Wednesday, 20 March 2019

Resepi Gemblong

Assalamualaikum

"Kuih apa ni mama? Tak pernah tengok mama buat pun sebelum ni" tanya angah pada Kak Zana.

"Ni namanya gemblong, kuih tradisi orang Jawa"

"Eh! sedaplah mama, rasa macam ketupat pulut pun ada"

Begitulah reaksi anak-anak bila mak mereka buat sesuatu lain dari kebiasaan.

Dulu waktu zaman kanak-kanak selalu sangat Kak Zana makan kuih gemblong ni.Bila ada kenduri-kendara masyarakat Jawa, mesti ada gemblong.

Kiranya gemblong ni menu wajib.

Zaman beredar.

Kuih tradisi masyarakat Jawa ni sudah semakin dilupakan. Kenduri-kendara di kampung yang majoriti masyarakatnya bangsa Jawa pun sudah tidak kelihatan gemblong ni.

Bondrot yang sebelum ini diisi dengan kuih tradisi masyarakat Jawa kini telah digantikan dengan gula-gula, kek dan sebagainya.

Jadinya Kak Zana berusaha untuk dapatkan resepi gemblong. Sayang kalau menu tradisi ini hilang begitu saja ditelan dek zaman.

Percubaan pertama agak kurang berjaya. Disusuli dengan percubaan yang kedua.

Alhamdulillah. Menjadi gemblong seperti yang pernah Kak Zana makan suatu ketika dulu.

Jadinya Kak Zana nak kongsi resepi gemblong ini disini supaya tidak hilang dan ramai yang akan beroleh manfaat dari perkongsian ini.

Jom kita lihat resepinya.



Bahan-bahannya:

500g pulut. (direndam semalaman atau paling kurang 4 jam)
Sedikit gula (1 sudu teh - boleh tambah)
Sedikit garam (1 1/4 sudu teh)
1/2 biji kelapa parut

Gaulkan semua bahan diatas. Kemudian kukuskan. Pastikan pulut sudah cukup lembut baru diangkat. Setelah pulut masak, tumbuk pulut hingga halus. Kak Zana gunakan botol kaca yang dibalut dengan plastik.

Zaman dulu masyarakat Jawa gunakan lesung yang diperbuat dari kayu. Memang lejen.

Kemudian masukkan pulut yang telah ditumbuk ke dalam loyang yang telas dialas dengan daun pisang. Kak Zana guna loyang 7"x7".

Dulu-dulu orang kampung guna talam bulat saja.

Gemblong ini juga boleh digoreng. Lihat gambar dibawah.

Gemblong yang digoreng
Tapi Kak Zana tetap suka gemblong yang tidak digoreng. Sedap sangat dengan gabungan kelapa parut, garam dan gula. Rasa lemak-lemak manis.

Apa lagi.

Cubalah.

Bondrot = berkat

Resepi Kuih Kembung (Cok Kembung)

Assalamualaikum semua

Kuih kembung zaman dulu-dulu. Kalau orang belah Utara panggil Cok kembung.

Sedap makan begitu sahaja. 

Nak lagi sedap Kak Zana biasanya cicah dengan Kopi O Kampung.

Tapi kalau dulu mak Kak Zana akan buat bila ada kuah kari lebih. Contohnya hari ini masak kari ikan. Petang tu mesti dia buat cok kembung ni sebab nak cicah dengan kari ikan.

Kalau tak pun mak akan bancuh keesokan harinya. Buat sarapan pagi. Biasalah kalau kuah kari diperangat lagi sedapkan.

Sekarang ni pulak Kak Zana suka buat versi yang ada inti. Inti kacang dan ikan bilis. 

Inti ikan bilis ni favourite suami. Anak-anak lebih suka inti kacang merah.

Macam biasa, Kak Zana akan buat yang kosong untuk cicah dengan kopi O atau pun kari semalam.

Nikmat sungguh.



 Bahan-bahan:

3 cawan tepung gandum
1 susu teh yis
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1 biji telur ayam (Gred B/C)
1 sudu besar marjerin (boleh tambah)
1-2 sudu besar susu pekat manis (Boleh ganti gula kalau tak nak letak susu)

Uli macam biasa dengan air suam (Panas sedikit). Uli sampai lembut. rehatkan sekitar 20-30 minit. Bentukkan seperti gambar di bawah. Rehatkan sebentar. Bila adunan nampak ringan boleh terus menggoreng. Sama seperti kita menggoreng donat.

Siap!


Selamat Mencuba.

Kuih lejen tetap dihati.

Resepi Kuih Lompang

.Assalamualaikum semua.

Setelah berbulan lamanya tak dapat nak update blog dan berkongsi resepi. Hari ini Kak Zana cuba untuk kongsi resepi sebanyak yang mungkin.

Mesti ada yang suka makan kuih lompang ni kan. Boleh katakan kuih lompang adalah salah satu kuih kegemaran Kak Zana.

Dulu memanglah tak pandai buat. Pandai makan saja.

Setelah satu demi satu kelas memasak Kak Zana hadiri dari tahun 1998 inilah hasilnya sekarang.

Ada juga yang minta Kak Zana mengajar. Buat kelas. Tidaklah rasanya. Biar Kak Zana kongsikan saja resepi di blog ini. Kalau ada yang tidak faham boleh saja follow up melalui whatsapp kemudian hari.

 Jom tengok resepinya.



Bahan-bahannya:

500ml air
100g gula merah
60g gula pasir
130g tepung beras
50g tepung ubi
60g tepung hon kwee

250ml air pandan
2 sudu teh air kapur (biasa Kak Zana guna 1/2 sudu teh kapur tambah air 2 sudu teh)

Kelapa parut (kukus sebentar untuk tahan lama, tidak basi)
Sedikit garam



Cara-caranya:

Didihkan air 500ml bersama gula dan daun pandan. Bila gula larut angkat. Tapiskan air gula biar sejuk seketika.

Gaul air gula bersama dengan tepung beras, tepung ubi dan hoon kwee. Kemudian masukkan air 250ml dan air kapur. Tapiskan.

Sementara itu didihkan air. Susun acuan didalam pengukus. Panaskan acuan terlebih dahulu.

Kalau acuan tidak panas lubang kuih lompang tidak akan terhasil.

Bila acuan sudah panas, curahkan adunan ke dalam acuan.

Siap!


Selamat Mencuba.


Resepi Kek Cawan Planta


Assalamualaikum semua

Hari ini Kak Zana nak kongsikan satu resepi kek cawan mudah untuk dihasilkan dengan rasanya yang sedap.

Resepi kek cawan ini milik biras kak Zana bernama Che Nah.

Setiap kali datangnya bulan Syawal, menu wajib Che Nah adalah kek cawan ini. 

Cumanya bila dah sampai ke tangan Kak Zana resepi Che Nah ni ada saja yang Kak Zana tambah atau kurangkan.

Ini perkara biasa. Proses tambah baik namanya.

Lihat resepi dibawah.


Bahan-bahannya:

5 biji telur (saiz A)
2 cawan gula halus (Kak Zana kurangkan 2 sudu besar)
1 1/2 cawan marjerin Planta
3 cawan tepung naik sendiri
1 sudu teh ovelette
1sudu teh esen vanila
1 sudu kecil baking powder
Sedikit coklat untuk hiasan
Paper cup




Cara-caranya:

Pukul marjerin, ovelette dan gula hingga gebu. Masukkan telur satu persatu hingga habis. Masukkan esen vanila Seterusnya masukkan tepung sedikit demi sedikit. Proses ini mengaduk tepung ini biasanya Kak Zana gunakan spatula saja.



Dah siap adunan tu kita masukkan ke dalam piping. Kemudian baru dimasukkan ke dalam paper cup.Jangan letak penuh ye. Hanya 3/4 sahaja. Paper cup didalam gambar di atas Kak Zana beli di Tokyo tahun 2012. Baru tahun ini digunakan.

Sebenarnya sayang nak gunakan walaupun sekarang ni dah berlambak paper cup macam tu di kedai Daiso. Ada 'sentimental value' disitu.

Dah ada resepi. Jangan tak cuba. Mudah dan sedap.

Tapi syaratnya mesti guna Planta Marjerin.




Sunday, 3 March 2019

Resepi Kek Batik

Assalamualaikum

Alhamdulillah. Hari ini Kak Zana sekali lagi diberikan kesempatan untuk kembali menulis di blog ini. Setelah dibiarkan bersawang sekian lama.

Bukan sengaja untuk tidak menulis. Selain kekangan masa bila sesi persekolahan bermula Januari yang lalu yang membuatkan jadual Kak Zana jadi terlalu padat disamping kesihatan yang tidak berapa mengizinkan.

Impian untuk menulis masih tersemat dihati. Masih berkobar-kobar. Cuma Kak Zana perlukan sedikit masa untuk merancang jadual kerja dengan lebih baik.

Moga hari ini menjadi titik mula buat Kak Zana melakar impian yang tertangguh. Moga Allah permudahkan segala urusan Kak Zana. Aamiin.

Hari ini Kak Zana nak kongsikan satu resepi yang menjadi kegemaran Kak Zana sekeluarga iaitu Kek Batik.

Tidak dinafikan terlalu banyak resepi kek batik di internet. Tapi tak salahkan kalau Kak Zana tambah lagi satu resepi untuk korang kongsi.

Ye lah, lain orang lain resepinya. Lain juga cara memasaknya.

Begitu juga dengan kita sebagai hamba Allah. Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Eh! Tapi bukan ke sekarang ramai yang rambutnya blonde?

Hehehe. Kak Zana gurau je. Janganlah marah ye.

Bagi Kak Zana resepi ini ada kelainan. Penggunaan bahan pun berbeza. Rasanya juga berbeza. Tidak terlalu manis dan tak muak bila dimakan.

Jom kita lihat resepinya.


Bahan-bahan:

400g biskut (dipatah-patah 4 bahagian)
1 cawan serbuk koko (Van Houten)
1 cawan gula halus
1 biji telur
1 cawan air
1 ketul mentega (Kak Zana guna buttercup)



Cara-caranya:

Cairkan mentega. Kemudian masukkan air, gula, serbuk coklat dan telur. Kacau sehingga sebati.
Masukkan biskut marie. Kacau rata. Kemudian tutup api.

Sediakan loyang bulat saiz 8". Alaskan dengan aluminium foil.

Masukkan adunan yang telah siap tadi. Kemudian mampatkan. Biar sejuk sedikit baharu curahkan coklat  keatasnya. Taburkan dengan badam cincang yang telah dibakar sedikit.

Coklat Topping:

150g whipping cream
250g coklat milk compaund (Kak Zana guna jenama Beryl's)
Panaskan whipping cream guna kaedah double boil. Jangan samppai mendidih. Masukkan coklat yang telah dipotong kecil. Kacau hingga rata. Siap.

Simpan didalam peti sejuk untuk tempoh 1-2 jam.

Sedia untuk dimakan.

Selamat Mencuba!

Sumber Resepi:
Siti Khamizah Yusof