Saturday 1 December 2018

Dilema Seorang Anak



Ada sedikit gundah bersarang dihati.

Semalam mak banyak menghabiskan masanya dengan berbaring di katil. Mungkin mak penat. 

Usia mak sudah mencecah 80 tahun. Apa lagi kudrat mak yang tinggal?

Dah dipesan banyak kali pada mak supaya jangan berdiri lama-lama. Mak tak kuat. 

Tetap juga mak berdegil. Mak tetap gigih memasak. Tak sedap katanya kalau beli dikedai. Masak sendiri kalau lauk biasa-biasa pun terasa sedapnya.

Diamkan saja. Tak boleh nak melarang. Takut nanti mak berasa hati. 

Ceritanya adik-beradik kami ni ada sepuluh orang. Tapi empat orang terlebih dahulu telah pergi menemui Sang Pencipta. Tinggal 6 orang. Kak Zana seorang saja anak perempuan yang tinggal. Bila bapak pula meninggal dunia bulan April yang lalu menambahkan lagi kesedihan mak. Dalam jangkamasa 2 tahun kami kehilangan 3 ahli keluarga yang kami sayangi.

Benar. Mak sangat terpukul dengan kehilangan yang terlalu drastik. 

Semalam Kak Zana luangkan masa untuk mak. Urutkan kaki dan tangan mak. Biar mak rasa sentuhan kasih sayang dari anaknya.

Ada tanda-tanda kakinya membengkak sedikit. Kata doktor tempohari pemeriksaan jantung akan dilakukan sekiranya bengkak dikaki mak merebak hingga ke lutut. Dengarkan pemeriksaan jantung itu sahaja sudah cukup membuatkan hati Kak Zana ni tidak keruan. 

"Macam manalah aku nak balik esok pagi ni?" 

Kak Zana bermonolog sendiri sambil tangan ini mengurut lembut kaki dan tangan mak yang sudah semakin dimamah usia.

Mesti mak sedih. Esok cucunya dah nak balik ke Kuala Lumpur. 

Sebelum ni memang mak dah bertanya dengan angah "Nak duduk sini tak temankan embah".

"Angah nak, tapi adik pulak tak nak"

Angah menjawab. 

Mak tidak tinggal berseorangan sebenarnya. Ada seorang abang yang bujang terlajak menemani mak. Cuma keadaan kesihatannya juga tidak memberangsangkan. Umurnya juga sudah mencecah 60 tahun. 

Dan pagi tadi memang betul-betul mak buat drama. Selalunya mak tak macam ni. 

Sesudah Kak Zana selesai gorengkan nasi untuk dijadikan sarapan kami sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, terus mak bertanya.

"Kamu nak balik pagi-pagi ni ke?"

"Ye lah mak, petang ni ada temujanji dengan doktor. Nanti baliklah lagi"

Lagipun memang ada beberapa hal yang perlu Kak Zana selesaikan dalam minggu ini. 

Mak lupa agaknya. Awal-awal Kak Zana dah beritahu nak balik Kuala Lumpur Jumaat pagi.

Lepas tu mak nak sidai kain. Dalam bakul tu ada kain baju kami anak-beranak. Semalam dah basuh siap-siap. Sampai Kualu Lumpur boleh terus sidai saja. Mak cakap baju tu biar mak sidai je. Tak payah bawa balik. Baju yang dah kering pun ada tak berlipat lagi. Nanti nak balik sini tak payah bawak baju banyak-banyak.

"Nanti nak balik lagi kan" kata mak.

Alamak. Kira dah macam janjilah ni.

Memang Kak Zana merancang untuk balik lagi ke Ipoh dalam seminggu dua ni. Sebab anak-anak nak jumpa sepupunya yang di Terengganu. Minggu depan baru mereka pulang ke Ipoh.

Ye mak. 

Insya'Allah ada rezeki kami balik secepat mungkin. Doakan saja urusan anak dan menantu mak ni berjalan dengan baik.

Rehatkan minda yang serabai.