Sunday 16 December 2018

Resepi Puding Jagung Cik Zida


Assalamualaikum

Puding Jagung Cik Zida ni sangat sedap. Lemak manis dan berkrim. Manisnya yang tidak keterlaluan dengan rasa lemak dari jagung itu sendiri.

Sebenarnya minggu lepas dah dua kali Kak Zana buat puding jagung ni. Tempohari tersalah beli jagung tin. Akhirnya bersusun 3 tin jagung di rak. Takut pula terlepas pandang nanti tarikh luputnya. Jadi Kak Zana rajinkan diri. Itupun masih berbaki satu tin.

Cara membuat puding jagung ni sangat mudah dan cepat. Dan yang penting sangat sedap.

Resepi puding jagung ni diberikan oleh kawan baik Kak Zana iaitu Cik Zida. Sudah beberapa kali resepi puding jagung ni hilang dari simpanan Kak Zana. Maklumlah zaman sekarang ni semua resepi simpan dalam handphone. Jadinya bila handphone rosak dengan resepi-resepi sekali hilang dari radar.

Jadinya bila nak buat puding jagung mesti kena telefon atau whatsapp Cik Zida. Bersiap-siiagalah dengan panahan petir dari Cik Zida. Kena tahan telinga dengar leteran Cik Zida.

Hujan-hujan begini biasanya perut cepat benar terasa lapar minta diisi.

Jom kita buat puding jagung.

Bahan-bahan:

1 cawan tepung kastad
1 cawan gula kastor (Kak Zana kurangkan 1 1/2 sudu besar)
1 1/2 cawan air
1 tin jagung cream (boleh tambah jagung jika suka)
1 tin susu cair
1 sudu besar tepung jagung

Cara-caranya:

Masukkan air, tepung kastad dan tepung jagung ke dalam periuk. Kacau hingga rata. Guna api yang perlahan ye. Kemudian baru masukkan bahan-bahan lain. Kacau hingga rata  Sentiasa kacau hingga adunan menjadi pekat dan licin. Tutup api.

Masukkan kedalam acuan. Kak Zana guna acuan apam solo. Kebetulan memang ada acuan apam solo ini dirumah.

Ataupun boleh juga guna loyang empat segi yang telah dialaskan dengan plastik.

Biarkan sejuk. Baru boleh keluarkan dari acuan ataupun dipotong jika menggunakan loyang.

Sedia untuk dimakan.



Selamat Mencuba.