalah penyakit yang datang. Tak cukup tidur pun boleh datangkan sakit. Terlebih fikirpun pun dah tak boleh.

Supplement pun wajib kena ambil setiap hari.

Macam sekarang ni lah nak mencari idea menulis pun dah macam nak meletup otak dibuatnya.  Rangka dah ada. Waktu nak kembangkan tu kadang-kadang boleh juga tergeliat sana sini.

Mana satu 'intro' mana satu 'ending' pun dah tak boleh nak bezakan.

'Cursor' ke atas dan ke bawah. Kiri ke kanan. Tak menjadi jugak.

Tak mengapa. Sikit saja lagi ni. Setiap permulaan pasti menuju garisan penamat.

Eh. Takkanlah sampai 40 entri jer?

Cikgu dah say hi hi tu. Nak say bye-bye tak boleh lagi ni. Hutang tugasan dah berapa ni?

Dah jom.

Kak Zana nak kongsi resepi dengan korang semua.

Mudah saja resepinya.



Bahan-bahan:
600g daging tetel (direbus hingga lembut)
3 sudu besar taucu (lebih pun ok, lagi sedap)

2 biji bawang besar (dihiris)
5 ulas bawang putih (dihiris halus)
1 inci halia (dihiris halus)

Sedikit gula
Cuka (kalau suka)

Cili padi 20 biji atau lebih (Boleh ditumbuk sedikit untuk tambah pedas)
Cili merah 3 biji
Tauhu basah 3 keping (potong 4)


Tak perlu ditumis ye sebab daging tetel tu dah mengeluarkan minyak yang banyak.

Bila daging dah empuk, masukkan semua bahan yang dihiris bersama taucu. Biarkan seketika. Tambahkan sedikit gula dan cuka (ikut citarasa masing-masing ye)

Boleh jugak tambahkan sedikit penambah perisa.

Kemudian masukkan cili padi dan cili merah. Biar cili lembut sedikit, baru masukkan tauhu basah.

Cukup rasa, boleh tutup api.

Siap.

Nak rasa daging tetel masak taucu yang lebih sedap kena tunggu lama sikit baru boleh makan. Macam kita buat kuah laksa. Masak petang ni, esok baru sedap rasa kuahnya sebab dah mesra semua bahan-bahannya.

Selamat Mencuba



Yeah...Nak balik kampung

Seawal 4 pagi Kak Zana dah bangun untuk siapakan tempahan roti jala dengan kari ayam.

Ikutkan hati memang dah tak nak ambil tempahan sebab terikat dengan tanggungjawab lain. Tapi bila fikirkan jiran yang menempah ni seorang yang baik hati dan sangat senang berurusan dengannya. Cakap saja berapa harga yang dikenakan, tak pernah sekalipun dia minta harga dikurangkan dan sebagainya.


Siap saja roti jala, terus Kak Zana hantarkan ke lobi supaya senang diambil oleh puan yang menempah nanti.

Selesai satu bab.

Hari ini juga diadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan untuk pelajar SK St John 1. Anak Kak Zana si Ariff Azri ni dijemput hadir untuk menerima anugerah. Peliknya kami sendiri tak tau anugerah apa yang bakal diterimanya itu.

Kata guru kelasnya mungkin anugerah untuk Pengawas Pusat Sumber. Biar betul?

Disebabkan kesihatan Kak Zana yang masih belum pulih sepenuhnya, jadinya hanya suami saja  yang menghadiri majlis tersebut.

Rupanya dia menerima anugerah peningkatan prestasi bagi kelas 4 Excellant. Gitu. Tak sangka pulak kan.

Jadinya petang tadi, kami belanja makan Pizza. Cukuplah kan.

Dalam keadaan tak berapa sihat ni otak Kak Zana tetap ligat terfikir. Bila nak balik kampung? Cuti sekolah dah bermula. Hampir 2 bulan tak balik jenguk mak. Rindu pulak rasanya.

Kebetulan semalam di group whatsapp keluarga ada gambar mak menziarah kubur arwah bapak. Lagilah bertambah-tambah rindu pada mak.

Aturan Allah sangat cantik sebenarnya.

Bila diuji dengan kesakitan yang tidak reda-reda ini Kak Zana ambil keputusan untuk berehat seketika. Mungkin seminggu atau lebih. Yeah. Boleh balik kampung.

Lepas balik dari kampung baru kita fikir cara nak mula 'diet'. Rejim 'diet' bagaimana yang sesuai dengan Kak Zana.

Eat clean? No. Eat clean = makan sampai licin. Hahaha.

Diet Atkin? Tak boleh jugak. Menggigil. Dah cuba dulu.

Diet IF? Nampak macam menarik. Takpe, nanti kita cuba.

Ni lah masalahnya, bila treadmill kau buat tempat sangkut beg dan tuala. Kau beli oat konon nak buat 'overnight oat' sampai sekarang tak buat-buat lagi. Kau beli beras perang, tapi kau simpan buat perhiasan dalam oven.

Jadi macam mana nak sihat?





Mimpi Vs Nyata

Golll!!!!

Satu jaringan yang cantik dari sebelah kiri oleh pemain penyerang sayap kanan pasukan Perak Izham Yusof berjaya menewaskan penjaga gol pasukan lawan Ahmad Khairul.

Pasukan Perak kini mendahului dengan 1 gol berbalas 0.

Sedang berlangsung di Stadium Perak perlawanan separuh akhir Piala Malaysia diantara pasukan tuan rumah Perak The Gaurus bertemu dengan pasukan lawan Pahang Darul Makmur.

Perlawanan baru 10 minit bermula. Permainan semakin rancak. Pasukan lawan terus-menerus mengasak pintu gol pasukan tuan rumah. untuk mencari gol penyamaan. Benteng pertahanan pasukan Perak agak goyah sedikit ketika ini.

Golll!!!

Aghhhh!

Satu tendangan cantik dari penyerang pasukan lawan berjaya diselamatkan oleh penjaga gol pasukan Perak Mohd Ali. Hampir saja pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan.

Penyokong pasukan Perak mula tidak keruan. Tidak berpuashati dengan tindakan pengadil perlawanan yang membenarkan sepakan sudut diambil oleh pasukan Pahang yang menjadikan perlawanan semakin sengit.

Tuan rumah kembali menguasai perlawanan. Penyerang berprestij pasukan Perak Izham Yusof dengan larian pantasnya dan dibantu rakan sepasukan R.Kesavan yang terkenal dengan larian seumpama lipas kudungnya terus mengasak pertahanan lawan. Beberapa kali serangan mereka hampir-hampir menciptakan gol ke-2. Tapi tindakan pantas penjaga gol pasukan Pahang berjaya menepis beberapa percubaan yang dilakukan.

Aduh.

Aku yang menonton di kaca TV semakin resah gelisah.  Ikut sama menjerit disaat pasukan lawan berada di kawasan gol pasukan Perak.

"Kamu ni dah kenapa? Terjerit-jerit macam orang sasau. Orang yang di padang tu elok jer main bola nanti tak pasal-pasal kamu pulak yang masuk hospital sebab sakit jantung" bebelan ayahku menyesakkan telinga.

"Alah, ayah tu pun sama, kalau dapat tengok wrestling, sampai terhinjut-hinjut kaki, tangan tu macam nak bagi penumbuk kat orang tu, ok je".

Eh. Menjawab pulak aku.

Dalam hati rasa kecewa sangat sebab tak dapat sama-sama menyokong di stadium. Esok aku ada peperiksaan akhir tahun. Kertas Pengajian Am. Kalau teruk markah periksa tu nanti, menjawablah pulak aku dengan Puan Rahmah guru mata pelajaran Pengajian Am.

Dapat pulak 'title' Malaun dari Puan Rahmah.

Seketika aku hilang fokus pada perlawanan yang sedang berlangsung.

Impian si 'dia' untuk membawa pasukannya ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia dan menjulang Piala Malaysia adakah bakal menjadi kenyataan ataupun sebaliknya.

Eh. Aku pulak yang cemas ni kenapa?

Siapa si 'dia' tu?

Ishh. Malu lah nak cerita. Lain kali lah.

Aku terus hanyut dibuai Angan-angan Pelamin Angan Ku Musnah.

Tiba-tiba terdengar seakan pintu rumahku diketuk. Aku bingkas bangun dan meluru ke pintu.

Lafaz bismillahirrohmannirrohim aku mulakan sambil membuka pintu perlahan-lahan.

Tiba-tiba wajah Lee Jang Woo muncul didepanku dengan senyum manisnya.

Eh! Dah kenapa tiba-tiba pulak mamat korea ni muncul?

Kami berpandangan dan berbalas senyum.

"Oppa..."

Belum sempat aku meneruskan kata-kata, tiba-tiba pintu rumahku seperti dihentam dengan kuat.

Hentaman yang membuatkan aku terjaga dari mimpi yang panjang.

La-ilaha-illallah.

Aku bermimpi rupanya.

Malam itu hujan turun dengan lebat. Angin bertiup kencang sehinggakan pintu bilikku seakan dihempas angin yang kuat tanpa belas kasihan.

Gedebummmm bunyinya.

Begitulah kan kalau terlalu banyak menonton drama korea. Sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Cerita nyata vs mimpi. Watak-watak adalah rekaan semata-mata. Bukan nama sebenar.

'Sarangiran geu mareun mothaedo'
Cinta itu, kata yang tak dapat ku ungkapkan

Sangatlah Suzana oiiiii!


Thursday 22 November 2018

Resepi Kek Cempedak

Assalamualaikum.

Dah fikir nak buat apa untuk minum petang hujung minggu ni?

Cuti sekolah pun dah nak bermula. Mesti mak-mak pening kan. Waktu cuti sekolah ni sama ada anak-anak duduk dirumah, dihantar ke kampung atau pun tetap juga dihantar kerumah pengasuh.

Kepada mak-mak yang anaknya duduk dirumah, boleh sahaja anak-anak ini dilatih untuk melakukan kerja-kerja rumah yang mudah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Alhamdulillah, anak-anak Kak Zana yang kecil pun dah 10 tahun dan 9 tahun umurnya. Mereka dah dilatih untuk buat kerja rumah seperti menyapu, mop lantai, lipat kain dan semestinya pinggan makan kena basuh sendiri. Kalau tak basuh, siaplah!

Boleh juga sambil-sambil tu bila ada masa terluang mak-mak ajar anak memasak. Ajar yang asas dahulu seperti masak nasi dan goreng telur.

Bila anak-anak dah rajin tolong mak buat kerja rumah, mak pun kena pandai-pandailah. Bagi mereka 'reward'. Pujian pun kena bagi jugak. Ini berdasarkan pengalaman Kak Zana lah. Bila dipuji semakin rajin mereka buat kerja. 

'Reward' pulak boleh dalam bentuk wang tunai. Jadikan wang tersebut sebagai tabungan mereka. Pasti mereka suka.

Kemudian mak-mak masak yang sedap-sedap. Akan terdengarlah pujian dari mereka "mama masak sedaplah". Begitulah kaedahnya.

Kak Zana ada satu resepi kek yang sedap nak kongsi dengan kalian semua.

Kek Cempedak. Macam pelik je kan.

Kek Cempedak ini tercipta bila terlalu banyak buah cempedak dipasaran. Bila tiba musim cempedak, pemilik dusun pening kepala sebab terlalu banyak buah cempedak. Nak jual pun tak laku. Dari cerita yang Kak Zana dengar seorang anak pekebun cempedak yang cipta resepi kek cempedak ini.

Ssungguh. Tak sia-sia idea menghasilkan kek cempedak ni. Memang sedap sangat. Dapat pulak buah cempedak yang isinya berwarna oren dan tebal. Rasanya pulak manis memukau.




Resepi ni Kak Zana kongsi dari rakan di FB ye. Tapi memang serius sedap.

Bahan-bahan:

250g mentega
200g gula caster
250g tepung naik sendiri (kalau guna tepung gandum + 1 sudu kecil baking powder - diiayak)
4 bij telur
200g isi cempedak

Sedikit cempedak untuk hiasan
Sedikit snow power (gula icing pun boleh)



Cara-caranya:
Pukul mentega dengan gula hingga gebu. Masukkan telur satu persatu. Diputar laju. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul rata menggunakan spatula. Akhir sekali masukkan cempedak yang telah dicincang kasar.

Gunakan loyang saiz 8"x8" atau kecil sedikit pun boleh. Lenserkan loyang dengan mentega atau minyak. Alaskan dengan kertas minyak. Baru masukkan adunan kek.

Bakar mengikut kesesuaian oven masing-masing ye.

Selamat Mencuba

Dah terbayang-bayang cempedak goreng pulak. Bilalah musim cempedak nak datang lagi ni?

Resepi Spaghetti Beef Bolognese

Sempena cuti Sambutan Maulidul Rasul beberapa hari yang lalu, anak saudara Kak Zana beritahu nak singgah dirumah. Dia dengan isteri dan anak-anaknya. Sambil tu nak tempah pau sejuk beku katanya. Cikgu-cikgu disekolahnya yang menempah untuk bekalan anak-anak waktu cuti sekolah nanti.

Hari cuti umum biasanya memang Kak Zana agak malas sikit nak masak. Kalau boleh nak 'tapau' saja atau makan diluar. Jadi boleh fokus pada kerja-kerja lain.

Tapi tak sampai hati pulak bila fikirkan anak saudara datang dari jauh. Bukannya selalu.

Masak yang simple dan apa yang mereka suka makan. Anak saudara pun tak beritahu waktu yang tepat nak sampai dirumah Kak Zana. Katanya mungkin lewat petang.

Sudahnya pukul 8 malam baru mereka sampai. Biasalah janji melayu kan. Mujurlah Kak Zana tak masak yang berat-berat. Sekadar Spaghettti Beef Bolognese saja. Itu yang mudah dan cepat bagi Kak Zana. Anak-anak Kak Zana pun suka.

Jadinya hari ni Kak Zana nak share resepi Spaghetti Beef Bolognese. Resepi ni Kak Zana belajar dari baker terkenal Allahyarhamah Datin Pauziah atau lebih dikenali sebagai Kak Pau. (Kak Pau meninggal pada 12 November baru-baru ini)

Al-Fatihah untuk arwah.

Ni dia resepinya ye. Lepas ni boleh cuba terus. Insya'Allah sedap.



Bahan-bahan:
1 peket spaghetti (direbus-letak sedikit garam dan minyak zaitun)

1 biji bawang holland (dicincang halus)
5 ulas bawang putih (dicincang halus)
Sedikit lobak merah (dicincang halus)
Sedikit cendawan butang - dpotong kecil (tak letak pun tak apa)
1 tin tomato puri (kimball pun boleh)
1 tin kecil tomato paste (jenama SW atau Hunts)
5 biji buah tomato (dikelar kulitnya kemudian direbus - lenyekkan)
1/2 sudu kecil lada hitam (tumbuk kasar)
Sedikit garam
Sedikit gula (pilihan)
3 helai daun bay
2 sudu besar oregano
Sedikit minyak jagung atau minyak zaitun untuk menumis.
500g daging kisar
Parmesan cheese untuk tabur/hiasan



Cara-caranya:
Tumis bawang putih hingga kekuningan. Masukkan daging kisar. Kacau sehingga daging hancur. Masukkan lobak merah, bawang holland dan cendawan. Kacau sekejap. Kemudian masukkan tomato puree, tomato paste bersama dengan daun bay dan oregano. Tambahkan 1 gelas. Kacau rata. Masukkan lada hitam dan buah tomato yang telah direbus tadi. Biarkan mendidih. Tapi jangan sampai pecah minyak ye. Perasakan dengan garam. Kalau kuah agak pekat, boleh tambahkan air. Tambahkan gula untuk sedikit rasa manis. Kacau rata hingga mesra rasanya.

Siap.

Hidangkan denggan pinggan yang cantik. Deko cantik-cantik lepas tu buat photoshoot. Begitu.

Tips: Untuk spaghetti tak melekat, selepas direbus, gaulkan dengan sedikit minyak zaitun. Untuk merebus pula pastikan air mendidih terlebih dahulu baru masukkan spaghettti.




'A' saja pun. Itu pun nak kecoh

Sana sini orang bercerita tentang Hari Anugerah Kecemerlangan. Ia adalah hari untuk meraikan kejayaan pelajar-pelajar dalam akademik dan ko-kurikulum sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Entri sebelum ini Kak Zana ada bangkitkan isu tentang majlis Anugerah Kecemerlangan yang diadakan di hotel dan implikasinya kepada insan yang tidak berkemampuan.

Hari ini kita nak sembang tentang 'A' ataupun nombor 1 dalam slip peperiksaan pulak. Ia berkait rapat dengan Majlis Anugerah Kecemerlangan.

Perkara ini dah menjadi isu dari tahun lepas lagi. Setiap kali habis habis penggal persekolahan, pasti ada Majlis Anugerah Kecemerlangan diadakan oleh pihak sekolah. Ada yang kata ia tidak patut diadakan untuk menjaga hati dan perasaan pelajar yang tidak berapa cemerlang. Ada pulak yang menempelak 'kalau nak naik atas pentas tu untuk terima anugerah kenalah belajarlah sungguh-sungguh', tak perlulah nak cemburu dengan pelajar yang cemerlang ni'.

Kesitu pulakkan.

Sebenarnya tiada yang betul, tiada yang salah. Kita salahkan medsos saja sudahlah. Sebab dulu zaman Kak Zana tanpa medsos ini, elok saja kita semua kan. Dapat A berderet ke, dapat no 1 ke, dapat nombor yang paling corot sekali pun tak jadi masalah. Paling-paling kena sebat dengan rotan saja dirumah.

Tiada siapa kisah pun. Dapat A kecoh sikitlah. Dapat C atau D kita duduk diam-diam. Apa nak ada. Tetap dapat makan jugak kan. Kecualilah ada mak yang kejam cakap begini "kalau kamu tak dapat semua A esok, siap kamu. Mak tak bagi kamu makan sebulan".

Amboi garangnya mak ni!

Mak siapalah tu ye?

Kena sentiasa fikir yang positif. Nak naik pentas boleh saja. Jom kita buat persembahan atas pentas. Nyanyi satu lagu sambil main seruling.

Tu zaman dulu lah. Main seruling jer mampu.

Pagi tadi terbaca coretan di FB tentang Majlis Anugerah Kecemerlangan ni. Ada yang sampai perli memerli di laman FB. Sampai boleh jadi gaduh.

Entah apalah yang nak dikisahkan. Pasal ''A jer pun. Pasal nombor satu jer 1. Boleh sampai bertikam-tikam lidah.

Inilah Medsos.

Pendapat peribadi Kak Zana senang saja.  Kita ubah sistem. Buat sistem macam di universiti. Sistem 'pointer'. Senang kan. Tiada siapa pegang 'title' no 1, 2 atau 3. Tiada siapa peduli tentang A, B atau C.

Kalau dapat 4flat. Ayuh. Kita lompat ke bintang. Kalau dapat 'D' itu tandanya kena ulang peperiksaan. (Macam pernah jer dapat D tu kan)

Di sesetengah sekolah dah pun sebenarnya kiraan yangg sebegitu menggunakan 'pointer'. Tapi tetap juga A yang dikira penghujungnya.

Teman-teman sekalian, anak-anak yang bijak ni adalah rezeki dari Allah. Ada ibu-bapa yang memang cerdik pandai, tapi belum tentu anaknya pandai. Sebaliknya ada ibu bapa yang tidak belajar sampai ke universiti pun waima tamat sekolah menengah. Tapi keputusan peperiksaan anak, Masya' Allah. Berterabur A istilahnya.

Kenapa perlu hapuskan sistem A atau nombor 1 ini?

Cerita di medsos satu hal. Cerita dirumah atau di kampung pun satu hal jugak. Kadang-kadang pasal 'A' atau nombor 1 ni pun boleh jadi gaduh adik-beradik. Anak sipolan begitu, anak sipolan begini. Dapat pulak opah, nenek tokwan dan yang seangkatan dengannya memanaskan lagi keadaan. Bertabahlah kepada yang tak berapa nak 'A' tu kan.

Kasihan. Mak bapak boleh perang besar. Anak cucu yang jadi mangsa.

Kak Zana rasa dengan sistem 'pointer' ni boleh senyapkan opah-opah ni. Geng-geng opah nak membawang susah sikit lepas tu. Kalau A kan senang nak disebut.

'Anak si polan A dapat 8A. Anak sipolan B pulak tiap-tiap tahun dapat nombor 1.Anak sipolan C memang pandai. Rajin baca buku tak macam anak sipolan D.

Kalau dah tukar sistem, ceritanya jadi begini.

Cerita 1

"Anak si A dapat berapa SPMnya Kak Yah? tanya makcik Nen sebelah rumah pada makcik Yah.
"Entahle, Kak Yah pun tak tau berapa. Ade deme nyebut hari tu tapi entah tak reti pulak kak Yah nak nyebutnya. Tapi lulus le katenya".

Cerita 2

"Taktau la chek Kak Yam oi depa kata luluih, luluih la tu. chek tak tau nak habaq lagu mana. Chek tak reti nak sebut. ada depa sebut 'pointer' macam cakap orang putih ja Kak Yam. Takpa lah janji depa luluih". (Kes tak tau sebut CGPA 3.85)

Nampak kan. Siapa pun tak sebut dapat A ke, B ke C ke atau gagal sekalipun. Nak sebut 'pointer' pun boleh berbelit lidah.

Tapi perbualan macam ni untuk opah-opah zaman dulu la. Opah moden zaman sekarang ni bahaya. Depa lagi laju dari internet.

Kahkahkah.

Nama-nama yang disebut diatas adalah rekaan semata-mata. Tak pasai i kena saman pulak nanti.











Tuesday 20 November 2018

Dulu lain, sekarang lain


Peredaran masa yang pantas dan perubahan zaman yang berlaku ditambah pula dengan perkembangan teknoloogi yang amat pesat telah menyebabkan banyak norma-norma hidup juga berubah. Baik dari segi sosio-ekonomi, politik dan budaya kehidupan harian juga ikut sama berubah. Apa yang amat ketara sekarang ini adalah timbulnya sikap dan sifat kebendaan serta menunjuk-nunjuk dikalangan masyarakat.

Pada waktu dulu majlis konvokesyen ataupun graduasi diadakan hanya di kolej-kolej ataupun universiti sebagai tanda berakhirnya tempoh pembelajaran pelajar di universiti mahupun kolej. Ianya juga sebagai tanda untuk meraikan kejayaan pelajar menggenggam segulung diploma ataupun ijazah.

Satu isu yang boleh dibahaskan adalah yang berkaitan dengan Majlis Graduasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah bagi meraikan kejayaan atau sebagai tanda tamat belajar seseorang pelajar itu di sekolah menengah mahupun sekolah rendah.

Persoalannya sekarang, kenapa perlu diadakan majlis graduasi tersebut di hotel dan bukannya di sekolah masing-masing? Umum lebih maklum bagi mengadakan majlis graduasi di hotel-hotel ianya menuntut perbelanjaan yang tinggi. Namun, tidak dinafikan bahawa suasana sambutan yang dianjurkan di hotel adalah sangat meriah.

Baru-baru seorang kenalan meluahkan kegusarannya terhadap isu ini memandangkan kos untuk mengadakan majlis graduasi ditempat-tempat ekslusif ini terpaksa ditanggung oleh ibu-bapa pelajar-pelajar yang terbabit. Majlis Graduasi untuk Tahun 6 yang diadakan dihotel memerlukan setiap ibu-bapa menyumbangkan sebanyak RM100. Satu jumlah yang bukan sedikit.

Persoalannya sekarang, adakah semua ibu-bapa bagi pelajar yang terlibat ini mampu dari segi kewangannya?

Tepuk dada tanya selera.

Begitulah juga keadaaanya dengan majlis sambutan hari kanak-kanak yang diadakan di sekolah. Pihak sekolah menetapkan satu tema berpakaian untuk murid-murid. Tema berpakaian ini pula menuntut kos perbelanjaan yang agak tinggi dan ada juga yang agak menyusahkan kerana kesukaran untuk mendapat kostum mengikut tema yang ditetapkan.

Benar. Berpakaian mengikut tema ini tidak wajib seperti yang dimaklumkan oleh guru-guru. Tetapi adakah pihak sekolah dan PIBG maklum akan perasaan anak-anak murid yang tidak berkemampuan ini bila melihat murid lain berpakaian mengikut tema. Adakah mereka (pihak sekolah serta PIBG) faham akan keluh kesah ibu-bapa apabila tidak dapat memenuhi permintaan anak-anak.

Ada anak-anak yang memahami situsi kewangan ibu-bapa. Satu berita baik buat ibu-bapa. Bagaimana pula keadaannya jika ada yang tidak memahami situasi ibu-bapa mereka. Luluh perasaan ibu-bapa begitu juga kecewanya perasaan anak-anak ini.

Waktu dulu Hari Kanak-kanak ini disambut secara sederhana di sekolah. Pakaian bebas tanpa tema yang memeningkan kepala. Begitu juga dengan makanan. Semua secara sederhana. 

Sudah-sudahlah ye. Kakak comel 'stress' dah ni. Menulis yang serius begini bukan kepakaran kakak comel. Tapi kakak comel cuba.

Eh. Tiba-tiba pulak jadi kakak comel.

Tiba-tiba teringat pulak zaman muda dulu. Majlis tunang, majlis kahwin segalanya serba sederhana.
Zaman sekarang serba-serbi berubah, ada sesi fotografi pra-perkahwinan, ada 'bachelorette party' dan segala macam budaya yang dicedok dari barat. Sekarang majlis bertunang pun dah macam majlis kahwin. Betul tak?

Aghhh. Kita semakin diasak denggan perubahan zaman dan budaya yang membinasakan.

Oh. Inikah bangsa kita?

Ok sampai disini saja ya. Lepas ni kakak comel nak dengar lagu nyanyian allahyarham Tan Sri SM Salim

"Dulu lain, sekarang lain
Dahulu bujang, sekarang dah kahwin"





Resepi Ayam Goreng Mamak


Jadi mak-mak ni ada waktunya boleh jadi sangat tertekan.

Nak tau sebab apa?

Sebab hari-hari memasak sampai suatu tahap dah tak tau nak masak apa untuk anak-anak dan suami. Lebih-lebih lagi dihari cuti tengah minggu begini.

Suami tanya isteri. Isteri pulak tanya suami. Pandang-pandang, jeling-jeling. Dah macam lirik lagu Allahyarham Tan Sri SM Salim & Dato' Siti Nurhaliza pulakkan.

'Pi mai pi mai dok tang tu jugak' orang Kedah cakap.

Samalah dengan orang yang tulis ni pun. Sudahnya goreng telur, hiriskan bawang merah dan cili padi. Goreng sekejap. Makan dengan kicap pun sedap.

Hari ni Kak Zana nak kongsi satu resepi istimewa Ayam Goreng Mamak atau nama lainnya Ayam Goreng 65 yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Biasa di restoran mamak memang ada ayam goreng ni. Cuma berbeza rasa dari satu restoran dengan restoran yang lain.

Kak Zana belajar resepi ni dari seorang cikgu memasak yang memang handal lah bab-bab masakan mamak ni. Tapi dah tak ingat nama cikgu tu.


Bahan-bahan:
1 ekor ayam (sederhana besar)
3 sudu tepung jagung + 3 sudu besar tepung gandum
1 1/2 sudu kecil gula
1 sudu besar cili serbuk
1 sudu besar rmpah kari daging
1 sudu kecil lada sulah
1/2 sudu teh garam (boleh tambah kalau kurang masin)

Bahan kisar
2-3 biji bawang besar
1 inci halia
3-4 ulas bawang putih
Sedikit pewarna merah dan kuning

Masukkan ayam kedalam bekas yang sesuai. Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dikisar. dan digaul rata. Seterusnya masukkan kesemua bahan lain. Gaul rata. Perapkan sekurang-kurangnya 1-2 jam. (Nak lagi sedap kena perap dalam 4jam)

Sedikit daun pandan dan cili kering untuk digunakan ketika proses menggoreng.

Minyak untuk menggoreng. (Minyak kena banyak ye, ala-ala deep-fry gitu)


Senang je kan.

Lupa pulak nak bagitau, daun pandan tu gunanya untuk letak dalam minyak menggoreng. Bagi wangi sikit. Jangan lupa kacau pulak ayam tu. Cili kering tu pulak dimasukkan sewaktu ayam tu dah hampir-hampir masak. Waktu dah nak angkat tu. Bila nak angkat, cedok sekali daun pandan dan cili kering tu.

Siap.

Selamat Mencuba








Sunday 18 November 2018

Warung Pak Mat Pulau Pisang & Teh Beng Madunya

Tengok gambar saja pun boleh terliur kan.

Selalu sangat Kak Zana nampak gambar Teh Beng Madu ni lalu lalang di FB.

Ramai rakan FB yang berkongsi gambar mereka bila berada di Kota Bahru. Antara tempat yang wajib disinggah kalau ke Kota Bahru, kata mereka.

Dah namanya rezeki kan. Ada pulak cawangan Warung Pak Mat Pulau Pisang ni di Kampung Baru. Mula beroperasi 3 bulan lepas kalau tak silap.

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

Nak ke Kota Bahru semata-mata nak menikmati Teh Beng Madu ni memang suatu yang mustahil.



Hasrat untuk menjamu selera di Warung Pak Mat ini seringkali tertangguh.

Hari ini setelah selesai semua urusan bisnes diawal pagi, seterusnya menyiapkan beberapa kerja yang tertangguh dan juga menyiapkan seloyang kuih kasui pandan. Sedang Kak Zana bersandar di sofa sambil melonggarkan otot-otot kaki yang menampakkan penuaannya disitu, saat itulah sel-sel otak mula memikirkan apa yang nak dimakan untuk tengahari nanti.

"Emmm, ni kalau dapat makan di Warung Pak Mat, pekena pulak Teh Beng Madu, sedap ni" bisik hati Kak Zana.

Lantas Kak Zana pun cadangkan pada suami dan anak-anak untuk menjamu selera di Warung Pak Mat. Biasalah, cadangan mak-mak ni jarang ada yang nak membangkang.

Kiranya makan tengahari kami agak lewat hari ini. Jam 2.30 petang baru keluar dari rumah menuju ke Warung Pak Mat yang jaraknya dalam 40meter sahaja. Kami hanya berjalan kaki. Tak sempat pun ketiak nak berpeluh.

Pelanggan pun agak ramai sewaktu kami tiba tadi.

Apa yang kami makan hari ini?

Nasi Putih 5
Ayam Kampung Goreng 2 ketul
Daging goreng 1 bahagian
Telur dadar 2 ketul
Sayur tauge goreng
Sup Ikan - menu wajib cuba (memang sedap)

Pastinya Teh Beng Madu tak lupa dipesan. Kami pesan 3 gelas Teh Beng Madu bersama dengan Teh O Beng.

Semuanya RM82.00. Ok lah kali pertama mencuba kan. Kena makanlah sampai ke titisan darah yang terakhir.

Kalau nak tanya sedap ke tidak, berbaloi ke tidak. Tak adil lah kan. Setiap kedai mahupun restoran ada keistimewaan masing-masing.

Tapi bagi Kak Zana, boleh saja untuk menjamu selera buat kali kedua di Warung Pak Mat nanti. Lagi satu yang bagusnya Warung Pak Mat ni, pekerjanya baik-baik belaka. Servis pun cepat saja.

Bila demo kecek kelate, ambo pun kecek kelate. Tapi ambo tak brapo brehi Teh Beng Madu tu. Manih leting.

Haaa nampak tak?

Bagi mereka yang nak mencuba, tapi tak berapa pasti lokasinya dimana. Boleh saja gunakan Waze. Berada di hadapan jalan besar iaitu Jalan Raja Abdullah. Berhampiran simpang 4 menghala ke HKL. Bersebelahan dengan Public Bank, LC Restoran dan Homst Chinese Muslim Restaurant.



Tempat letak kereta?

Letak saja di pinggir-pinggir jalan tu. Kena saman silalah bayar.

Apa susah?

Lepas ni kita tinjau tempat makan yang lain pulak ye.





Resepi Kuih Kasui Pandan

Adoi!

Pening dari semalam tak habis-habis. Entah apa yang difikirkan pun tak taulah. Serba tak kena.

Buntu.

Tiba-tiba telefon pulak berdering. Lama jugak deringannya, minta dijawab.

"Eh! siapa pulaklah yang telefon pagi-pagi buta ni" getus hati Kak Zana. Sambil kaki melangkah untuk mengambil telefon di dalam bilik.

"Alamak, ada 3 missed call dari Cik Zida" Macam dah nak tersembul biji mata Kak Zana dibuatya.

"Memang kena bahanlah nanti dengan makcik bawang ni" Kak Zana berbisik dalam hati.

Aghhh..

Baru teringat yang Cik Zida ada whatsapp semalam bagitau nak singgah rumah petang ni. Nak ambil pau frozen untuk maknya. Otak terus laju berfikir, tempohari Cik Zida ada cakap maknya teringin nak makan kuih kasui. Beli kat luar tu kadang-kadang tak sedap katanya.

Dalam berfikir sempat ke tidak nak buat tu, Kak Zana terus capai bahan-bahan yang ada. Kuih kasui ni sebenarnya mudah dan cepat nak disediakan. Modal pun tak mahal.

Godek punya godek. 1 jam siap kuih kasui pandan.

Lega.

Ater, moh le kita tengok resepinye.


Bahan-bahannya:
500g gula pasir
300ml air
100g daun pandan (dipotong kecil-kecil dan dimesin, ambil airnya)

100g tepung ubi
300 tepung gandum
1/2 sudu kecil air kapur makan
Sedikit pati pandan (jangan guna perisa pandan cap bintang tu ye, tak sedap)


Cara-caranya:
Didihkan air bersama dengan gula. Biar sehingga gula mencair. Biarkan sejuk sedikit.

Pada waktu yang sama sukat bahan-bahan lain. Satukan didalam mangkuk yang agak besar.

Masukkan air gula tadi ke dalam bekas penyukat air. Tambahkan air pandan yang sudah ditapis. Jadikan sehingga 1800ml air.

Satukan bancuhan tepung dan yang lainnya dengan campuran air gula dan pandan yang telah disukat sebanyak 1800ml itu tadi. Kacau rata. Kemudian tapiskan.

Sediakan pengukus. Didihkan air terlebih dahulu.

Gunakan loyang 9"x9". Kukus selama 40 minit. Pastikan setiap 5 minit penutup kukusan dibuka dan lapkan air wap yang jatuh di atas adunan kuih.

Bila sudah masak, biarkan sejuk dahulu. Kemudian boleh digaulkan dengan kelapa parut yang telah dicampur dengan sedikit garam. Sikit saja tau.

Tips: Kukuskan kelapa terlebih dahulu untuk memastikan kelapa tersebut boleh tahan lama.


Selamat Mencuba