Saturday 15 December 2018

Resepi Sambal Goreng Jawa


                                                 

Assalamualaikum.

Sudah lama sebenarnya Kak Zana berhajat nak kongsi resepi Sambal Goreng Jawa resepi keluarga. Masa yang agak terbatas menyebabkan niat itu asyik tertangguh sahaja. Hampir seminggu lebih tidak dapat menyentuh komputer riba.

Beberapa perkara perlu diuruskan sebelum dapat sambung bercuti panjang di kampung halaman seperti yang dijanjikan dengan anak-anak dan juga mak Kak Zana. Mujur anak-anak faham kesibukan Kak Zana beberapa minggu ini. Masak pun seringkas yang mungkin.

Dua minggu lepas Kak Zana masak sambal goreng jawa untuk makan tengahari. Menu kesukaan kami sekeluarga. Makan dengan nasi panas-panas. Cukup untuk menbangkitkan selera.

Kebetulan pulak hari tu ada yang berbaik hati nak keluarkan duit tabung untuk belanja Dominos Pizza.

Yeah.

Bersorak kegembiraan kami dapat makan pizza. Dominos Pizza kami jadikan menu minum petang merangkap makan makan malam.

Oh ye. Resepi sambal goreng jawa ini ada banyak versi sebenarnya.  Ada juga sambal goreng berwarna putih. Ikut selera masing-masing. Resepinya pun berbeza sedikit. Insya'Allah ada masa nanti Kak Zana kongsi resepi sambal goreng putih pulak ye.

Jom kita tengok resepi dibawah.

Bahan-bahannya:

10 batang kacang panjang (dipotong menyerong)
1 keping tempe  (dipotong kecil )
3 biji tauhu basah (dipotong kecil)
2 keping fucuk (direndam kemudian dipotong kecil)
3 biji ubi kentang (Dipotong memanjang)
Sedikit suhun - (direndam)



15-20 ekor udang saiz kecil sebagai rencah (dibuang kulit)
Resepi asal mak guna hati dan pedal ayam

5 biji bawang ros kecil (dimayang halus)
3 batang serai (dihiris halus)
5 ulas bawang putih (dimayang halus)
1 inci halia (dimayang halus)

2 biji cili merah
3 biji cili hijau
Resepi asal mak guna cili kering yang digunting secara menyerong dan digoreng sekejap

2-3 sudu besar cili kering (dikisar halus)
Kicap lemak manis
Kicap pekat (Jalen)
1 cawan santan
Sedikit garam dan gula (secukup rasa)

Sedikit minyak untuk menggoreng

Kesemua bahan seperti tempe, tauhu basah, ubi kentang dan kacang panjang dan udang perlu digoreng terlebih dahulu.



Nota: Kacang panjang dan udang diigoreng sekejap sahaja (Layu)

Cara memasak:

Panaskan minyak. Tumiskan bahan-bahan yang dimayang halus kecuali cili. Biarkan layu. Kemudian baru masukkan cili merah dan cili hijau. Kacau sebentar. Seterusnya masukkan cili kering yang dikisar. Biarkan hingga pecah minyak. Masukkan kicap. Baru masukkan santan yang dicampurkan dengan sedikit air. Masuk santan sedikit demi sedikit. Masukkan fucuk terlebih dahulu. Biar fucuk agak lembut. Bila fucuk sudah agak lembut baru masukkan kesemua bahan-bahan lain. Tambahkan garam dan gula. Kacau sehingga rata dan agak kering. Masak dengan api perlahan.

Ikut selera masing-masing ya sama ada nak sambal goreng agak kering atau basah. Kalau Kak Zana suka yang agak basah. Jadi biasanya Kak Zana akan lebihkan air dan santan.

Nota: Kicap memang sudah masin kan. Jadi jangan letak garam banyak. Ikut sukatan Kak Zana lebih kurang 1/4 sudu teh sahaja. Gula 1 1/2 sudu teh. Kalau nak lebih manis boleh tambahkan gula.

Selamat Mencuba.

Kak Zana anak jawa. Mak bapak dua-dua orang jawa. Jawa Perak. Tapi tak pandai cakap jawa. Rugi pulak rasanya dulu-dulu tak nak belajar. 

Sambil menulis ni terbayang-bayang pulak keenakan gemblong air tangan embah-embah di kampung Changkat Petai.  Kalau dulu bila ada kenduri wajib ada gemblong ni. 

Gemblong diperbuat dari pulut. Pulut dikukus. Dicampurkan dengan kelapa parut, sedikit gula dan garam. Kemudian ditumbuk dan letakkan didalam dulang bulat yang dialaskan dengan daun pisang. Padat-padatkan. 

Sedia untuk dimakan.